TNB LHM 2019: TLHT Juara Liga Wanita Musim 2019
February 7, 2019TNB LHM 2019: PDRM Blue Warriors Naib Juara, LISHC Ketiga
February 9, 2019KUALA LUMPUR (08 FEBRUARI 2019) : Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mengungguli kedudukan dua teratas TNB Liga Hoki Malaysia 2019, saingan Liga Perdana selepas kedua-dua pasukan cemerlang mencatatkan kemenangan menewaskan lawan masing-masing.UniKL yang melayani kunjungan Universiti Teknologi Mara (UITM) di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi membelasah pasukan pelawat 11-0 sementara TNB yang turun menentang Nurinsafi/Kedah Hockey di Stadium Hoki KLHA, Jalan Pantai, Kuala Lumpur menundukkan tuan rumah 6-1.
Dengan kemenangan terbaru yang berjaya diraih UniKL dan TNB menyaksikan kedudukan liga kini kekal dengan UniKL selaku pendahulu hasil mengumpul 22 mata menerusi tujuh kemenangan serta satu seri sementara TNB yang kekurangan satu mata di kedudukan kedua dengan 21 mata juga hasil tujuh kemenangan dan satu kekalahan.
11 gol yang dijaringkan pada pertemuan UniKL dengan UITM adalah hasil tujuh gol padang sementara empat daripadanya berpunca daripada pukulan sudut penalti dan Muhammad Razie Abd Rahim, Robert Huib Kemperman serta Valentin Verga menyumbang dua gol pada pertemuan tersebut selain Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin, Muhamad Hafiz Zainol, Rafizul Ezry Mustafa, Martijn Peter Havenga dan Muhammad Marhan Mohd Jalil muncul penjaring menerusi satu gol.
Aksi di antara Nurinsafi/Kedah Hockey dan TNB pula menyaksikan TNB menjaringkan enam gol padang menerusi dua gol padang Firhan Ashaari (m’23 dan 46) dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook (m’30 dan 60) serta satu gol jaringan Muhammad Noor Firdaus Rosdi (m’26) dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (m’55) sementara tuan rumah memperolehi gol saguhati menerusi gol pukulan sudut penalti Muhammad Kashif Javed pada minit ke-43.
Dalam pada itu kejutan berlaku di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur apabila pasukan yang rata-rata dibarisi oleh pemain muda berusia 17 serta 18 tahun, TNB Thunderbolts menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 2-1.
TNB Thunderbolts membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi gol padang Muhammad Hazzim Amin Hafidz dan THT kembali mengikat kedudukan pada minit ke-41 juga menerusi gerakan padang Jung Manjae sebelum TNB Thundrbolts bangkit dengan jaringan kemenangan pada minit ke-51 hasil penyudahan pukulan sudut penalti Muhamad Aminudin Mohd Zain.
Bagi pengendali TNB Thunderbolts, Nor Azlan Bakar dia nyata tidak menjangkakan skuad bimbingannya mampu untuk meraih kemenangan ke atas THT selain memuji semangat juang tinggi yang telah ditampilkan oleh anak-anak buahnya ketika mereka melakukan serangan dan juga bertahan.
“Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan kami tidak menjangkakan yang kami mampu untuk meraih kemenangan pertama dalam liga dan hari ini pemain telah bermain dengan bersungguh-sungguh serta mereka telah memberikan segala yang mereka ada, hasilnya kami yang langsung tidak pernah menang ke atas THT berjaya menewaskan mereka.
“Bagi saya ini merupakan satu keputusan luar jangkaan kami kerana THT merupakan satu pasukan yang cukup bagus dan dibarisi oleh pemain kebangsaan juga pemain-pemain import yang terbaik berbanding kami yang dibarisi seratus peratus pemain tempatan.
“Secara kesuluruhan perlawanan hari ini saya memuji usaha keras yang telah pemain tunjukkan di mana mereka bermain bermati-matian menyerang dan juga bertahan serta mereka bermain dengan semangat sepasukan yang cukup tinggi dan saya sangat-sangat berpuas hati dengan apa yang telah pemain saya berikan hari ini,” jelasnya yang ditemui selepas tamat perlawanan.
Saingan liga akan bersambung pada Ahad, 10 Februari 2019 pada jam 5.00 petang di Stadium Hoki Tun Razak, TNB akan membuat perhitungan dengan UniKL, Maybank akan melayani kunjungan TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Tengku Abdullah sementara Nurinsafi/Kedah Hockey akan bertemu THT.