TNB LHM 2019: THT Lengkapkan Aksi Terakhir Liga Dengan Kemenangan
February 23, 2019FIH Siri Akhir Lelaki : Malaysia Diundi Dalam Kumpulan B
February 27, 2019KUALA LUMPUR (26 FEBRUARI 2019) : Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) memiliki bekalan jaringan untuk di bawa ke pusingan separuh akhir kedua Piala TNB 2019 selepas aksi separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta, Kuala Lumpur berkesudahan dengan UniKL menewaskan Maybank 4-1 dan THT turut menewaskan lawan mereka, Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-1.Pertemuan di antara UniKL dan Maybank menyaksikan UniKL membuka tirai jairngan menerusi pukulan sudut penalti pada minit kelapan yang disudahkan Martijn Peter Havenga sebelum Muhammad Razie Abd Rahim terus melebarkan jurang jaringan juga menerusi gerakan yang sama pada minit ke-20.
Seminit kemudian giliran Mohamad Ashran Hamsani muncul selaku penjaring menerusi gerakan padang dan Robert Huib Kemperman melengkapkan empat gol buat UniKL pada minit ke-58 juga menerusi gol padang.
Bagaimanapun seminit sebelum aksi sebenar tamat, Muhammad Haziq Samsul berjaya mencuri satu gol buat Maybank menerusi pukulan sudut penalti dan kedudukan 4-1 menutup pertemuan separuh akhir pertama buat kedua-dua pasukan.
Bagi kapten UniKL, Muhammad Marhan Mohd Jalil melepaskan satu gol dipenghujung perlawanan seharusnya tidak berlaku pada perlawanan hari ini selain dia turut percaya rakan-rakan sepasukannya akan memperbaiki segala kekurangan yang berlaku pada aksi hari ini untuk menyekat Maybank daripada bangkit mendapatkan gol pada separuh akhir kedua yang akan berlangsung Khamis ini.
“Saya amat berpuas hati dengan kemenangan 4-1 hari ini tetapi saya percaya pasukan kami boleh melakukan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang telah diberikan terutamanya apabila kami melakukan kesilapan melepaskan satu gol pada penghujung perlawanan.
“Waktu perlawanan sebenarnya tidak menjejaskan rentak permainan kami kerana apa yang penting adalah bagaimana cara kami untuk bermain dan menggunakan segala taktikal yang telah kami rancangkan sebelum ini.
“Kami akan mengkaji semula perlawanan hari ini untuk pertemuan timbal balik nanti bagaimana kami boleh menyekat Maybank daripada melakukan serangan dan kami akan perbaiki semua kelemahan hari ini.
“Saya percaya di separuh akhir kedua nanti Maybank akan bermain bermati-matian untuk memburu gol dan mendapatkan kemenangan jadi kami tidak boleh mengambil mudah dan perlu menyekat mereka,” jelasnya yang ditemui selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, aksi sengit antara THT dan TNB menyaksikan THT berjaya meraih gol pertama mereka pada minit ke-28 selepas Faizal Saari menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum Faizal terus melebarkan jurang kedudukan menerusi kelebihan pukulan stroke yang diterima mereka pada minit ke-46.
Jang Jonghyun turut mencatat nama selaku penjaring apabila kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki diterjemahkan kepada jaringan pada minit ke-52 menerusi satu flik deras namun TNB berjaya meraih satu gol pada beberapa saat sebelum perlawanan tamat menerusi pukulan sudut penalti yang dijaringkan Muhammad Arif Syafie Ishak untuk kedudukan 3-1 kekal menutup aksi separuh akhir pertama.
Penyumbang dua gol buat THT, Faizal Saari telah menjangkakan satu aksi hebat akan berlangsung hari ini selain melihat kemenangan 3-1 pasukannya akan menjadi pembakar semangat buat mereka untuk terus beraksi dengan lebih baik di separuh akhir kedua nanti.
“Kami telah menjangkakan satu aksi hebat akan berlangsung jadi kami memang mempersiapkan pasukan untuk aksi seperti hari ini dan kelebihan 3-1 ini akan menjadi pembakar semangat buat kami sepasukan.
“Kelebihan dua gol pastinya membantu tetapi kami tidak boleh mengambil mudah pada aksi separuh akhir kedua nanti
“Dalam pertemuan separuh akhir, pelbagai perkara boleh berlaku dan apa yang saya serta pasukan THT harapkan kami mampu mengekalkan momentum yang baik untuk melangkah ke pentas final selain kami tidak boleh hilang fokus walaupun sesaat,” jelasnya.
Perlawanan timbal balik akan berlangsung pada Khamis, 28 Februari di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, dengan THT dan TNB akan turun beraksi terlebih dahulu pada jam 3 petang sementara pertemuan Maybank dan UniKL akan berlangsung jam 5 petang.