SSPL 2016/17: Anak Buah Kim Hock Jinakkan Pendahulu Liga
December 30, 2016Puchong United BC on Song
December 31, 2016KUALA LUMPUR (31 Disember 2016): Pemain badminton beregu campuran negara, Goh Liu Ying mengharapkan kedatangan tahun baru 2017 memberikan sinar buat dirinya untuk sembuh sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang dialami.
Pada tahun 2014, Goh Liu Ying pernah melakukan pembedahan kerana sendi lututnya yang terkoyak serta juga mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang begitu serius ketika itu.
Pemain berusia 27 itu berkata, dia berharap dapat segera sembuh dan memberikan aksi yang terbaik dalam setiap perlawanan badminton yang bakal disertainya menjelang tahun 2017 nanti. Liu Ying berkata, “Kecederaan saya sebenarnya belum sembuh sepenuhnya, saya masih mendapat suntikan ubat dari doktor. Ketika bermain, saya masih rasa sakit ketika melakukan pergerakan di atas gelanggang.
“Paling penting, tahun 2017 itulah yang saya harapkan iaitu sembuh sepenuhnya daripada kecederaan ini sekaligus terus membantu negara dalam sukan badminton,” ujarnya selepas membantu Kelab Badminton (KB) Puchong United mengatasi KB Bangsar Hawks dalam SS Purple League (SSPL) sebentar tadi.
Dia turut berpuas hati dengan pencapaian dan kejayaan yang diraihnya pada tahun ini disamping mengharapkan akan terus cemerlang dalam badminton pada tahun 2017.
“Saya sangat puas hati pencapaian tahun ini dengan kejayaan meraih pingat perak Sukan Olimpik 2016 bersama Chan Peng Soon. Ianya memang diluar dugaan saya dengan kecederaan saya seperti ini,” ujar pemain berasal dari Melaka itu.
Ditanya apakah saingan yang bakal disertai dan sasarannya pada tahun depan, Goh Liu Ying berkata, “Kejohanan pertama yang akan saya sertai tahun depan adalah Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Sibu Januari depan.
“Pada tahun baru yang bakal menjelma, saya harap boleh memberikan aksi terbaik terutama dalam Kejohanan Badminton Dunia 2017. Saya sasarkan separuh akhir dulu setakat ini kerana saya tidak pernah layak hingga ke suku akhir kejohanan tersebut,” tambah Liu Ying ketika ditemui di Cyberjaya.
Ketika ini, pemain itu sedang membantu kelabnya, KB Puchong United beraksi dalam SSPL dan sedang berada dalam kedudukan pertama liga. Apapun, dia tidak bergandingan dengan pasangannya, Chan Peng Soon kerana pemain itu bermain untuk KB Muar dalam saingan Purple League kali ini.