Down but Not Out
January 21, 2018Enam Pasukan Sedia Hadapi Peringkat Kedua dan Peringkat Akhir SS Purple League
January 23, 2018KUALA LUMPUR (21 Januari 2018): Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus memimpin saingan Liga Perdana, TNB Liga Hoki Malaysia meskipun sekadar seri 2-2 ketika bertemu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) hari ini.
Keputusan itu menyaksikan THT mengumpul 11 mata selepas lima perlawanan, hanya lebih satu mata berbanding Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Maybank.
Pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, penyerang sensasi THT, Faizal Saari terdahulu meletakkan kelabnya di depan seawal minit ke-9, namun tonggak import UniKL, Jeroen Dolf Hertzberger menyumbang gol pantas dalam tempoh dua minit iaitu pada minit ke-17 dan 18 masing-masing menerusi gol padang serta pukulan sudut penalti untuk meletakkan UniKL di depan buat seketika.
Bagaimanapun Faizal berjaya menyamakan kedudukan minit ke-43 menerusi gol padang dan selepas itu usaha kedua-dua pasukan untuk mencari gol kemenangan menemui kegagalan.
Ketua jurulatih UniKL, Arul Selavaraj mengakui Hertzberger setakat ini menjadi watak penting kepada pasukannya.
“Seperti THT bergantung kepada (Gonzalo) Peillat, kami pula bergantung kepada Hertzberger.
“Tapi yang memberi kelebihan kepada kami ialah Hertzberger seorang penyerang yang mampu menjaringkan gol serta mencipta pukulan sudut penalti,” katanya.
Meskipun sekadar meraih satu mata saja, Arul tetap berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh setiap pemainnya.
“Bagi saya satu mata yang dikutip hari ini cukup berbaloi. Jelas sekali setiap pemain cukup bersemangat untuk mendapatkan keputusan terbaik.
“Prestasi kami semakin meningkat pada setiap perlawanan dan saya harap ia akan berterusan sehingga tamat saingan,” katanya.
Shahril Saabah pula meletakkan TNB di depan pada minit ke-29 menerusi pukulan sudut penalti.
Bagaimanapun ketika TNB diambang kemenangan menerusi gol tunggal itu, Danial Asyraf Abdul Ghani berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang minit ke-55.
Di Stadium Hoki Kuala Lumpur pula, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) nyata tidak berdepan masalah untuk menewaskan TNB Thunderbolts 7-0.
Tonggak import, Lee Nam Yong meledak hatrik pada minit ke-11, 20 dan 41 sementara masing-masing satu disumbangkan oleh Thomas Carson (m-9), Jang Jonghyun (m-24), Dedy Aryadi Jumaidi (m-30) dan Matthew Willis (m-42).
Liga Hoki Malaysia
Liga Perdana
Keputusan hari ini
KLHC 7 TNB Thunderbolts 0
UniKL 2 THT 2
TNB 1 Maybank 1