Experience Key to Dragons’ Title Hunt
January 18, 2017KLHC terus buru kemenangan
January 19, 2017KUALA LUMPUR (18 Januari, 2017): Selepas berjaya menduduki tempat kedua saingan peringkat liga round robin SS Purple League (SSPL) musim ini, Kelab Badminton (KB) Bandar Utama Dragons menaruh harapan kepada beberapa pemain berpengalaman untuk menjulang kelab itu dalam saingan kalah mati nanti.
Memiliki beberapa orang pemain berpengalaman seperti kapten pasukan, Tan Wee Kiong, Markis Kido, Wei Nan dan banyak lagi pemain adalah kunci kekuatan kepada kelab itu.
Bagi ketua jurulatih KB Bandar Utama Dragons, Tan Bin Shen, dia percaya pengalaman yang dimiliki pemainnya mampu membawa pasukan itu mara hingga ke perlawanan akhir.
Bin Shen berkata, “Setakat ini pemain berpengalaman yang kekal bersama kita di peringkat kalah mati nanti adalah Tan Wee Kiong, Wei Nan, dan Markis Kido. Jadi kita harapkan pengalaman yang ada pada mereka dapat membantu pasukan layak ke perlawanan akhir nanti.
“Kita juga sedang berusaha mencari pemain-pemain baru untuk memantapkan pasukan sekiranya ada pemain di bawah BAM (Persatuan Badminton Malaysia) yang tidak dapat beraksi nanti. Jadi kita akan muktamadkan skuad penuh dalam masa yang terdekat,”ujar Bin Shen ketika dihubungi.
Jurulatih itu juga tidak khuatir dengan mana-mana lawan yang mereka bakal hadapi di separuh akhir sama ada KB Petaling Jaya ataupun KB Petaling tetapi mahu fokus untuk ke final.
Bin Shen berkata, “Kita pun tak tahu kekuatan pasukan lawan memandangkan jendela perpindahan dibuka semula sebelum peringkat kalah mati. Tapi saya rasakan kita akan bertemu pasukan KB Petaling berdasarkan pemain berkualiti yang dimiliki mereka seperti Datuk Wira Lee Chong Wei.
“Bagi saya, yang penting adalah kita perlu berusaha dengan sehabis baik di separuh akhir kerana dengan sistem 11 mata dan bermain di Genting Highlands yang anginnya agak tak menentu, bulu tangkis yang laju, situasi memang sukar dijangka dan apa-apa sahaja boleh berlaku nanti,” tambah bekas pemain kebangsaan itu.
KB Bandar Utama Dragons terus layak secara automatik ke peringkat separuh akhir peringkat kalah mati SSPL 2016/17 selepas menduduki tangga kedua bersama-sama KB Muar selaku juara saingan awal sebelum ini.
Selepas tamat saingan liga, peringkat kalah mati enam pasukan yang menduduki kedudukan teratas liga akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands bagi mencari juara SSPL musim ini. Pasukan bawahan liga pula akan berentap menentukan kedudukan ketujuh hingga sepuluh.