
SS Purple League 2017/18 to Return Bigger and Badder
December 15, 2017
KB Petaling Tekad Buru Kedudukan Terbaik SSPL 2017/18
December 18, 2017
KUALA LUMPUR (15 Disember 2017): Saingan badminton SS Purple League (SSPL) 2017/18 akan kembali lagi dan terus menjanjikan saingan yang lebih rancak serta menarik untuk musim keempat berturut-turut.
Kali ini, lapan pasukan telahpun mengesahkan penyertaan mereka dalam saingan SSPL. Pasukan tersebut adalah juara musim lalu, Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya, KB Ampang Jaya, KB Bangsar Hawks, KB Kepong, KB Petaling, KB Puchong United, KB Serdang, dan KB Cheras.
“Saya yakin pemain-pemain dalam setiap lapan pasukan yang mengambil bahagian kali ini memiliki skill dan kemahiran tersendiri sama seperti musim-musim lepas. Ini penting kerana kualiti yang ada pemain akan memberikan impak terhadap kerancakan liga ini. Saya percaya, SSPL sekali lagi akan mempersembahkan perlawanan badminton yang terbaik serta berkualiti kepada seluruh peminat,” kata Dato’ Jack Koh, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Purple League Malaysia.
Dato Jack juga berharap SSPL akan menjadi tulang belakang kepada sukan badminton negara dalam memastikan mutu dan kejayaan sukan ini dapat digapai dari semasa ke semasa.
Dia berkata, “Dengan kebanyakan negara yang kini semakin menunjukkan prestasi cemerlang dalam badminton, kita sebagai salah satu kuasa badminton dunia perlu berbangga kerana kita memiliki satu liga badminton terkemuka sama seperti di negara China dan India. Untuk musim 2017/18, saya yakin liga ini menjadi semakin rancak kerana pemain-pemain telah mula faham dengan format permainan serta peraturan yang ditetapkan. Penyenaraian pemain-pemain muda dalam pasukan bertanding juga adalah sesuatu yang begitu sangat positif kepada masa depan badminton negara.
“Selain itu, saya sentiasa mengharapkan sokongan daripada sektor-sektor swasta sama seperti apa yang dilakukan Samsung dan Senheng untuk kita sama-sama terus membina Purple League menjadi peneraju utama dalam liga badminton dunia,”tambahnya.
Penaja utama musim lepas, Samsung dan Senheng Electric sekali lagi bakal memainkan watak penting dalam penajaan SSPL 2017/18. Selain bertindak selaku penaja, dua syarikat besar ini juga akan terus membantu mempromosikan sukan badminton di negara ini.
“Kami berbangga untuk meneruskan sokongan kepada Dato’ Jack dan Purple League Malaysia sekali lagi kerana sudah tentulah kami percaya dengan nilai dan kualiti yang ada pada liga ini. Kita boleh lihat bagaimana SSPL yang sentiasa meningkat saban tahun dan itulah persamaan prinsip dengan kami di Samsung yang sentiasa dahagakan kemajuan,” kata Yoonsoo Kim, Presiden Samsung Electronics Malaysia.
Sementara itu, Lim Kim Heng selaku Pengarah Urusan Senheng Electronics (KL) Sdn Bhd berkata pihaknya akan sentiasa menyokong SSPL demi masa depan sukan tersebut.
“Seperti mana kita lihat Dato’ Jack bersama pasukannya bekerja keras untuk menganjurkan dan memastikan Purple League diadakan setiap tahun, kami juga akan terus berdiri serta memberikan sokongan kepada Purple League Malaysia dalam memberikan kualiti badminton yang terbaik daripada liga ini,” kata Kim Heng.
Berlaku sedikit perubahan format dalam SSPL 2017/18 di mana semua pasukan akan beraksi dalam tiga peringkat. Pada peringkat permulaan, kesemua lapan pasukan akan beraksi mengikut format liga seperti biasa. Di peringkat kedua pula, enam pasukan teratas akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan mata yang dikumpulkan daripada fasa ini akan ditambah bersama mata yang terkumpul semasa peringkat pertama. Manakala dua pasukan terbawah akan bermain menentukan kedudukan ke-7/8.
Di peringkat ketiga atau pusingan akhir, enam pasukan teratas dengan kutipan mata tertinggi akan membuat perhitungan merebut kejuaraan. Pasukan yang berada di kedudukan nombor satu dan dua liga akan terus layak ke separuh akhir. Sementara, dua lagi slot separuh akhir akan diisi oleh pasukan dari kedudukan ke-3,4,5 dan 6 liga yang akan bermain playoff.
Lebih tepat lagi, enam pasukan yang mengumpulkan mata tertinggi daripada kedua-dua peringkat pertandingan, layak ke pusingan kalah mati. Enam pasukan ini akan beraksi di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 8-11 Februari 2018.
Antara pemain yang sudah mengesahkan penyertaan dalam SSPL 2017/18 Pemain Paling Bernilai SSPL musim lalu iaitu Goh Giap Chin. Selain itu, Woon Khe Wei (KB Petaling Jaya), Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem (KB Petaling), Cheah Yee See, Lim Chi Wing, Yang Po Han, Goh Soon Huat (KB Kepong), Goh Jin Wei, Zulfadli Zulkiffli, Chan Peng Soon, Markis Kido (KB Ampang Jaya), Chou Tien Chen, Tan Kian Meng, Lai Pei Jing (KB Puchong United), Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Lee Ying Ying (KB Serdang), Tan Boon Heong dan Tommy Surgiato (KB Cheras) adalah antara pemain yang bakal beraksi musim ini.
Saingan SSPL 2017/18 akan membuka tirainya di Sports Arena Sentosa, Jalan Klang Lama pada 18 Disember ini sementara pusingan akhir bakal diadakan di Arena Of Stars, Resorts World Genting pada bulan Feberuari nanti.
Tarikh SSPL 2017/18
Peringkat 1:
>18-23 Disember 2017 (Sports Arena Sentosa, Jalan Klang Lama)
>26-30 Disember 2017 (Sports Arena Sentosa, Jalan Klang Lama)
>4-6 Januari 2018 (Sports Arena Sentosa, Jalan Klang Lama)
Peringkat 2:
>26-28 Januari 2018 (Sports Arena Sentosa, Jalan Klang Lama)
Peringkat 3:
Pusingan akhir: 8-11 Februari 2018 (Arena of Stars, Resorts World Genting)