Skip to content
● Newsroom — (Newsroom)

PESILAT SARAWAK MULA PAMER KEBANGKITAN

Josh Chua (Sarawak, pelindung biru) menentang Mohamad Mirza Danish Abdullah (Pahang) pada suku akhir kategori Putra C junior SPISC 2023

Pesilat Sarawak mula menunjukkan kebangkitan pada hari kedua SPISC 2023 apabila Josh Chua, Shahameirul Shelby dan Suhaiqal Suhardie melepasi suku akhir kategori masing-masing.

KUCHING (1 Mac): Sarawak mula menunjukkan kebangkitan selepas beberapa pesilatnya meraih kemenangan pada saingan hari kedua Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya hari ini.

Josh Chua, Shahameirul Shelby Mohamad Maiden dan Suhaiqal Suhardie adalah antara wira kontinjen Bumi Kenyalang yang telah melepasi halangan pada saingan suku akhir dalam kategori masing-masing.

Josh Chua yang turun membawa cabaran Sarawak dalam kategori Putra C junior tampil tangkas menguasai pertarungan dengan mempelbagaikan gaya serangan bagi mengelirukan lawannya dari Pahang, Mohamad Mirza Danish Abdullah.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri turut memainkan peranan meningkatkan keyakinan dirinya, sekali gus merealisasikan impiannya melepasi halangan di peringkat suku akhir. Josh Chua menang mudah pertarungan tersebut dengan pungutan mata 72-18.

Seorang lagi rakan sepasukannya, Shahameirul Shelby yang beraksi dalam kategori Tunggal Putra, turut mencatat nama sebagai pemenang meskipun meraih jumlah markah yang sama iaitu 9.9 mata dengan lawannya, Mohd Hearri Chieng Mohd Firdaus Cheng yang mewakili skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Turut menceriakan kem tuan rumah hari ini ialah Suhaiqal Suhardie yang menggalas cabaran dalam kategori Tunggal Baku Putra. Acara tersebut yang terus memasuki peringkat suku akhir hari ini menyaksikan Suhaiqal meraih 9.885 mata berbanding lawannya, Dapa Riki Ananda dari Indonesia yang mengumpul 9.850 mata.

Ia kemenangan yang sangat bermakna buat pesilat Sarawak itu kerana dia berjaya mengatasi ancaman lawannya yang lebih berpengalaman.

Selain kebangkitan pesilat Sarawak, turut mencuri tumpuan hari ini ialah rentak yang diperagakan oleh jaguh dari Amerika Syarikat, Omar Daken.

Menariknya, pesilat ini beraksi dalam dua acara peringkat suku akhir, iaitu kategori Tunggal Baku Putra dan kategori Putra C junior. Dia hanya memiliki masa rehat yang singkat sebelum acara keduanya dan akibatnya, dia tewas dalam kedua-dua acara tersebut.

Dalam kategori Tunggal Baku Putra, Omar Daken tunduk kepada pesilat Singapura, Raif Muhd Syariz Muhd Rizal, manakala dalam kategori Putra C junior, impiannya dileburkan oleh jaguh Indonesia, Dapa Riki Ananda.

Ketika pertarungan menjadi semakin sengit di semua gelanggang, cerita menarik berlaku di gelanggang Arena 2. Gara-gara gagal mengawal emosi terhadap keputusan para juri, pesilat Singapura, Abdul Raaif Abdul Rashid menerima padah meskipun dia dilihat sebagai pilihan untuk memenangi pertarungan kategori Putra C junior.

Lawannya, Asadov Ismoil dari Uzbekistan dihadiahkan kemenangan walaupun sepanjang pertarungan tersebut Asadov dilihat lebih banyak bertahan daripada menyerang.

Pesilat Terengganu turut tampil cemerlang pada saingan hari kedua apabila Mohd Rafiqi Nazri berjaya melangkah ke separuh akhir selepas mengatasi cabaran pesilat Uzbekistan, Azizjonov Abduquddus dalam kategori Putra D junior, dengan kemenangan 22-6.

Pesilat Brunei Darussalam, Muhammad Ali Saifullah Muhd Suhaimi pula bernasib baik apabila melepasi halangan pertama dalam kategori Tunggal Baku Putra dengan kelebihan tipis satu mata ke atas Muhammad Ridhwan Ahmad Jani.

Pesilat Melaka, Muhammad Amirul Hakim Jaaffar mudah melepasi halangan di peringkat suku akhir kategori Putra C junior selepas mencatatkan kemenangan 55-30 ke atas lawannya dari Terengganu, Muhd Faris Iqbal Zamzuri.

Selepas dua hari bertarung, kejuaraan ini terus berjalan lancar dan para pesilat semakin meningkatkan momentum persembahan masing-masing dalam misi memburu kejayaan buat kontinjen mereka.

Corak persembahan yang dipamerkan semua atlet yang bertanding juga semakin meningkat dan ini bakal membawa aura positif buat sukan silat di rantau ini.

Kejuaraan pertama seumpamanya yang dihoskan oleh Sarawak ini berjaya menarik penyertaan lebih 500 pesilat, termasuk dari Amerika Syarikat, Thailand, Filipina, Singapura, Kyrgyzstan dan Uzbekistan.