TNB LHM 2019: UniKL Dan TNB Terus Ungguli Kedudukan Dua Teratas
February 8, 2019TNB LHM 2019: Persada Liga Terus Dikuasai UniKL
February 10, 2019Perlawanan terakhir bagi Liga Hoki Malaysia 2019 (Wanita) menyaksikan PDRM Blue Warriors berjaya untuk memastikan kedudukan naib juara menjadi milik mereka selepas cemerlang menewaskan PSHA-MSSPP 6-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, hari ini.Kemenangan 1-0 yang berjaya dicatatkan oleh Liaoning Infinite Space Hc (LISHC) ke atas Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) pula membantu mereka untuk muncul sebagai pasukan yang berada di tempat ketiga walaupun berkongsi 25 mata bersama PKS Uniten namun kelebihan jaringan yang memihak kepada LISHC menyaksikan mereka berjaya memintas PKS Uniten dan sekaligus PKS Uniten terpaksa berpuas hati untuk menamatkan saingan liga musim 2019 di kedudukan keempat.
Walaupun TLHT tewas kepada LISHC pada aksi terakhir liga yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini, ia tidak menjejaskan kedudukan TLHT yang telah muncul selaku juara lebih awal iaitu pada Khamis lalu dan kedudukan terakhir liga menyaksikan mereka mengumpul mata keseluruhan 30 mata hasil 10 kemenangan dan dua tewas.
PDRM Blue Warriors yang bertandang ke Stadium Hoki USM dengan satu misi iaitu untuk mencatatkan kemenangan bagi memastikan kedudukan naib juara menjadi milik mereka membuka tirai jaringan pada minit keenam selepas kelebihan pukulan sudut penalti dimanfaatkan sepenuhnya oleh Nur Afiqah Syahzani Azhar.
Mereka menambah dua lagi gol pada separuh masa pertama menerusi gol pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Siti Zulaikha Husain pada minit ke-18 dan jaringan padang Nur Adriana Mohd Nawawi pada minit ke-26 untuk aksi separuh masa pertama berkesudahan 3-0.
Dalam tempoh sepuluh minit sebelum perlawanan sebenar berakhir, PDRM Blue Warriors menambah tiga lagi gol bermula dengan gol padang Norbaini Hashim pada minit ke-52 diikuti Noor Hasliza Md Ali berselang seminit kemudian dan pemain import mereka, Chan Yin Ching Tiffany melengkapkan kemenangan 6-0 buat PDRM Blue Warriors hasil penyudahan pukulan sudut penalti pada minit ke-56.
Sementara itu jaringan tunggal Liu Xinyu pada minit ke-45 cukup bermakna buat LISHC untuk mereka mengumpul keseluruhan 25 mata daripada 12 perlawanan, berkongsi jumlah mata bersama PKS Uniten dan mereka bukan sahaja berkongsi jumlah mata yang tetapi juga rekod lapan kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.
Bagaimanapun jumlah jaringan dilihat memihak kepada LISHC yang meledak 46 gol dan bolos 11 untuk berada di kedudukan ketiga sementara PKS Uniten menjaringkan keseluruhan 36 gol dan bolos 10 di kedudukan keempat.
Satu lagi pertemuan berlangsung di Stadium Hoki KLHA, Jalan Pantai Kuala Lumpur di antara KL Wipers dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) berkesudahan dengan pasukan pelawat, SSTMI mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas tuan rumah, KL Wipers.
SSTMI meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit keempat dan ke-20 masing-masing menerusi gol penyudahan Khairunnisa Ayuni Mohd Shahrudin serta Nur Syaza Afiqah Safawin dan minit ke-48 KL Wipers turut dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti, Nur Aisyah Mashuri menyempurnakan pukulan tersebut namun jaringannya tidak cukup untuk membantu pasukannya bangkit mengikat SSTMI sekaligus menyaksikan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas ini tumpuan akan diberikan kepada aksi separuh akhir pertama Piala Vivian May Soars yang akan menemukan empat pasukan teratas liga, TLHT, PDRM Blue Warriors, LISHC dan PKS Uniten pada Selasa, 12 Februari 2019 di mana kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.
Pada jam 3.00 petang, TLHT akan turun terlebih dahulu menentang PKS Uniten dan pada jam 5.00 petang giliran PDRM Blue Warriors untuk bertemu LISHC.