24 Carat Magic in the Air
February 17, 2017Europe stint for Dharmaraj’s Tigresses
February 18, 2017Kuala Lumpur (17 Februari 2017): Kelab Hoki Kuala Lumpur terus berada di landasan tepat dalam perebutan juara Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia selepas menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-1 pada aksi kedua terakhir liga hari ini.
Keputusan itu menyaksikan KLHC kini kekal menduduki tangga kedua dengan mengumpul 33 mata, berkongsi mata dengan pendahulu liga Terengganu Hockey Team (THT) tetapi dipisahkan jaringan gol.
Ia sekali gus menyaksikan pertemuan terakhir liga membabitkan KLHC dengan THT, Ahad ini akan menentukan pasukan manakah yang bakal menjulang piala berprestij itu.
Ketua jurulatih KLHC, Muhammad Harun Al Rashid Samri berkata, beliau sangat berpuas hati dengan persembahan barisan pemainnya.
“Setiap pemain faham betapa perlawanan hari ini sangat penting. Sebelum turun beraksi, mereka sedar perlu mendapatkan tiga mata penuh.
“Akhirnya kami meraih kemenangan 3-1 dan ia adalah keputusan yang amat baik sekali.
“Setiap pemain cukup bersemangat untuk bangkit semula selepas sekadar seri 3-3 dengan TNB pada perlawanan sebelum ini sebab bukan mudah untuk mereka memperoleh semangat itu semula,” katanya.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Pantai itu, tonggak import Muhammad Umar Bhutta meletakkan KLHC di depan menerusi jaringan padang minit ke-14.
Bagaimanapun UniKL berjaya menyamakan kedudukan menerusi Faridzul Afiq Mohd hasil jaringan padang minit ke-28.
KLHC kembali di depan selepas Hammod Casey Dawsond menjaringkan gol padang minit ke-29 sebelum Anton Poul Fritz Ebeling mengukuhkan kedudukan KLHC dengan gol ketiga minit ke-50.
Liga Premier
Keputusan hari ini
THT 5 Maybank 2
UniKL 1 KLHC 3
TNB 10 SSTMI 0
TNB Thunderbolts 3 UiTM-KPT 0