Tan Sri Alagendra and Vivian May honoured
August 13, 2016KLHC lakar hatrik
August 19, 2016Kuala Lumpur (17 Ogos 2016): Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) sudah bersedia sepenuhnya untuk memburu gelaran Piala Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut apabila bakal turun bertemu seteru utama mereka, Terengganu Hockey Team (THT) di Stadium Hoki Batu Buruk, Terengganu pada hari Jumaat ini.
Di atas kertas, baik KLHC mahupun THT, kedua-dua pasukan dilihat mempunyai kekuatan yang seimbang dan mempunyai peluang sama rata untuk menjulang Piala Sumbangsih sekaligus meraih tiga mata penuh untuk perlawanan pertama saingan liga.
Bagi kapten pasukan KLHC Mohamad Sukri Abdul Mutalib, pemburuan untuk mempertahankan piala berprestij itu sememangnya satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan olehnya serta rakan sepasukan lain.
Namun pemain kebangsaan itu bertegas bahawa apa yang lebih penting adalah mereka perlu konsisten untuk memburu tiga mata penuh pada setiap perlawanan sepanjang musim ini jika berhasrat mahu kembali menjadi kelab gergasi tempatan.
“Konsisten itu amat penting kerana tidak guna jika kami memenangi Piala Sumbangsih tetapi di hujung saingan gagal memenangi saingan liga serta kejuaraan keseluruhan. Perkara itulah yang berlaku sejak dua tahun lalu dan kami berharap tidak akan berlaku lagi pada musim baru ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai persiapan pasukan, Sukri berkata, semua pemain KLHC sememangnya berada pada prestasi terbaik untuk menghadapi perlawanan pertama, Jumaat ini. Katanya, “Baru semalam (kelmarin) kami dapat mengumpulkan semua pemain termasuklah pemain import. Kami ada mengadakan perlawanan dengan UniKL (Universiti Kuala Lumpur) dan hasilnya kami mencatat kemenangan 2-1. Tapi bagi saya, banyak lagi yang perlu diperbaiki, antaranya tahap persefahaman antara kami semua masih kurang baik”.
Sukri juga berkata, saingan musim ini tidak boleh terlalu terarah kepada THT saja kerana pasukan lain seperti UniKL, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sapura dilihat mampu memberi cabaran sengit.
Sementara itu, kapten THT, Shahrun Nabil Abdullah berharap aksi cemerlang dapat diterjemahkan oleh rakan sepasukannya apabila turun beraksi, Jumaat ini. Jelasnya, impian untuk merampas gelaran Piala Sumbangsih dari KLHC sememangnya adalah matlamat utama mereka, tetapi tugas itu bukan mudah.
“Mungkin kali ini kami akan capai kejayaan memenangi Piala Sumbangsih tetapi bukan mudah untuk tewaskan KLHC. Selaku kapten, saya harap setiap pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran pada musim baru ini,” jelas Shahrun.
Shahrun juga lebih bersemangat untuk menghadapi saingan musim baru ini selepas baru pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kiri yang memaksanya berehat selama sembilan bulan.
“Kini saya sudah pulih sepenuhnya. Harap dapat beraksi dengan baik pada setiap perlawanan,” katanya.
Peminat sukan hoki tanah air boleh mengikuti 29 daripada 49 perlawanan secara langsung di kaca televisyen yang akan dipancarkan melalui saluran 801 Astro Arena bermula pada hari Jumaat ini.
Jadual – 19 Ogos 2016
Piala Sumbangsih
THT lwn KLHC, 6 ptg
(Stadium Hoki Batu Buruk)
TNB lwn Maybank, 6 ptg
(Stadium Hoki Kuala Lumpur)
Sapura lwn UniKL, 6 ptg
(Stadium Hoki Tun Razak)