TNB LHM 2019: PDRM Blue Warriors Naib Juara, LISHC Ketiga
February 9, 2019KHM-Terry Walsh Akan Terus Bekerjasama
February 12, 2019KUALA LUMPUR (10 FEBRUARI 2019) : Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berjaya untuk memastikan kedudukan di puncak liga terus menjadi milik mereka selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur dan kemenangan tersebut menyaksikan UniKL kini meninggalkan TNB di kedudukan kedua dengan perbezaan empat mata.TNB dan UniKL turun dengan satu misi yang sama iaitu untuk mendapatkan kemenangan bagi memastikan kedudukan di puncak liga menjadi milik mereka dan tiga minit selepas perlawanan bermula, UniKL melakukan percubaan menerusi Muhammad Marhan Mohd Jalil tetapi percubaannya berjaya untuk diselamatkan oleh penjaga gol TNB, S. Kumar.
UniKL berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-10 apabila aksi kelam kabut yang berlaku di dalam kawasan gol TNB ketika S. Kumar cuba untuk menegeluarkan bola berjaya untuk digunakan oleh Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin untuk meletakkan UniKL dihadapan.
Bagaimanapun TNB kembali bangkit untuk mengikat kedudukan beberapa saat sebelum aksi suku pertama berakhir apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang menerima bola hantaran Norsyafiq Sumanti melakukan satu pukulan kilas mencari sudut atas kiri pintu gol UniKL untuk kedudukan berubah 1-1.
Lima minit selepas aksi suku kedua berlangsung, TNB yang menerima pukulan sudut penalti berjaya untuk meledak gol kedua mereka apabila tindakan susulan daripada flik yang dilakukan Firhan Ashaari berjaya untuk disempurnakan oleh Norsyafiq Sumantri dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat aksi separuh masa pertama.
Minit ke-32, UniKL dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti namun flik terus yang dilakukan oleh Muhammad Razie Rahim berjaya diselamatkan oleh kapten TNB, Faiz Helmi Jali dan terlepas peluang UniKL untuk mengikat kembali kedudukan.
TNB hampir menambah satu lagi gol menerusi gerakan Norsyafiq yang melorongkan bola ke Tengku Ahmad Tajuddin dan Tengku yang melihat kedudukan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal yang berada di belakang penjaga gol dan tidak dikawal menghantar bola tersebut kepada Azrai Aizad namun Azrai gagal untuk menyambut hantaran tersebut dengan baik.
Gol penyamaan yang dicari UniKL akhirnya tiba menerusi pukulan sudut penalti ketiga yang dimiliki mereka pada minit ke-43 apabila flik terus yang dilakukan Razie Rahim mencari sudut bawah kanan pintu gol TNB berjaya menewaskan S. Kumar dan kedudukan berubah 2-2.
Kieran Ian Govers berjaya meletakkan UniKL di hadapan 3-2 pada minit ke-47 selepas percubaan yang dilakukan oleh Mohamad Sukri Mutalib diselamatkan oleh S.Kumar namun bola tersebut terlorong ke Kieran Govers dan dengan mudah dia menjaringkan gol ketiga UniKL.
Minit ke-55 UniKL yang seakan belum puas dengan tiga gol yang telah terhasil menambah satu lagi jaringan kali ini giliran Mohamad Ashran Hamsani untuk muncul selaku penjaring dan kedudukan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dalam pada itu Terengganu Hockey Team (THT) bangkit meraih kemenangan menewaskan Nurinsafi/Kedah Hockey 5-3 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini selepas tiga kekalahan berturut-turut yang dialami mereka sebelum ini.
Kesemua lima gol yang berjaya dihasilkan THT adalah menerusi satu jaringan padang yang disumbangkan oleh Mohd Shahrun Nabil Abdullah pada minit kelapan manakala empat lagi merupakan gol pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Faizal Saari pada minit ke-20 dan 48 serta Jang Jonghyun pada minit ke-40 dan 59.
Sementara Nurinsafi/Kedah Hockey pula memperolehi tiga gol hasil dua pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Joel Samuel Van Huizen dan Baljit Singh Sarjab masing-masing pada minit ke-10 dan 56 serta satu gol padang Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi pada minit ke-50.
Satu lagi pertemuan antara Maybank dan TNB Thunderbolts menyaksikan Maybank mencatat kemenangan 2-1 keatas lawan mereka itu dan kemenangan tersebut membantu Maybank untuk terus mengekori rapat kedudukan THT di tangga ketiga yang hanya dibezakan dengan satu mata.