
KLHC sedia pertahan Piala Sumbangsih
August 17, 2016
Sapura buru tiga mata lagi
August 20, 2016
Kuala Lumpur (19 Ogos 2016) : Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menafikan hasrat Terengganu Hockey Team (THT) apabila muncul juara Piala Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan seteru utama mereka itu 2-1 pada aksi pertama Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Batu Buruk, hari ini.
KLHC muncul juara Piala Sumbangsih pada edisi 2014 dan 2015.
Meskipun ia adalah kejayaan yang cukup bermakna, Ketua jurulatih KLHC Muhammad Harun Al-Rashid Samri menegaskan, apa yang penting ialah barisan pemainnya dapat meraih tiga mata penuh pada perlawanan pertama itu.

Kapten THT, Faizal Saari (kiri) cuba mendapatkan bola daripada kapten KLHC, Mohd Sukri Mutalib dalam perlawanan Piala Sumbangsih TNBMHL 2016 di Stadium Hoki Batu Burok, Terengganu hari ini. KLHC menang 2-1.
“Bagi saya, kejayaan memenangi Piala Sumbangsih tidak terlalu penting. Yang paling penting ialah kami dapat meraih tiga mata penuh.
“Setiap pemain faham betapa pentingnya perlawanan pada minggu ini kerana selepas THT, kita akan bertemu Sapura pula.
“Sebab itu kami memang mahu meraih tiga mata di sini. Harap dengan kejayaan pertama ini, ia mengurangkan tekanan sedikit kepada pemain apabila bertemu Sapura.
“Sebab di atas kertas Sapura sememangnya dilihat antara pencabar utama tahun ini,” katanya selepas tamat perlawanan.
KLHC bermula baik apabila di depan pada minit ke-14 menerusi jaringan padang pemain import Jelte van Gennip sebelum Meor Muhammad Azuan Hassan menambah gol kedua, juga menerusi gol padang dua minit selepas itu.
Nicolas Enrique Della Torre cuba merapatkan jurang apabila menjaringkan gol padang minit ke-26 untuk THT, namun kebangkitan belum cukup untuk menafikan kemenangan mutlak THT.
Sementara itu di Stadium Hoki Tun Razak, Sapura seperti dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-0.
Gol pertama Sapura dijaringkan oleh Faridzul Afiq Mohd hasil jaringan padang sebelum Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin menambah gol kedua hasil pukulan sudut penalti minit ke-10.
Muhammad Azrul Hasbullah menjadikan kedudukan 3-0 menerusi jaringan padang minit ke-49.
“Pemain melaksanakan tugas mereka dengan baik dan saya amat gembira dengan persembahan hari ini apabila dapat meraih mata penuh,” kata ketua jurulatih Sapura Yahya Atan.
Di Stadium Hoki Pantai pula, Maybank menewaskan TNB 4-3.