
Shekhinah PR obtains Melaka United’s Trust & Confidence
January 16, 2017
Menacing Tigress strike 13 goals!
January 17, 2017
Kuala Lumpur (17 Januari 2017): Pasukan hoki wanita negara memilih pasukan Kazakhstan pada perlawanan terakhir Kumpulan B Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua sebagai mangsa lepas geram mereka. Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak itu, pasukan Malaysian Tigress kenduri gol membelasah Kazakhstan 13-1.
Pasukan Malaysian Tigress menunjukkan aksi garang sejak awal permainan lagi apabila mendapat gol pertama seawal minit ke-6 selepas Nurul Nabihah Mansur mudah menolak masuk gol padang ketika berlaku kekalutan di depan gawang Kazakhstan untuk kedudukan Malaysia 1-0 Kazakhstan.
Kazakhstan bagaimanapun bangkit mengejutkan Malaysia selang seminit kemudian untuk kedudukan 1-1. Kesilapan ketua pasukan Malaysia, Siti Noor Amarina yang gagal mengawal bola dengan baik membolehkan Vera Domashneva mudah menyumbat masuk gol padang menewaskan penjaga gol negara, Farah Ayuni.
Pasukan negara tidak mudah tertekan dan kembali mendahului 2-1 di depan seminit sebelum suku pertama permainan tamat juga melalui gol padang. Gol itu terhasil selepas Noor Hasliza Ali berjaya menolak masuk bola apabila menerima hantaran cantik daripada Nuraini Abdul Rashid.
Sebaik suku kedua permainan bermula, Malaysia terus garang apabila memperoleh gol ketiga pada minit ke-16. Gol itu tercipta melalui gol padang dengan Fatin Shafika mudah menolak masuk bola di depan pintu gol menewaskan penjaga gol Khazakhstan, Guzal Bakhavaddin untuk kedudukan 3-1 berpihak pasukan negara.
Kazakhstan terus menderita selepas itu apabila giliran Nuraini Abdul Rashid sekali lagi mencetak gol keempat negara. Dia berjaya menolak masuk pukulan sudut penalti pada minit ke-18 menjadikan kedudukan Malaysia selesa mendahului 4-1.
Malaysia tidak mengendurkan asakan sebaliknya terus garang menggasak Kazakhstan. Hasilnya, gol kelima pasukan negara terhasil sekali lagi melalui pukulan sudut penalti Fatin Shafika pada minit ke-24 diikuti gol keenam Fazilla Sylvester Silin juga melalui pukulan sudut penalti dua minit kemudian.
Permainan pantas serta menyerang Malaysian Tigress sekali lagi mendatangkan hasil kepada pasukan negara. Norhaslinda Said yang menerima hantaran jauh Fatin Shafikan tidak berdepan masalah menolak masuk kencang gol padang pada minit ke-28 sekaligus mengakhiri separuh masa pertama dengan kedudukan 7-1.
Pada suku ketiga permainan di separuh masa kedua, Malaysia menemui gol kelapan. Kali ini giliran Norazlin Sumantri pula menjaringkan gol padang pada minit ke-40 selepas mendapat hantaran cantik sekali lagi dari Fatin Shafika.
Gol kesembilan negara hadir pada minit ke- 44 selepas Hanis Nadiah Onn menolak masuk gol padang. Gol itu terhasil sekali lagi menerusi hantaran cantik arkitek pasukan Malaysia, Fatin Shafika sekaligus menjadikan keputusan 9-1 mengakhiri suku ketiga perlawanan ini.
Seminit selepas suku keempat berlangsung iaitu pada minit ke-46, Fazilla Sylvister Silin sekali lagi menyudahkan pukulan sudut penalti mengukuhkan kedudukan 10-1 buat pasukan negara.
Ketika permainan memasuki minit ke-49, Wan Norfaiezah pula mendapatkan gol kesebelas negara menjadikan pasukan Malaysia di depan dengan kedudukan 11-1 mendahului Kazakhstan.
Nurhaslinda Said muncul penjaring gol seterusnya negara yang melengkapkan sedozen gol untuk pasukan Malaysia di depan. Ianya terhasil menerusi gol padang pada minit ke-54 menjadikan kedudukan 12-1.
Tidak cukup dengan itu, gol ketiga belas negara hadir melalui pukulan sudut penalti Fatin Shafika pada minit ke-59 yang juga merupakan hatrik daripada pemain itu. Gol itu sekaligus melengkapkan kenduri gol pasukan Malaysia ke atas Kazakhstan.
Ketua jurulatih pasukan hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah nyata berpuas hati dengan aksi anak buahnya. Dia berkata, “Kita memang sudah menjangka untuk menang besar tetapi tidak menyangka memperoleh gol sebanyak ini. Pemain bermain dengan baik, cara mereka mencipta peluang dan menjaringkan gol juga bagus.
“Thailand yang kita temui di suku akhir nanti adalah satu pasukan yang lebih kuat daripada Kazakhstan. Kualiti mereka juga telah meningkat berbanding ketika aksi di Sukan SEA lalu,”ujarnya kepada media selepas tamat perlawanan.
Malaysia selaku naib juara Kumpulan B akan berdepan Thailand yang menduduki tempat ketiga kumpulan A di peringkat suku akhir nanti.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B pada sebelah petang tadi, Ireland turut mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan dengan berkenduri gol apabila menang 10-0 ke atas pasukan Hong Kong sekaligus muncul juara kumpulan.
Rosin Uptoin memulakan kenduri pasukan Ireland melalui gol daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-18, diikuti gol padang Nicola Evans ke-34, Chloe Watkins (PK minit ke- 41), Anna Oflanagan (GP minit ke-42, GP minit ke-48), Kathryn Mullan (GP minit ke-43, GP minit ke-53), Rebecca Barry (GP minit ke-49), Gillian Pinder (GP minit ke- 52), dan Nicola Daly (GP minit ke-55).
Dalam saingan Kumpulan A sebelum itu menyaksikan pasukan wanita Itali menepati ramalan apabila menang besar 9-0 ke atas pasukan Singapura sekaligus muncul juara kumpulan. Dalam kumpulan sama, Wales berjaya menduduki tangga kedua setelah menang 3-0 mengatasi Thailand.
Keputusan Penuh :
Kumpulan A: Itali 9-0 Singapura, Wales 3-0 Thailand
Kumpulan B: Ireland 10-0 Hong Kong, Kazakhstan 1-13 Malaysia
Jadual Suku Akhir (Khamis ,19 Januari 2017):
Ireland lwn Singapura (1.45pm)
Itali lwn Hong Kong (4.00pm)
Wales lwn Kazakhstan (6.15pm)
Malaysia lwn Thailand (8.30pm)