Skip to content
● Newsroom — (Newsroom)

Piala Sultan Azlan Shah 2018: Malaysian Tigers Hilang Empat Tonggak Ekoran Kecederaan

Piala Sultan Azlan Shah 2018: Malaysian Tigers Hilang Empat Tonggak Ekoran Kecederaan

KUALA LUMPUR (28 FEBRUARI 2018): Skuad Malaysian Tigers terpaksa melupakan khidmat empat pemain kebangsaan pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2018 yang akan membuka tirai bermula 3 hingga 10 Mac 2018 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah Ipoh Perak, ekoran kecederaan yang dialami oleh mereka.

Kapten negara, Muhammad Sukri Abdul Mutalib terpaksa melupakan kejohanan tersebut ekoran kecederaan hamstring sementara Muhammad Ramadan Rosli mengalami kecederaan bahagian belakang dan baru tamat sesi pemulihan serta masih belum cergas sepenuhnya untuk beraksi di kejohanan kompetitif.

Turut tidak berada di dalam senarai Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin yang mengalami kecederaan lutut ketika beraksi di kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia baru-baru ini dan kem Malaysia juga turut kehilangan khidmat pemain muda yang kian meningkat naik serta berada di dalam perancangan awal ke kejohanan tersebut, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad ekoran kemalangan jalanraya ketika menunggang motosikal pulang daripada perlawanan persahabatan antarabangsa pertama bertemu Argentina, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Malaysian Tiger, Stephen van Huizen yang ditemui selepas tamat perlawanan persahabatan kedua menentang Argentina menganggap dua perlawanan persahabatan yang telah dijalani antara persediaan terbaik buat skud bimbingannya menjelang PSAS 2018.

“Dua perlawanan persahabatan yang telah dijalani merupakan persediaan terbaik yang kami miliki dimana semalam kami bermain perlawanan penuh dan hari ini kami hanya bermain 30 minit dan sekurang-kurangnya pemain mendapat gambaran apa yang bakal mereka tempuhi di Ipoh nanti.

“Saya mengharapkan skuad bimbingan saya akan memulakan kejohanan dengan langkah kanan kerana ia bakal membantu kami untuk meneruskan kejohanan dengan lebih baik kerana kami menyedari perlawanan yang sengit akan ditempuhi nanti.

“Bagaimanapun kami perlu berjuang untuk setiap gol dan setiap mata kerana pasukan yang bersaing di PSAS berada di kedudukan ranking lebih tinggi dan kami mengambil cabaran untuk memberikan persaingan terbaik kepada mereka dan kami akan melihat perlawanan demi perlawanan untuk memperbaiki pasukan,” ujar Stephen.

Kejohanan PSAS yang memasuki edisi ke-27 itu juga bakal menjadi kejohanan pertama bersama skuad senior buat Norsyafiq Sumantri yang membantu Malaysia muncul juara bagi acara hoki dalam dewan pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Malaysia akan bertemu Ireland pada perlawanan pertama (3 Mac 2018) jam 8.30 malam di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh Perak sebelum turun menentang finalis tahun lalu, Australia pada perlawanan kedua.

Berikut merupakan senarai nama 18 pemain ke Piala Sultan Azlan Shah 2018:

Muhammad Hafizuddin B. Othman

Mohammad Hairi B. Abd Rahman

Muhammad Razie B. Abd Rahim

Muhammad Najmi Farizal B. Jazlan

Faiz Helmi B. Jali

Syed Mohamad Syafiq B. Syed Cholan

Muhammad Azri B. Hassan

Mohd Marhan B. Mohd Jalil

Mohd Fitri B. Saari

Nabil Fiqri B. Mohd Noor

Tengku Ahmad Tajuddin B. Tengku Abd Jalil

Faizal B. Saari

Nik Muhammad Aiman B. Nik Rozemi

Muhammad Firhan B. Ashaari

Meor Muhamad Azuan B. Hassan

Norsyafiq B. Sumantri

Joel Samuel Van Huizen

Muhammad Shahril B. Saabah