Irish Green Army down Tigress
January 16, 2017Shekhinah PR obtains Melaka United’s Trust & Confidence
January 16, 2017Kuala Lumpur (16 Januari, 2017): Aksi bertenaga serta kebangkitan yang ditunjukkan oleh Malaysian Tigress pada perlawanan kedua Kumpulan B, Liga Hoki Dunia Wanita Pusingan Kedua yang berlangsung hari ini di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur, masih belum cukup untuk menghalang Ireland daripada terus meraih kemenangan dan kekalahan 2-1 kepada Ireland sekaligus menyekat hajat skuad negara untuk berada di kedudukan teratas kumpulan.
The Green Army terlebih dahulu mengejutkan pasukan tuan rumah seawal minit kelima menerusi jaringan padang kapten pasukan, Chloe Watkins. Tersentak dengan jaringan awal itu, anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah cuba untuk bangkit memberikan saingan, namun tidak berjaya untuk mencari sebarang gol pada suku pertama.
Lima minit selepas suku kedua bersambung, Malaysia mempunyai peluang terbaik untuk mengikat kedudukan, namun Malaysian Tigress gagal untuk menyempurnakan peluang tersebut.
Skuad negara sekali lagi dihidangkan dengan peluang terbaik untuk mencetak gol pertama menerusi pukulan sudut penalti yang diterima pada minit ke-25, namun pukulan Nuraini Abdul Rashid berjaya ditepis oleh penjaga gol Ireland, Ayeisha McFerran.
Dalam aksi di suku ketiga, kedua-dua pasukan terus menggandakan usaha untuk mencari gol. Malaysia yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti keempat masih terus buntu untuk menterjemahkan pukulan tersebut kepada jaringan.
Skuad negara juga nyaris dihukum dengan gol kedua pada penghujung suku ketiga, namun ketangkasan pemain negara untuk memberikan bantuan kepada penjaga gol, Farah Ayuni Yahya, menyelamatkan pintu gol negara dari terus dibolosi.
Gawang pasukan negara akhirnya sekali lagi dibolosi pada minit ke-52 apabila jaringan padang Anna O’Flanagan gagal untuk dinafikan oleh Farah Ayuni. Namun jaringan tersebut tidak meruntuhkan semangat skuad negara apabila gol pertama Malaysia hadir dua minit kemudian menerusi Hanis Nadiah untuk menjadikan kedudukan 1-2.
Kebangkitan terus ditunjukkan oleh skuad negara dalam minit-minit terakhir perlawanan, beberapa saat sebelum perlawanan berakhir Malaysia sekali lagi menerima pukulan sudut penalti dan juga peluang terakhir untuk mengikat kedudukan namun penjaga gol Ireland menidakkan peluang skuad negara. Keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Hong Kong yang tewas 0-9 di tangan Malaysia pada perlawanan pertama peringkat kumpulan gagal untuk melakar kebangkitan apabila tewas 0-2 kepada Kazakhstan menerusi penentuan pukulan penalti, selepas perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 hasil jaringan padang oleh Vera Domashneva pada minit keenam buat Kazakstan dan berselang tiga minit kemudian giliran Chan Ching Nam untuk menyamakan kedudukan buat Hong Kong.
Dua gol pukulan penalti Kazakhstan dijaringkan oleh Symbat Sabazova dan Alissa Chepkassova.
Keputusan Kumpulan B: Kazakhstan 1 Hong Kong 1 (Kazakhstan menang 2-0 menerusi penentuan pukulan penalti); Malaysia 1 Ireland 2.
Jadual perlawanan esok (17 Jan, 2017):
Group A: Itali lwn Singapura (1.45petang); Wales lwn Thailand (4.00petang).
Group B: Ireland lwn Hongkong (6.15petang); Kazakhstan lwn Malaysia (8.30malam).