TNB MHL 2019: PKS Uniten Calar Rekod Tanpa Kalah TLHT
February 4, 2019TNB LHM 2019: UniKL Dan TNB Terus Ungguli Kedudukan Dua Teratas
February 8, 2019Kemenangan 3-0 yang diraih Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) ke atas KL Wipers pada perlawanan yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur cukup untuk menobatkan mereka selaku juara TNB Liga Hoki Malaysia 2019 (Wanita).Walaupun masih berbaki satu perlawanan, namun dengan 30 mata yang telah dikumpul hasil kemenangan 10 perlawanan sudah cukup untuk mengesahkan mereka selaku juara dan PKS Uniten yang kini telah menamatkan kesemua 12 perlawanan dengan kutipan keseluruhan 25 mata di tangga kedua perlu menunggu sehingga perlawanan terakhir liga yang akan berlangsung pada Sabtu untuk mengesahkan adakah PKS Uniten, PDRM Blue Warriors atau Liaoning Infinite Space Hc (LISHC) yang akan muncul selaku naib juara serta pasukan mana yang akan berada di kedudukan tempat ketiga.
Kesemua tiga gol yang terhasil pada pertemuan TLHT dan KL Wipers hari ini adalah berpunca daripada pukulan sudut penalti dan minit ke-23, Siti Rahmah Othman berjaya untuk meletakkan pasukannya di hadapan selepas menyempurnakan kelebihan pukulan sudut penalti.
Dua lagi jaringan pukulan sudut penalti terhasil pada minit ke-34 dan ke-55 selepas Fatin Shafika Mahd Sukri dan kapten pasukan Siti Noor Amarina Ruhani berjaya untuk memastikan kelebihan yang dimiliki dan tugas yang dipikul disempurnakan dengan sebaiknya.
Bagi kapten TLHT, Siti Noor Amarina dia tidak mahu rakan sepasukannya dibuai dengan kemenangan liga yang dikecapi kerana misi mereka masih belum berakhir di mana pusingan separuh akhir Piala Vivian May Soars akan berlangsung pada minggu hadapan dan pastinya kejuaraan berganda menjadi misi untuk mereka lunaskan.
“Alhamdulillah kami dapat mengharungi musim ini dengan baik sekali walaupun bukan mudah untuk bertemu dengan lawan seperti PKS Uniten, PDRM Blue Warriors dan LISHC kerana bertemu dengan pasukan-pasukan ini perlawanan pastinya sengit dan kemenangan boleh menjadi milik sesiapa sahaja.
“Baki satu perlawanan bertemu LISHC pada Sabtu ini kami akan jadikan ia sebagai persediaan untuk kami menjelang Piala Vivian May Soars dan sekiranya kami dapat memenangi pertemuan tersebut, ia pastinya akan meningkatkan lagi moral kami sepasukan menjelang pusingan separuh akhir nanti.
“Sepuluh kemenangan setakat ini daripada 11 perlawanan adalah sesuatu yang cukup bagus untuk pasukan kami dan misi pertama telah selesai kini misi kedua menanti iaitu Piala Vivian May Soars dan kami tidak boleh terus dibuai dengan kejuaraan liga ini kerana sasaran kami adalah untuk cuba muncul selaku juara keseluruhan dan membawa pulang kedua-dua piala,” jelasnya ketika dihubungi.
Sementara itu PKS Uniten yang bertandang ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor turut tidak mempersiakan aksi terakhir mereka bagi liga musim ini selepas mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas tuan rumah, SSTMI.
Penyerang kebangsaan, Hanis Nadiah Onn muncul penyumbang hatrik pada aksi hari ini selepas menjaringkan dua gol pukulan sudut penalti pada minit ke-25 dan 44 selain Hanis juga menjaringkan gol kelima yang merupakan gol gerakan padang pada minit ke-50.
Dua lagi gol PKS Uniten disumbangkan oleh Raja Norsharina Raja Shabuddin pada minit kelima yang juga merupakan gol pembukaan perlawanan serta jaringan Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-42 di mana kedua-dua gol tersebut berpunca daripada pukulan sudut penalti dan SSTMI berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit ke-40 menerusi gerakan padang Nur Arisha Muhammad Asrul Effandi.
Satu lagi aksi yang turut berlangsung hari ini adalah pertemuan di antara PSHA-MSSPP dan LISHC yang menyaksikan LISHC mengamuk di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang apabila membelasah pasukan tuan rumah 16-0 dan jaringan besar itu pastinya akan membantu LISHC sekiranya jumlah jaringan menjadi penentu untuk kedudukan terakhir liga nanti.
Perlawanan terakhir liga wanita akan berlangsung pada Sabtu 9 Februari 2019 pada jam 5.00 petang di mana PSHA-MSSP akan menerima kunjungan PDRM Blue Warriors di Stadium Hoki USM sementara KL Wipers akan menentang SSTMI di Stadium Hoki KLHA, Jalan Pantai Kuala Lumpur dan LISHC akan berentap dengan TLHT di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.