Skip to content
● Newsroom — (Newsroom)

SRIKANDI BUMI KENYALANG TERUS TERBANG TINGGI

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Fadillah Yusof menyaksikan perlawanan di Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023

Pesilat Sarawak terus cemerlang pada hari keempat SPISC 2023 apabila beberapa wakilnya mara ke final, sekali gus meraih pujian Timbalan Perdana Menteri.

KUCHING (4 Mac): Srikandi Bumi Kenyalang terus terbang tinggi pada Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak (SPISC) 2023 yang semakin hampir melabuhkan tirainya di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Pada saingan yang memasuki hari keempat hari ini, barisan pesilat Sarawak terus mencipta kecemerlangan apabila sebahagian besar wakilnya, sama ada dalam kategori senior mahupun junior, berjaya mengesahkan tempat ke final yang dijadualkan berlangsung esok.

Kejayaan tersebut membuktikan bahawa persediaan mereka menghadapi SPISC 2023 sangat berbaloi, apabila mereka tidak mensia-siakan peluang membuktikan ketangkasan di hadapan penonton sendiri.

Pencapaian yang mereka lakarkan turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Haji Fadillah Yusof yang meluangkan masa meninjau perjalanan SPISC 2023 pagi tadi.

Ketika lawatan singkat itu, Dato' Sri Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi sempat menyaksikan beberapa perlawanan membabitkan pesilat Sarawak di peringkat separuh akhir.

Beliau berbangga kerana para pesilat dari Bumi Kenyalang itu telah mempamerkan kesungguhan serta semangat kesukanan yang tinggi.

Ditanya mengenai prestasi pesilat muda Sarawak, Josh Chua yang menentang Muhammad Amirul Hakim Jaaffar (Melaka) pada separuh akhir kategori Putra C junior, Dato' Sri Fadillah berkata beliau kagum melihat aksi yang dipersembahkan oleh kedua-dua pesilat terbabit.

Dalam pertarungan tersebut, pesilat tuan rumah menang tipis 35-32, sekali gus mengesahkan tempatnya ke final esok.

"Kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing dan saling menghormati antara satu sama lain. Saya lihat Josh Chua juga mempunyai kemahiran yang tinggi. Dia masih muda dan skill juga bagus. Malah beberapa orang pesilat junior kita turut berjaya melangkah ke peringkat akhir dalam acara masing-masing pada sebelah pagi tadi dan ini membuktikan Sarawak berada di landasan yang tepat untuk meraih kejayaan pada kejuaraan ini," tambah beliau.

Beliau juga berharap barisan atlet Sarawak mencapai kejayaan cemerlang pada SPISC kali ini, sekali gus meningkatkan prestasi sukan silat di Sarawak agar lebih berdaya saing dalam apa juga kejuaraan akan datang.

Dato' Sri Fadillah turut memuji usaha kerajaan negeri Sarawak menerusi Rumpun Silat Sarawak (RSS) menganjurkan acara bertaraf antarabangsa seperti SPISC 2023 di Bumi Kenyalang, yang secara tidak langsung akan mempromosikan negeri ini ke pentas dunia selain merancakkan pembangunan sukan silat.

"Kami di peringkat kepimpinan akan sentiasa menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri bagi membolehkan mereka menjalankan pelbagai program terutamanya aktiviti sukan yang merupakan antara alat penting untuk menyatukan rakyat, serta meletakkan keyakinan yang tinggi kepada RSS untuk menarik lebih ramai generasi muda melibatkan diri dalam sukan seni silat," ujar beliau.

Hari cemerlang kontinjen tuan rumah bermula dengan langkah kanan apabila wakilnya, Nor Azeman Pie'e berjaya melangkah ke final acara Putra B junior selepas mencatatkan kemenangan 28-14 ke atas atlet Singapura, Muhd Ridzqi Mohd Fadzil.

Kecemerlangan tersebut diteruskan oleh Nur Hazeerah Syafiqah Suffian yang menang mudah 43-27 ke atas pesilat Singapura, Nur Izzah Johanis dalam kategori Putri B senior.

Kem Sarawak terus ceria apabila Mohd Ashraf Amirul Razaman turut mengesahkan tempat ke final hasil kemenangan 56-36 ke atas Muhammad Ridzuan Nasir (Pahang) dalam kategori Putra D senior, diikuti kemenangan 60-15 Muhd Azrie Muhammad Azuan Tiong ke atas atlet Filipina, Stephen Suazo dalam kategori Putra Terbuka senior.

Saingan hari keempat SPISC 2023 turut menyaksikan beberapa acara akhir berlangsung pada sebelah malam, dan berdasarkan jadual, kontinjen Sarawak sudah mengesahkan pingat emas dan perak dalam acara seni Ganda Putra senior apabila wakilnya bertemu sesama sendiri di final.

Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 akan melabuhkan tirainya esok, 5 Mac, dan ia bakal menjadi detik penentuan bagi kontinjen yang akan membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah USD20,000 serta tali pinggang kejuaraan. Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching dan kemasukan adalah percuma.