TNB LHM 2019: TNB Tundukkan Pasukan Adik 8-0
February 15, 2019Piala Vivian May Soars: Kejuaraan Bersama Buat TLHT dan LISHC
February 16, 2019BANGI (14 FEBRUARI 2019) : Bekalan dua gol yang dibawa Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) ketika separuh akhir pertama menewaskan PKS Uniten 4-2 membantu mereka untuk melangkah ke pentas final selepas aksi separuh akhir kedua yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, berkesudahan tanpa sebarang jaringan.Sementara itu satu lagi aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di antara PDRM Blue-Warriors dengan Liaoning Infinite Space Hc (LISHC) menyaksikan PDRM Blue-Warriors berjaya bangkit meraih kemenangan 2-1 sekaligus mengikat kedudukan 3-3 dan penentuan shoot-out membawa LISHC ke final dengan menewaskan PDRM Blue-Warriors 3-2.
TLHT yang turun dengan kelebihan dua gol selepas mencatatkan kemenangan 4-2 pada aksi separuh akhir pertama Selasa lalu diuji dengan tiga pukulan sudut penalti yang diterima oleh PKS-Uniten pada suku pertama namun dua daripadanya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol TLHT, Bakhavaddin Glizal sementara satu lagi gagal digunakan dengan sebaiknya oleh mereka.
PKS-Uniten menerima kelebihan pukulan sudut penalti keempat pada suku kedua namun penjaga gol TLHT, sekali lagi muncul selaku penyelamat menidakkan percubaan PKS-Uniten dan aksi separuh masa pertama berkesudahan tanpa sebarang jaringan.
Bersambung suku ketiga, PKS-Uniten terus dilihat menguasai perlawanan dengan percubaan untuk menembusi gawang TLHT menerusi gerakan padang dan kelebihan dua pukulan sudut penalti namun mereka masih buntu untuk merobek gawang TLHT.
TLHT akhirnya berjaya untuk mendapatkan pukulan sudut penalti pertama mereka tiga minit sebelum masa perlawanan sebenar berakhir namun flik yang dilakukan oleh kapten, Siti Noor Amarina Ruhani berjaya diselamatkan penjaga gol PKS-Uniten dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Pengendali TLHT, Iman Gobinathan nyata berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya hari ini selain memuji pemainnya yang berjaya untuk mempertahankan kelebihan yang mereka miliki pada aksi separuh akhir pertama,dia juga mahu skuad bimbingannya itu menyempurnakan perebutan Piala Vivian May Soars 2019 dengan kejuaraan.
“Sememangnya apabila beraksi di separuh akhir kedua, pasukan yang ketinggalan akan memberikan tekanan dan kami sebagai pasukan yang mendahului akan bertahan sebaik mungkin selain akan mencuba untuk melakukan serangan balas.
“Hari ini pemain saya telah bertahan dengan cukup baik selain kami juga ada melakukan serangan dan ia bukan sesuatu yang mudah apabila beraksi di perlawanan timbal balik dan saya juga memuji pemain-pemain saya yang bermain bermati-matian hari ini.
“Ia pastinya cukup mengembirakan jika kami dapat meraih dua kejuaraan berturut-turut dan pada saya tentunya saya mahu pasukan menjadi juara untuk Piala Vivian May Soars tahun ini.
“Kami mempunyai satu hari rehat sebelum turun untuk aksi final. Kami akan melakukan sesi pemulihan dan sudah pasti perlawanan akhir nanti bukan satu perlawanan yang mudah jadi kami perlu bersedia sepenuhnya,” jelas Iman yang ditemui selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, dua jaringan Nuramirah Shakirah Zulkifli menerusi gerakan padang pada minit ke-31 dan ke-50 menghadiahkan kemenangan 2-1 buat PDRM Blue-Warriors pada aksi timbal balik hari ini dan keputusan tersebut juga mengheret pertemuan hari ini ke penentuan shoot-out selepas kedudukan agregat terikat 3-3
Bagaimanapun penentuan shoot-out berpihak kepada LISHC 3-2 menerusi jaringan Yu Qian, Chen Yang dan Chen Yiming sementara dua gol shoot-out PDRM Blue-Warriors disumbangkan oleh Nadia Abd Rahman dan Nuramirah Shakirah.
Pertemuan akhir akan berlangsung pada Sabtu, 16 Februari 2019 bertempat di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur di mana penentuan tempat ketiga dan keempat yang menemukan PDRM Blue-Warriors dan PKS-Uniten akan berlangsung jam 3.00 petang sementara penentuan juara di antara TLHT dan LISHC akan berlangsung jam 5.30 petang dan kedua-dua perlawanan boleh disaksikan secara langsung di Astro Arena Saluran 801 dan 802 HD.