SMK Mersing plays down chances of defending their MCKK Premier 7s title
March 1, 2019MCKK All Blacks lay down a marker at MCKK Premier 7s
March 1, 2019KUALA LUMPUR (1 MAC 2019) : Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan juara bertahan Piala TNB, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kini dalam misi untuk menambah koleksi kejuaraan bagi tahun 2019 dengan kejuaraan Piala TNB 2019 yang akan berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur esok menjadi sasaran kedua-dua pasukan.Misi UniKL pastinya mahu menggapai kejuaraan berganda selepas ditabalkan sebagai Juara TNB Liga Hoki Malaysia saingan Liga Perdana sementara THT pula tentunya mahu menjadikan Piala TNB sebagai satu lagi koleksi piala mereka bagi musim ini selepas membawa membawa pulang Piala Sumbangsih pada awal Januari lalu.
Bercakap ketika sidang media yang berlangsung di Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pagi ini, pengendali UniKL, Arul Selvaraj mengakui memenangi kejohanan lebih mudah daripada mempertahankannya tambahan UniKL kemungkinan besar akan kehilangan empat tonggak import ekoran peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Hoki Eropah (EHF).
“Satu kekurangan buat kami di perlawanan akhir adalah kami mungkin kehilangan khidmat empat pemain import tetapi saya masih berharap ada keajaiban yang akan berlaku dan mereka akan turun beraksi esok kerana kami telah mengemukakan rayuan untuk terus mendapatkan kidmat mereka dan masih menunggu keputusan yang akan diketahui selewat-lewatnya awal pagi esok,” ujarnya.
Namun bagi kapten UniKL, Muhammad Marhan Mohd Jalil, dia dan rakan sepasukan yang telah mengetahui perkara tersebut lebih awal telah bersedia sepenuhnya untuk memberikan persembahan terbaik selain menyifatkan sekiranya kejuaraan berganda mampu diraih merka ia merupakan tanda bahawa UniKL kini dalam landasan terbaik untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan.
“Kami telah mengetahui perkara ini lebih awal jadi setiap pemain telah bersedia sepenuhnya dan untuk aksi final apa yang perlu kami lakukan adalah beraksi dengan tahap paling terbaik selain kami mahu memburu kejuaraan serta keluar selaku juara.
“Jika kami dapat menjulang kejuaraan Piala TNB esok, ia merupakan satu bonus buat kami kerana sebagai pemain apa yang kami sasarkan pastinya untuk mendapatkan kejuaraan berganda.
“Jika kami berjaya melakukannya ia akan menunjukkan bahawa UniKL sememangnya fokus untuk mencipta lebih banyak kejayaan daripada tahun sebelum ini dan juga untuk masa akan datang,” jelas Marhan.
Dalam pada itu, pengendali THT, I Vikneswaran tidak mengambil kira sama ada lawan mereka akan beraksi dengan khidmat empat pemain import mereka atau tidak sebaliknya mahu memikirkan perkara yang berada di dalam kawalan mereka menjelang pertemuan esok.
“Kami lebih suka untuk memikirkan perkara yang berada di dalam kawalan kami jadi sama ada pemain import mereka boleh beraksi atau tidak ia bukan dalam kawalan kami dan kami tidak mahu memikirkan perkara tersebut;” jelasnya.
Nada yang sama dilontarkan oleh kapten THT, Mohd Fitri Saari yang mahu rakan-rakan seperjuangan sentiasa memberikan persembahan terbaik walau apa jua kondisi pasukan lawan dan melihat pukulan sudut penalti akan menjadi salah satu senjata penting pada aksi final yang akan membantu pasukannya sama ada keluar selaku juara atau sebaliknya.
“Kami tidak kisah sama ada empat pemain import mereka akan beraksi atau tidak tetapi apa yang penting untuk kami adalah beraksi pada tahap yang paling terbaik dan sebagai ketua pasukan saya selalu meningatkan rakan sepejuangan yang lain untuk sentiasa memberikan persembahan yang terbaik.
“Pukulan sudut penalti merupakan satu medium yang penting untuk mendapatkan jaringan dalam sesuatu perlawanan kerana perlawanan separuh akhir kami menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi pukulan sudut penalti dan mereka juga memiliki kelebihan yang sama tetapi mereka tidak berjaya menukarnya kepada jaringan.
“Bukan sahaja perlawanan tempatan tetapi untuk perlawanan bertaraf antarabangsa juga sama kerana ada ketika jaringan menerusi gol padang agak sukar untuk dilakukan, jadi pukulan sudut penalti selalunya akan membantu sesebuah pasukan sama ada mereka boleh memenangi perlawanan tersebut atau menjadi punca kekalahan,” jelas Fitri.
Aksi final akan berlangsung esok di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, bermula dengan penentuan kedudukan ketiga dan keempat akan menemukan Maybank dan TNB pada jam 3.00 petang dan diikuti pertembungan antara UniKL dan THT bagi merebut gelaran juara pada jam 5.00 petang.