PIALA VIVIAN MAY SOARS: TLHT Dan LISHC Ke Pentas Final
February 15, 2019TNB LHM 2019: TNB Terus Catat Kemenangan, UniKL Hampiri Kejuaraan
February 17, 2019KUALA LUMPUR (16 FEBRUARI 2019) : Selepas cuaca hujan lebat hampir sejam dan keadaan padang di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur yang tidak berada dalam kondisi terbaik untuk meneruskan perlawanan, Pengarah Pertandingan TNB Liga Hoki Malaysia 2019, En. Jusvir Singh mengumumkan kejuaraan bersama diberikan kepada Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dan Liaoning Infinite Space HC (LISHC) bagi aksi final Piala Vivian May Soars 2019.Kejuaraan bersama yang diraih oleh TLHT dan LISHC itu juga menyaksikan kedua-dua pasukan akan berkongsi hadiah kemenangan termasuk wang tunai RM 20,000.00 bagi setiap pasukan hasil wang kemenangan yang digabungkan.
Pengendali TLHT, Iman Gobinathan melahirkan rasa kecewa kerana pasukannya tidak dapat mempamerkan kemampuan sebenar mereka di pentas final namun tetap gembira dengan kejuaraan bersama yang diberikan di mana ia sekaligus menghadiahkan kejuaraan kedua berturut-turut buat mereka musim ini.
“Tiada siapa menjangkakan hujan akan turun dengan lebat dan menyebabkan perlawanan tidak dapat diteruskan dan saya percaya perlawanan hari ini jika dapat dijalankan pastinya merupakan satu perlawanan yang hebat kerana ia aksi final dan untuk saya ia satu kerugian.
“Kejuaraan berganda pastinya cukup mengembirkan dan saya berterima kasih kepada pemain atas usaha keras mereka juga kepada pihak pengurusan yang telah banyak membantu pasukan ini,” ujar Iman ketika ditemui.
Sementara itu nada berbeza diluahkan oleh pengendali LISHC, Gao.Lihua di mana dia tidak memandang cara kemenangan yang diperolehi oleh pasukannya sebagai satu masalah sebaliknya berpuas hati dengan gelaran juara yang mereka miliki.
“Kami tidak melihat kemenangan dengan cara ini sebagai satu masalah kerana gelaran juara itu telah menjadi milik kami walaupun berkongsi kejuaraan selain banyak yang telah kami belajar daripada kejohanan ini.
“Jika diberikan kesempatan kami pastinya akan kembali untuk beraksi pada tahun hadapan dan kami berterima kasih kepada Konfederasi Hoki Malaysia kerana peluang yang diberikan untuk beraksi di liga ini,” jelas Gao.Lihua.
Terdahulu berlangsung aksi perebutan tempat ketiga dan keempat yang menemukan PDRM Blue Warriors dan PKS Uniten yang menyaksikan PDRM Blue Warriors muncul selaku pemenang tempat ketiga selepas cemerlang membenam cabaran PKS Uniten, 3-0.
PDRM yang dihidangkan dengan deretan peluang untuk memecah kebuntuan jaringan akhirnya berjaya untuk meledak gol pada beberapa saat sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan apabila Qasidah Najwa Muhd Halimi yang tidak dikawal berada di sudut kiri pintu gol PKS Uniten menggunakan kesempatan yang dimiliki untuk menghadiahkan gol pembukaan PDRM Blue Warriors.
Jaringan pembukaan tersebut nyata memberikan suntikan moral buat PDRM Blue Warriors untuk menambah dua lagi gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-37 apabila tindakan susulan Nadia Abd Rahman berjaya membolosi pintu gol PKS Uniten.
Menerusi pukulan sudut penalti kelima yang dimiliki, PDRM Blue Warriors bijak memperdaya pertahanan PKS Uniten apabila “pusher” PDRM Blue Warriors, Nadia Abd Rahman menolak bola ke Norbaini Hashim dan Norbaini yang bertindak selaku pemukul kedua melakukan satu flik terus untuk PDRM memperolehi gol ketiga pada minit ke-40 dan jaringan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Anugerah Piala Vivian May Soars 2019:
Juara Bersama: Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dan Liaoning Infinite Space HC (LISHC) (Berkongsi hadiah kemenangan RM 40,000.00 Setiap pasukan membawa pulang RM 20,000.00)
Tempat Ketiga: PDRM Blue Warriors (membawa pulang RM 10,000.00)
Fairplay: PDRM Blue Warriors (membawa pulang RM 2000.00)
Penjaring gol terbanyak: Hanis Nadiah Onn – PKS Uniten: 14 gol (membawa pulang RM 1000.00)
Anugerah TNB Liga Hoki Wanita Malaysia 2019:
Juara: Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) (membawa pulang RM 50,000.00)
Naib Juara: PDRM Blue Warriors (membawa pulang RM 30,000.00)
Tempat ketiga: Liaoning Infinite Space HC (LISHC) (membawa pulang RM 20,000.00)