TNB MLH 2018: THT Terus Ungguli Liga
January 21, 2018Top 6 Teams Beef Up Squads for Stage 2 & Finals
January 23, 2018KUALA LUMPUR (23 Januari 2018): Enam pasukan menggunakan sepenuhnya jendela perpindahan pemain SS Purple League 2017/18 yang dibuka semula untuk membawa masuk pemain baru bagi memperkuatkan pasukan masing-masing sebagai persiapan menghadapi peringkat kedua dan peringkat akhir saingan itu.
Enam pasukan tersebut yang berjaya mara adalah Kelab Badminton (KB) Puchong United, KB Ampang Jaya, KB Kepong, KB Cheras, KB Petaling dan KB Petaling Jaya.
Bagi pemain KB Petaling Jaya, Goh Giap Chin, pasukannya sudah bersedia untuk menghadapi peringkat kedua. Dia berkata, “Setakat ini kami sudah mula berlatih setiap hari sebagai persediaan menghadapi peringkat kedua SS Purple League yang akan bermula 26 Januari nanti. Biarpun keadaan pasukan tidak sama seperti tahun lalu, tetapi pemain yang ada tetap memberikan fokus seratus peratus.
“Jika dilihat kepada barisan skuad dalam KB Petaling Jaya nanti, sukar untuk mengatakan kami mempunyai barisan terkuat tetapi saya yakin kami bermain dengan sepenuh hati dan akan berjuang habis-habisan untuk kelab ini,” kata Giap Chin ketika dihubungi.
Giap Chin menambah, “Mengikut perancangan setakat ini, saya sedar bakal berhadapan tugas sukar kerana jurulatih meletakkan saya sebagai perseorangan lelaki yang utama sementara pemain baru, Mek Narongrit pula bakal menggalas tugas selaku pemain perseorangan kedua yang akan turun bermain. Jadi, saya pastinya akan berdepan pemain perseorangan lelaki dari kelab lain yang mempunyai reputasi tinggi.
“Cumanya, memandangkan SS Purple League adalah acara berpasukan, saya harap rakan sepasukan lain termasuk pemain baru seperti Kim Gijung yang beraksi dalam acara beregu akan dapat menghadiahkan mata kemenangan buat pasukan. Kami tidak fikir sama ada mampu atau tidak untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lepas, tetapi apa yang penting setiap pemain yang turun mesti memberikan aksi yang terbaik,” ujar Giap Chin yang merupakan watak penting kepada kejayaan KB Petaling Jaya musim lalu.
Pengurus KB Puchong United, Irina Inozemtseva pula berharap kemasukan empat pemain baharu akan menyuntik lagi semangat pasukannya dalam memburu kejuaraan sulung SS Purple League.
Empat pemain baru yang didaftarkan oleh juara peringkat pertama (round robin), KB Puchong United itu adalah Chia Weijie, Goh Liu Ying, Tai Tzu Ying, dan Lee Yang.
Mengulas mengenai kemasukan pemain-pemain itu, Irina berkata, “Sebenarnya mereka sudah bersama kita sejak musim lepas lagi cuma tidak didaftarkan semasa peringkat pertama SS Purple League tahun ini. Jadi, saya harapkan dengan adanya nama mereka dalam senarai selepas ini, semangat pasukan akan lebih tinggi sekaligus memberikan keyakinan kepada pasukan semasa beraksi.
“Kemasukan para pemain baru juga pastinya akan meningkatkan peluang pasukan kami untuk menjadi juara. Kita dapat lihat kelab-kelab lain juga telah memperkuatkan skuad mereka, jadi saingan akan bertambah kompetitf. Apapun, saya berharap dengan pengalaman yang ada pada pemain utama kami, mereka boleh bersinar di peringkat kedua dan final nanti. Paling penting, kami bersedia untuk bertanding sebagai satu pasukan,” katanya ketika dihubungi tadi.
Dalam pada itu, kelab lain yang membawa masuk pemain baru adalah seperti KB Petaling yang mendapatkan khidmat Tanongsak Saensomboonsuk, Lee Hyun Il, Cheam June Wei dan Peck Yen Wei manakala KB Cheras pula memasukkan Bellaetrix Manuputty, Shela Devi Aula, Riky Widianto, Pia Zebadiah Bernadet dan Shiori Saito.
Mengikut format pertandingan, dua pasukan teratas yang mengumpulkan mata kemenangan terbanyak daripada peringkat pertama dan peringkat kedua bakal mengesahkan slot automatik ke separuh akhir saingan itu. Empat lagi pasukan akan bermain secara play-off untuk merebut dua lagi baki slot ke separuh akhir.
Peringkat kedua SS Purple League 2017/18 akan berlangsung di Sports Arena Sentosa, Jalan Klang Lama pada 26-28 Januari ini sementara peringkat akhir kejohanan ini bakal berlangsung di Arena Of Stars, Resorts World Genting pada 8-11 Februari. Tiket untuk menyaksikan peringkat akhir SS Purple League 2017/18 boleh didapati pada harga RM55 dan RM65 di laman sesawang www.rwgenting.com bermula 25 Januari ini.
Jadual Peringkat Kedua SS Purple League 2018
26 Januari 2018
(4ptg) KB Kepong lwn KB Petaling
(8mlm) KB Puchong United lwn KB Petaling Jaya
27 Januari 2018
(12ptg) KB Bangsar Hawks lwn KB Serdang (Penentuan Tempat ke-7/8)
(4ptg) KB Cheras lwn KB Petaling Jaya
(8mlm) KB Ampang Jaya lwn KB Kepong
28 Januari 2018
(4ptg) KB Ampang Jaya lwn KB Petaling
(8mlm) KB Puchong United lwn KB Cheras