Yeoh Kay Lun Mahukan Aksi Lebih Kemas Pemain KB Petaling Jaya
January 6, 2018Puchong United BC Top SSPL 2017/18 Phase 1 Standings
January 6, 2018BUKIT JALIL (6 Januari 2018): Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) dan Terengganu Hockey Team (THT) bakal berentap di pentas akhir Piala Tan Sri P. Alagendra 2018 selepas masing-masing cemerlang untuk mengetepikan cabaran lawan mereka pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, hari ini.
KLHC melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama selepas menewaskan UniKL, 3-1 hasil jaringan padang pemain import mereka, Joshua Pollard pada minit ke-11 dan dua lagi gol KLHC diledak oleh import Korea Selatan mereka, Jang Jonghyun menerusi pukulan stroke pada minit ke-41 dan pukulan sudut penalti pada minit ke-55.
THT pula yang dalam usaha untuk mengekalkan kejuaraan yang dimiliki tahun lalu turun berentap dengan TNB Thunderbolt, berjaya untuk melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan TNB Thunderbolt 3-1.
Pengendali KLHC, Lim Chiow Chuan nyata puas dengan prestasi baik yang telah ditampilkan oleh anak-anak buahnya selain memuji dua pemain import mereka yang baru sahaja tiba beberapa jam sebelum perlawanan banyak membantu pasukan dan Lim nyata gembira kerana kelemahan pada perlawanan suku akhir telah berjaya diatasi dan diperbaiki oleh anak-anak buahnya.
“KLHC bermain dengan bagus dan kehadiran dua pemain import kami, Nicholas James Budgeon dan Joshua Pollard beberapa jam sebelum perlawanan banyak membantu pasukan dan komitmen serta usaha yang mereka tunjukkan sangat-sangat bagus selain kehadiran mereka banyak mengimbangi pasukan.
“Perlawanan yang lepas saya telah mengenalpasti kelemahan kami dan hari ini pemain telah berjaya memperbaikinya serta menunjukkan peningkatan selain mengikut segala perancangan yang telah saya aturkan,” jelas Lim.
Dalam pada itu, KLHC yang melangkah ke final buat kali pertama mencari kejuaraan, menyifatkan lawan mereka di pentas akhir nanti, THT, pastinya bukan lawan yang mudah untuk mereka dan pasukannya perlu mempertingkatkan usaha untuk mengejar kejuaraan.
“Saya gembira kami melangkah ke final tetapi kami mencari kemenangan dan ia bukan satu perkara yang mudah kerana pasukan yang melangkah ke perlawanan akhir adalah pasukan yang terbaik jadi kami perlu melakukan apa yang sepatutnya untuk mencari kemenangan.
“Saya akan mengkaji semula perlawanan hari ini perkara yang bagus kami akan kekalkan dan kelemahan akan diperbaiki untuk perlawanan akhir esok,” tambah Lim lagi.
Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan TNB Thunderbolt tidak memberikan laluan yang mudah untuk THT menjaringkan gol. THT bagaimanapun berjaya untuk membuka tirai jaringan seawal minit pertama selepas import Argentina mereka, Gonzalo Peillat menyudahkan pukulan sudut penalti.
TNB Thunderbolt bagaimanapun bangkit untuk mengikat kedudukan menerusi jaringan padang Azril Misron pada minit ke-16 namum jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila dua minit kemudian giliran Joaqin Menini untuk mencatat nama selaku penjaring THT.
Tatkala kedudukan seperti akan berakhir dengan kedudukan 2-1 apabila TNB Thunderbolt lebih banyak bertahan di kubu mereka, kesilapan di kawasan ‘D’ menghadiahkan THT dengan pukulan stroke dan Peillat tidak mempunyai masalah untuk menyudahkannya pada minit ke-51 dan kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan untuk membawa THT mara ke perlawanan akhir bertemu KLHC.
Berikut merupakan jadual perlawanan akhir, esok (Ahad, 7 Januari 2018):
Stadium Hoki nasional Bukit Jalil, Padang 2.
2000: THT lwn KLHC