India and Pakistan back on track
October 25, 2016SHEKHINAHPR WINS MPRA GOLD AWARD
October 25, 2016KUANTAN (25 Oktober, 2016): Perebutan ke separuh akhir QNET Trofi Juara-Juara Asia 2016 semakin rancak selepas pasukan Pakistan menumpaskan pasukan Jepun 4-3 di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan sebentar tadi.
Menentang Jepun yang telah tewas dalam tiga perlawanan awal sebelum ini, Pakistan memperoleh gol pertama hasil gol padang selepas pemain, Muhammad Ifran melakukan pukulan dari luar kotak dan tertampan kayu pemain Jepun pada minit ke-5.
Pasukan Jepun bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan hasil satu gerakan cantik dari sebelah kiri pintu gol Pakistan sebelum disudahkan oleh Seren Tanaka pada minit ke-10.
Belum sempat Jepun mengatur gerakan, Pakistan dihadiahkan pukulan sudut penalti selang 2 minit kemudian. Muhammad Aleem Bilal tidak mensia-siakan peluang apabila mudah menolak masuk hantaran yang dilakukan Muhammad Rizwan untuk kedudukan 2-1.
Namun begitu pemain Jepun, Kenta Tanaka yang mendapat hantaran cantik rakan sepasukan berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi satu pukulan kencang pada minit ke-30.
Bermula separuh masa kedua, Pakistan sekali lagi berada di depan menerusi gol padang Muhammad Rizwan pada minit ke-36.
Selepas itu, permainan terpaksa diberhentikan hampir setengah jam berikutan hujan yang turun dengan begitu lebat menyebabkan padang terlalu basah.
Permainan yang bersambung semula pada minit ke-40 menyaksikan tempo permainan lebih rancak memandangkan kedua-dua pasukan berusaha untuk mencari gol. Hasilnya pada minit ke-52, Pakistan sekali lagi mendapat gol keempat melalui pukulan sudut penalti hasil penyudah Muhammad Aleem Bilal sekali lagi menjadikan kedudukan 4-2.
Drama semakin menarik selepas itu apabila Jepun pula mendapat penalti pada minit ke-54. Hirotaka Zendana tidak bermasalah untuk menyudahkan penalti itu sekaligus merapatkan kedudukan kepada 4-3. Bagaimanapun, kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Berbaki satu lagi perlawanan, Pakistan yang berada di kedudukan ketiga mempunyai peluang ke separuh akhir QNET Trofi Juara-Juara Asia 2016 manakala Jepun sah gagal ke separuh akhir kejohanan ini.
Dalam satu lagi perlawanan, seperti dijangka, China yang memerlukan kemenangan nyata gagal menyaingi kehebatan pasukan India apabila mereka dibelasah 9-0. Keputusan itu menyaksikan India pasukan kedua layak ke separuh akhir selepas Malaysia.
India meraih gol pertama menerusi Akashdeep Singh hasil jaringan padang pada minit ke-9 selepas pemain China tersilap ketika cuba melakukan hantaran ke belakang.
Gol kedua mereka hadir sekali lagi menerusi jaringan padang yang dilakukan oleh pemain berjersi Yousuff Affan pada minit ke-19 untuk kedudukan 2-0.
India terus menggasak dan mereka mendapat gol ketiga menerusi gol padang Jasjit Singh pada minit ke-22 untuk selesa mendahului 3-0.
Selepas itu, India terus berkenduri gol apabila kapten mereka, Rupinder Pal Singh berjaya menyudahkan pukulan sudut penalti untuk kedudukan 4-0 memihak India pada minit ke-25.
Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama India terus rancak menyerang dan hampir memperoleh gol menerusi pukulan sudut penalti namun ia tidak dikira oleh pengadil menjadikan kedudukan 4-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
India mendapat gol kelima pada minit ke-34 menerusi gol padang Devindar Walmiki untuk terus selesa mendahului China dan kemudian menambah gol keenam menerusi Lalit Upadhyay pada minit ke-37.
Gol ketujuh pasukan India menyusul sekali lagi menerusi gol padang Akashdeep Singh pada minit ke-39 sebelum Yousof Affan menambah gol kedua peribadi untuk menjadikan kedudukan menjadi 8-0 pada minit ke-40.
Sembilan minit sebelum tamat perlawanan, India menambah gol kesembilan mereka apabila Jasjit Singh menolak masuk kencang hantaran rakan sepasukannya dalam kotak penalti pasukan China untuk kedudukan 9-0. Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Mengulas perlawanan menentang Malaysia malam esok, jurulatih India, Roelant Oltmans tetap berwaspada dengan ancaman “the speedy tigers”. Dia berkata, “Berhadapan Malaysia esok, ia adalah perlawanan yang pastinya berbeza dengan Malaysia menampilkan aksi menarik dalam tiga perlawanan sebelum ini. Ia adalah cabaran kepada pasukan India.
“Bagaimana permainan kami sebelum ini seperti menentang Korea dan Pakistan, itulah kami akan tampilkan bila bertemu Malaysia esok. Mereka (Malaysia) bertuah kerana mempunyai dua hari rehat dan tentu mereka akan beraksi dengan baik esok.
“Dengan kurang 22 jam sebelum perlawanan esok, itu adalah cabaran kepada kami namun jadual sudah ditetapkan. Kami hanya mengharapkan keputusan positif malam esok berhadapan Malaysia yang mempunyai skil individu yang bagus serta persediaan pasukan yang mantap. Pasukan Malaysia kini lebih meningkat berbanding tahun lalu,” ujar Roelant.
India kini selesa mendahului carta dengan kutipan 10 mata diikuti Malaysia di kedudukan kedua manakala dua lagi slot ke separuh akhir kini menjadi rebutan antara Pakistan, Korea, dan China.
KEPUTUSAN: Pakistan 4 Japan 3; India 9 China 0
JADUAL PERLAWANAN:
RABU (26 Okt, 2016): Korea lwn Jepun (6,30pm); Malaysia lwn India (8.30pm).