RUMPUN SILAT SARAWAK TEKAD ANGKAT MARTABAT PENCAK SILAT

Rumpun Silat Sarawak tekad memartabatkan pencak silat menerusi penganjuran edisi sulung Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 yang bermula 27 Februari.
KUCHING (9 Februari): Pencak silat yang telah sekian lama bertapak di bumi Nusantara Melayu merupakan seni mempertahankan diri yang wujud sejak zaman Kerajaan Langkasuka. Ia digunakan sebagai perisai menentang penjajah luar sebelum kewujudan senjata api seperti senapang dan meriam.
Antara elemen penting dalam pencak silat ialah keris, sejenis senjata bermata dua yang digunakan untuk mempertahankan diri serta sebagai alat kebesaran diraja, yang kini menjadi sebahagian daripada warisan bangsa Melayu yang perlu dipertahankan.
Sukan silat mula diperkenalkan secara meluas apabila Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) ditubuhkan pada 1983, dan sehingga kini telah berjaya menghimpunkan ribuan pesilat dan pertubuhan silat di bawah payung PESAKA, sekali gus tidak pernah putus melahirkan jaguh-jaguh silat di Malaysia.
Sarawak, sebuah negeri yang mempunyai pelbagai etnik, juga tidak ketinggalan dalam melahirkan pesilat yang handal, selain mempunyai ratusan pertubuhan silat di bawah panji Rumpun Silat Sarawak (RSS). Bumi Kenyalang itu bakal melakar satu lagi sejarah dengan penganjuran Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 yang akan membuka tirai pada 27 Februari depan di Stadium Tertutup Kuching.
Kejuaraan edisi sulung yang dianjurkan oleh RSS itu membuktikan komitmen mereka untuk mengangkat martabat pencak silat, seiring dengan kerancakan aktiviti silat di bawah seliaan RSS bagi melahirkan lebih ramai pesilat di Malaysia.
Bagi Timbalan Presiden RSS, Dato' Mohamad Yusnar Haji Matalie, amat mustahak untuk memelihara dan memartabatkan pencak silat bagi memastikan ia tidak pupus ditelan arus zaman.
"Kami di RSS akan sentiasa memberi sepenuh hati dan komitmen dalam memelihara serta mempromosikan pencak silat di bumi Sarawak. Ia adalah satu manifestasi keunikan seni budaya yang telah bertahan sehingga kini, dan menjadi satu kewajipan serta tanggungjawab untuk kita menjaga warisan peninggalan nenek moyang kita, bukan sahaja di Sarawak malah di Malaysia," katanya.
Beliau juga mahu menjadikan Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 sebagai sebahagian daripada langkah memelihara pencak silat, selain sebagai penanda aras buat RSS untuk menganjurkan lebih banyak kejuaraan silat di Sarawak pada masa akan datang.
"RSS memasang impian agar kejuaraan edisi sulung ini dapat berlangsung dengan jayanya. Malah, kami mempunyai perancangan untuk menjadikan kejuaraan ini sebahagian daripada kalendar antarabangsa sukan silat, iaitu kami berhasrat untuk menganjurkan Kejuaraan Silat Siri Sarawak pada tahun akan datang.
"Kami menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri, khususnya Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg di atas sokongan yang diberikan kepada RSS selama ini serta kecintaan beliau terhadap sukan silat. Saya berharap kita dapat sama-sama meraikan budaya pencak silat serta mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi apabila bertarung di dalam gelanggang nanti," tambah beliau.
Bagi menambahkan lagi kemeriahan, pelbagai program menarik turut dianjurkan, antaranya Larian Pendekar, Pesta Makanan dan Festival Kebudayaan anjuran Majlis Seni Sarawak.
Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD20,000 kepada juara keseluruhan, dan buat kali pertama, tali pinggang kejuaraan turut diperkenalkan untuk juara keseluruhan. Negara-negara seperti Indonesia, Singapura, Kyrgyzstan dan Amerika Syarikat bakal menghangatkan saingan.
(Related stories)
All stories
September 23, 2026
108 TEAMS WILL ENTERTAIN MALAYSIA'S LARGEST RUGBY CARNIVAL

September 11, 2026
DASHING LAUNCHES DASHING TALENT SCHOLARSHIP 2026 TO UNCOVER YOUNG FOOTBALL TALENT THROUGHOUT MALAYSIA

July 22, 2026