TNB LHM 2019: UniKL Tamatkan Penantian Kejuaraan Liga
February 20, 2019Piala TNB 2019: UniKL, THT Miliki Kelebihan Jaringan Di Aksi Timbal Balik
February 26, 2019KUALA LUMPUR (22 FEBRUARI 2019) : Kebangkitan Terengganu Hockey Team (THT) meraih kemenangan 5-3 keatas Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi terakhir TNB Liga Hoki Malaysia 2019 saingan Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur menyaksikan mereka yang kekal di kedudukan ketiga merekodkan 25 mata hasil lapan kemenangan satu keputusan seri dan tiga kekalahan.Selepas lengkap 12 perlawanan liga, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang terlebih dahulu telah dinobatkan selaku juara mengumpul keseluruhan 34 mata hasil 11 kemenangan dan satu seri sementara TNB yang berada di kedudukan kedua merekodkan sembilan kemenangan dan tiga kekalahan mengumpul 27 mata.
TNB dan THT dihidangkan dengan peluang untuk mencari gol pendahuluan termasuk dua kelebihan pukulan sudut penalti yang diberikan kepada THT namun aksi di suku pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.
Minit ke-19 Muhammad Sufi Ismat Rohulamin yang berada tepat di hadapan pintu gol TNB berjaya untuk menewaskan penjaga gol lawan, Che Shahrul Azmi Che Saupi apabila Sufi Ismat yang tidak dikawal hanya menghulurkan kayunya untuk menolak masuk bola hantaran rakan sepasukannya.
Bagaimanapun jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila TNB kembali mengikat kedudukan pada minit ke-22 menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil yang berada di sebelah kanan pintu gol lawan, menggunakan sepenuhnya pengalaman yang dimiliki bagi mengawal bola dan membawa bola tersebut ke tengah sebelum melakukan satu pukulan yang berjaya menewaskan Hafizuddin.
Seminit sebelum aksi separuh masa pertama tamat, TNB berjaya untuk berada di hadapan menerusi penyerang muda mereka, Mohamad Akhimullah Anuar Esook yang menyambut bola hantaran jauh daripada rakan sepasukannya serta tenang untuk mencari ruang terbaik bagi meledak gol kedua TNB dan kedudukan 2-1 kekal menuju ke bilik persalinan.
Dua pukulan sudut penalti berturut-turut yang dihadiahkan kepada THT pada minit ke-32 membantu mereka untuk mendapatkan jaringan penyamaan apabila Gonzalo Merino tenang untuk melakukan satu flik terus menewaskan Che Shahrul.
Minit ke-38, TNB kembali berada dihadapan menerusi gol padang Norsyafiq Sumantri bagaimanapun THT yang dihadiahkan dengan pukulan stroke pada minit ke-41 selepas Jung Manjae dikasari di dalam kawasan gol menyaksikan Faizal Saari mudah menjaringkan gol penyamaan mengikat TNB 3-3.
Dua minit selepas jaringan penyamaan terhasil, THT kembali di hadapan apabila Sufi Ismat berjaya untuk melorongkan bola kepada Jung Manjae dan dia tenang mengawal bola tersebut serta menewaskan dua pemain TNB untuk meledak gol keempat.
Gonzalo Merino menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-46 apabila kelebihan pukulan sudut penalti yang terus dimiliki menyaksikan Gonzalo Merino melakukan satu flik dan sedikit kesilapan yang dilakukan Che Shahrul membolehkan THT meraih gol kelima.
Walaupun kedua-dua pasukan terus berusaha untuk menambah jaringan namun kedudukan 5-3 yang berpihak THT kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Sementara itu UniKL menamatkan aksi terakhir liga di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, dengan kemenangan 2-0 menewaskan TNB Thunderbolts bermula dengan gol pukulan storke yang dijaringkan oleh Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit keenam dan Mohamad Ashran Hamsani melengkapkan kemenangan UniKL menerusi jaringan padang pada minit ke-48.
Satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Universiti Teknologi Mara (UITM) menyaksikan tuan rumah UITM terikat 2-2 dengan Maybank bermula dengan Maybank membuka tirai jaringan pada minit ke-24 menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Sulaiman Abdul Razak, UITM bangkit menerusi dua gol pada minit ke-42 dan ke-48 masing-masing hasil gol padang Kamaruddin Kodir Beraheng dan Danial Asyraf Abd Ghani.
Bagaimanapun kelebihan pukulan stroke yang dimiliki Maybank pada minit ke-48 membantu mereka mengutip satu mata pada aksi terakhir liga selepas kapten, Hafifihafiz Hanafi menyempurnkan pukulan tersebut.
Selepas ini empat pasukan terbaik Liga Perdana akan memberikan perhatian kepada perebutan Piala TNB 2019 yang akan berlangsung pada Selasa, 26 Februari dengan perlawanan separuh akhir pertama akan mengambil tempat di mana juara liga, UniKL akan bertemu pasukan di kedudukan keempat, Maybank sementara naib juara, TNB akan berdepan pasukan di tangga ketiga liga, THT.