PUBC creates history in SSPL 2018/19
January 27, 2019TNB MHL 2019: TLHT, PDRM Blue Warriors Raih Kemenangan, PKS Uniten dan LISHC Terikat Seri
January 28, 2019KUALA LUMPUR (27 JANUARI 2019) : Selepas tamat aksi TNB Liga Hoki Malaysia 2019, saingan liga perdana hari ini, kedudukan tangga teratas liga berubah apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah melalui enam perlawanan berjaya untuk berada di kemuncak selepas menewaskan Kelab Hoki Terengganu (THT) 3-2 pada pertemuan yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk sekaligus mengumpul keseluruhan 15 mata.
THT yang kekal dengan 10 mata selepas lima perlawanan kini berada di kedudukan ketiga sementara Universiti Kuala Lumpur, (UniKL) yang berjaya mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas TNB Thunderbolts pada aksi kelima mereka di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di kedudukan kedua dengan 13 mata.
Ketika turun bertemu THT, kesemua jaringan yang berjaya dihasilkan oleh TNB berpunca daripada gerakan padang bermula dengan gol Firhan Ashaari (m’7) diikuti jaringan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (m’31) dan Shello Silverius (m’58) sementara THT memperolehi gol hasil penyudahan pukulan sudut penalti Jung Manjae (M’20) dan Jang Jonghyun (m’48).
Bagi pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin dia melihat kesemua gol yang dihasilkan daripada gerakan padang merupakan satu petanda positif buat pasukannya kerana ketika ini TNB tidak mempunyai fliker yang boleh membantu mereka mencari gol menerusi pukulan sudut penalti.
“Ia merupakan satu petanda positif apabila pemain boleh menjaringkan gol menerusi gerakan padang kerana kekurangan kami ketika ini adalah kami tidak mempunyai fliker kerana Syed Syafiq Syed Cholan mengalami kecederaan.
“Pemain telah menunjukkan satu permainan yang cukup baik terutama dari segi menyerang tetapi kami melepaskan beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol terutamanya ketika suku pertama dan kedua di mana ia satu kerugian kerana jika kami boleh mendapatkan jaringan yang lebih daripada satu atau dua gol tentunya kami dapat bermain dengan lebih selesa.
“Pemain juga membuktikan mereka boleh memberikan persaingan yang terbaik dengan pasukan yang lebih hebat tetapi kami perlu belajar bagaimana untuk mematikan perlawanan tersebut dengan lebih awal.
“Untuk muncul juara liga ia merupakan satu perjalanan yang pajang dan kami lebih suka untuk memandang satu perlawanan demi satu perlawanan serta melihat untuk memberikan aksi yang lebih baik untuk baki perlawanan nanti selain tidak mahu keciciran sebarang mata dan saya percaya pemain mampu untuk melakukannya, cuma mereka perlu buktikannya ketika turun beraksi,” jelas Saiful Zaini
Sementara itu pertemuan antara TNB Thunderbolts dan UniKL menyaksikan UniKL berjaya untuk membuka tirai jaringan pada minit kelima selepas Kieran Ian Govers yang tidak dikawal dengan baik menggunakan kesempatan tersebut untuk menjaringkan gol.
UniKL terus menambah dua lagi jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh pakar pukulan sudut penalti negara Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-25 dan 39 untuk mereka selesa mendahului 3-0.
TNB Thunderbolts bagaimanapun berjaya untuk merobek gawang UniKL pada minit ke-46 selepas kelebihan pukulan sudut penalti keempat yang dimiliki mereka akhirnya disudahkan dengan cemerlang oleh Muhammad Nur Asyraf Ishak dan kedudukan berubah 3-1.
Minit ke-51 UniKL terus menjaringkan satu lagi gol hasil gol padang Robert Huib Kemperman dan kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan untuk UniKL pulang dengan tiga mata.
Satu lagi perlawanan yang turut berlangsung ialah pertemuan di antara Maybank dan Universiti Teknologi Mara (UITM) yang menyaksikan Maybank berjaya membawa pulang tiga mata selepas menewaskan UITM 3-0 hasil jaringan pukulan sudut penalti Hafifihafiz Hanafi (m’7, m’60) dan Muhammad Haziq Samsul (m’15).