TNB LHM 2019: Persada Liga Terus Dikuasai UniKL
February 10, 2019PIALA VIVIAN MAY SOARS: TLHT, LISHC Dahului Pusingan Separuh Akhir Pertama
February 12, 2019KUALA LUMPUR (12 Februari 2019): Walaupun tidak lagi menyambung kontraknya yang akan tamat pada bulan hadapan namun Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Terry Walsh dan KHM akan terus menjalinkan kerjasama secara tidak langsung dalam membantu sukan hoki negara terutamanya dari segi pembangunan.Perkara itu dinyatakan dalam satu sidang media yang berlangsung di Pejabat KHM, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada pagi tadi.
Dilantik sebagai Pengarah Teknikal pada tahun 2015, khidmat Terry bersama KHM secara rasminya akan berakhir pada 31 Mac ini.
Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal bagaimanapun menjelaskan peranan pengendali dari Australia itu masih ditagih oleh KHM yang bakal menghadapi kelayakan Sukan Olimpik bermula bulan 26 April ini.
Subahan berkata, “Setelah berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) semalam, saya rasa kami masih memerlukan beliau (Terry) khususnya dalam pembangunan hoki dan khidmat nasihatnya kepada KHM sendiri.
“Terry membuat keputusan untuk pulang ke Perth. Tetapi kami akan terus mengekalkan hubungan, lagipun kelayakan Olimpik akan bermula pada April nanti. Roelant (Oltmans) dan Terry juga telah bekerjasama sebelum ini, begitu juga dengan Stephen (Van Huizen). Sekiranya Malaysia ke Olimpik, sudah tentulah ianya kegembiraan buat semua kerana kami bekerjasama sebagai satu pasukan sudah sekian lama,” kata Subahan.
“Walaupun selepas bulan Mac dia bukan lagi Pengarah Teknikal, namun bulan ini banyak lagi perkara akan dilakukan Terry seperti membentangkan kertas kerja pembangunan kepada pihak kementerian, membantu kejohanan yang akan diadakan di negara ini dan juga kelayakan Olimpik pada bulan April.
“Selepas itu pun, kami juga mungkin akan menjalin kerjasama secara sambilan dengan Terry dari Perth ke Malaysia, ianya sudah dimaklumkan kepada Dato’ Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah MSN) dan mendapat respon positif,” tambah Subahan.
Dalam pada itu, Terry berkata dia teruja kembali ke Malaysia dan berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal setelah pernah mengendalikan pasukan kebangsaan pada tahun 1990-1993.
Terry berkata, “Ini adalah keputusan saya setelah lebih tiga tahun berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal KHM. Sepanjang berada di sini, saya sangat selesa bekerjasama dengan individu-individu hebat di sini dan beberapa perubahan positif dalam permainan juga dapat dilihat. Saya percaya potensi besar yang dimiliki oleh pasukan negara dan boleh menjadi antara kuasa besar hoki dunia.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Presiden KHM, Dato Sri Subahan atas sokongan yang berterusan serta semua staf KHM yang begitu positif sepanjang tiga tahun perkhidmatan saya,”katanya.
“Sudah tentu, dalam dunia sukan, peningkatan sesebuah pasukan seiring dengan barisan kejurulatihan yang memimpin mereka, menasihati dan berusaha menjadikan mereka pemain yang lebih baik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pemain atas komitmen mereka dan juga kakitangan kejurulatihan yang berdedikasi yang terlibat dalam semua program KHM. Saya juga memuji Stephen,
Ketua Jurulatih pasukan lelaki yang terdahulu, atas peranan penting dan cemerlangnya dalam peningkatan pasukan,”tambah Terry.
Terry turut yakin dengan kredibiliti yang dimiliki pasukan kebangsaan. Dia berkata, “Saya berkeyakinan bahawa selepas 20 tahun menanti, pasukan hoki lelaki negara akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun hadapan dan berharap ianya akan menjadi pemangkin buat generasi akan datang untuk turut serta dalam sukan ini. Malaysia perlu terus menjadi kuat di peringkat Asia,”katanya.
Terry juga mengucapkan terima kasih kepada MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya sepanjang memegang jawatan sebagai Pengarah Teknikal KHM.