Skip to content
● Newsroom — (Newsroom)

YANG DI-PERTUAN AGONG RASMIKAN KEJOHANAN KARATE ASIA KE-19

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah meletakkan tangan di dada ketika majlis perasmian Kejohanan Karate Asia ke-19 di MITC, Melaka

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah merasmikan Kejohanan Karate Asia ke-19 dan Kejohanan Karate Para Asia ke-2 di MITC, Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA (21 Julai): Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Kejohanan Karate Asia ke-19 dan Kejohanan Karate Para Asia ke-2 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Seri Paduka, yang tiba pada pukul 4.28 petang, diiringi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Presiden Persekutuan Karate Sedunia (WKF), Antonio Espinos; Presiden Persekutuan Karate Asia (AKF), Mej. Jen. Nasser Alrazooqi dan Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad.

Seri Paduka, ketika merasmikan kejohanan tersebut, bertitah mengucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur.

"Saya kagum dengan persiapan, tahniah dan syabas kepada penganjur Persatuan Karate Malaysia, saya berdoa supaya ahli karate Malaysia akan berjaya dan saya harap orang Melaka akan terus bagi sokongan kepada atlet karate Malaysia," titah Seri Paduka.

Sebagai simbolik upacara perasmian, Al-Sultan Abdullah memukul gong sebanyak enam kali sebagai tanda perasmian.

Sejurus selepas itu, Seri Paduka turut berkenan menyaksikan perlawanan akhir acara Kata Wanita.

Seramai 388 atlet daripada 32 negara, termasuk penyandang juara keseluruhan di Uzbekistan tahun lalu, Jepun, bersaing pada Kejohanan Karate Asia ke-19 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.

Kejohanan Karate Para Asia edisi kedua juga berlangsung serentak sempena Kejohanan Karate Asia itu.