Skip to content
● Newsroom — (Newsroom)

Sukan Komanwel 2018: Marhan Mahu Fokus Sesi Pemulihan

Sukan Komanwel 2018: Marhan Mahu Fokus Sesi Pemulihan

KUALA LUMPUR (21 MAC 2018): Menjelang temasya Sukan Komanwel 2018 yang akan membuka tirai dari 4 hingga 15 April 2018 di Gold Coast Australia, skuad bimbingan Stephen van Huizen terpaksa melupakan khidmat tonggak posisi tengah negara, Mohd Marhan Mohd Jalil yang mengalami kecederaan patah salah satu tulang di antara jari kaki ketika membantu Malaysia di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2018 baru-baru ini.

Marhan ketika ditemui meluahkan sedikit kesedihan kerana tidak dapat membantu Malaysian Tigers menggalas tugas di Sukan Komanwel namun lebih menitikberatkan soal pemulihan kecederaan yang dialaminya dan tidak mahu kecederaan tersebut mengganggu perancangan pasukan di Gold Coast sekiranya beliau tetap mewakili pasukan tetapi tidak dapat berkhidmat dengan sepenuhnya.

“Kecederaan yang saya alami ini mungkin boleh pulih dalam masa terdekat cuma saya tidak mahu mengambil risiko untuk tetap pergi ke Gold Coast kerana saya tidak mahu apabila tiba di sana nanti saya tidak dapat memberikan komitmen 100 peratus kepada pasukan.

“Kecederaan ini mungkin akan mengganggu saya untuk membantu pasukan sepenuhnya kerana saya memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu untuk pulih sepenuhnya dan sebab itu saya tidak mahu mengambil risiko ke Sukan Komanwel.

“Saya berharap rakan-rakan yang menggalas tanggungjawab ke Sukan Komanwel akan bermain dengan sehabis baik sebagai satu pasukan dan mengutip seberapa banyak pengalaman untuk dibawa ketika beraksi di Sukan Asia dan juga Piala Dunia nanti,” jelas Marhan.

Selain Marhan, Malaysian Tigers juga terpaksa melupakan khidmat Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang turut mengalami kecederaan ketika membantu Malaysia menewaskan Ireland 4-1 pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini selain kecederaan lama yang dialami oleh Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin juga menyaksikan namanya tidak tersenarai ke Sukan Komanwel.

Dalam pada itu, Faiz Helmi Jali yang akan menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya tidak lama lagi memohon pelepasan daripada menyertai kejohanan Sukan Komenwal kali ini kerana mahu memberikan tumpuan kepada semester akhirnya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bersama-sama England, India, Pakistan dan Wales akan membuka tirai perlawanan pada 6 April 2018 bertemu England pada jam 7.30 pagi waktu Malaysia sebelum turun bertemu Wales pada Sabtu (7 April) jam 7.30 pagi waktu Malaysia.

Berikut merupakan senarai 18 pemain bersama senarai menunggu untuk ke Gold Coast.

Muhammad Hairi Bin Abd Rahman

Muhammad Hafizuddin Bin Othman

Mohamad Sukri Bin Abdul Mutalib

Muhammad Razie Bin Abd Rahim

Muhammad Najmi Farizal Bin Jazlan

Syed Mohamad Syafiq Bin.Syed Cholan

Muhammad Amirol Aideed Bin Mohd Arshad

Mohd Fitri Bin Saari

Nabil Fiqri Bin Mohd Noor

Muhammad Azri Bin Hassan

Joel Samuel Van Huizen

Meor Muhamad Azuan Bin Hassan

Tengku Ahmad Tajuddin Bin Tengku Abdul Jalil

Faizal Bin Saari

Muhamad Ramadan Bin Rosli

Muhammad Shahril Bin Saabah

Muhammad Firhan Bin Ashari

Norsyafiq Bin Sumantri

Senarai menunggu:

Muhammad Haziq Samsul

Muhammad Najib Abu Hassan

Mohd Ashran Hamsani

Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran

Muhammad Zaimi Mat Deris (GK)