
SSPL 2016/17: Api Bandar Utama Dragons Semakin Membakar
December 22, 2016
Puchong United BC Made to Sweat for Second Win
December 23, 2016
KUALA LUMPUR (23 Disember, 2016): Kelab Badminton (KB) Puchong United meneruskan rentak kemenangan dalam memburu tempat ke saingan kalah mati SS Purple League (SSPL) musim ini. Mereka mencatatkan kemenangan kedua selepas berjaya menang tipis ke atas KB Kepong 10-9 dalam aksi sengit sebentar tadi.
Selepas kedua-dua pasukan mengharungi tiga perlawanan setakat ini, KB Puchong United berjaya mencatatkan dua kemenangan tetapi kalah dalam perlawanan pertama lalu sementara KB Kepong hanya mencatat satu kemenangan setakat ini.
Pemain perseorangan lelaki KB Puchong United, Chong Wei Feng berjaya menghasilkan kemenangan pertama pasukannya yang menjadi titik penting kejayaan pasukannya dalam perlawanan ini. Dia mengatasi wakil KB Kepong, Lim Chi Wing dengan keputusan 11-7, 11-8, 5-11 (2-1).
Kategori berikutnya menyaksikan pertembungan menarik dan sengit kedua-dua pasukan sehingga empat keputusan seri terhasil dalam perlawanan ini.
Dalam kategori perseorangan wanita, Pan Lu dari KB Puchong United dan Tee Jing Yi dari KB Kepong terikat seri 2-2. Mereka menamatkan 30 minit permainan dengan keputusan 11-4, 7-11, 11-10, 7-11 untuk berkongsi mata.
Kategori beregu lelaki selepas itu menyaksikan keputusan seri sekali lagi terhasil. Dalam perlawanan yang berlangsung menarik itu, gandingan Lim Khim Wah/ Low Juan Shen yang bermain mewakili KB Puchong United terikat 11-7, 11-9, 6-11, 6-7 (2-2) bertemu Hafiz Hashim/ Razif Latif dari KB Kepong.
Perlawanan kategori beregu campuran terus berlangsung rancak selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling agresif untuk memburu mata. Goh Liu Ying/ Yoo Yeon Seong yang bermain bagi pasukan KB Puchong United hampir menang pada awalnya namun lawan mereka dari KB Kepong, Amitrapai Savitre/ Potieng Trawut bangkit mengikat kedudukan 11-9, 11-6, 9-11, 3-4 (2-2).
Dalam aksi kategori terakhir perseorangan lelaki, permainan sengit sekali lagi menyebabkan kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi mata. Pemain KB Puchong United, Tanongsak Saensomboonsuk seri 5-11, 11-7, 11-4, 7-9 (2-2) bertemu Thongnuam Pannawit.
Menurut Chong Wei Feng, dia amat berpuas hati kerana berjaya membantu pasukannya memenangi perlawanan sengit bertemu KB Kepong. Katanya, “Saya rasa ini persembahan yang paling memuaskan dalam SSPL berbanding sebelum ini kerana ini kemenangan pertama saya dan juga membantu kemenangan pasukan KB Puchong United hari ini.
“Saya harap kita boleh layak ke saingan enam terbaik. Sebenarnya saya rasa pasukan kita rugi hari ini kerana kita hilang banyak mata. Kita mendahului lawan tapi mereka menyamakan kedudukan dalam set terakhir hari ini,” ujar Wei Feng yang juga merupakan pemain perseorangan lelaki negara selepas tamat perlawanan.
Saingan peringkat liga round robin SSPL sedang berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya dari 12 hingga 31 Disember dan di Stadium Badminton Cheras pada 2 hingga 8 Januari. Seterusnya peringkat kalah mati enam pasukan terbaik liga ini akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands. Tiket boleh didapati secara online melalui laman web ticketcharge.com.my dan boleh dibeli terus di venue pertandingan.
Keputusan Penuh:
KB Puchong United kalahkan KB Kepong 10-9
MS2: Chong Wei Feng kalahkan Lim Chi Wing 2-1 (11-7, 11-8, 5-11)
WS: Pan Lu seri dengan Tee Jing Yi 2-2 (11-4, 7-11, 11-10, 7-11)
MD: Lim Khim Wah-Low Juan Shen seri dengan Mohd Hafiz Hashim-Mohd Razif Ab Latif 2-2 (11-7 11-9 6-11 6-7)
XD: Goh Liu Ying-Yoo Yeon Seong seri dengan Amitrapai Savitree-Potieng Trawut 2-2 (11-9, 11-6, 9-11, 3-4)
MS1: Tanongsak Saensomboonsuk seri dengan Thongnuam Pannawit 2-2 (5-11, 11-7, 11-4, 7-9)