Skip to content
● Newsroom — (Newsroom)

MAKAF UMUM ENAM ATLET KARATE KE SUKAN ASIA HANGZHOU

Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad ditemu bual pemberita di Kejohanan Karate Asia ke-19 di MITC, Melaka

MAKAF mengumumkan enam atlet kumite yang akan mewakili negara di Sukan Asia Hangzhou dengan sasaran satu pingat emas.

MELAKA (22 Julai): Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) mengumumkan senarai enam atlet yang akan memikul cabaran negara pada temasya Sukan Asia Hangzhou, China dari 23 September hingga 8 Oktober depan.

Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, enam atlet yang dipilih terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita yang bertanding dalam acara kumite mengikut kategori masing-masing.

Menurutnya, empat atlet karate lelaki yang dipilih ialah Muhammad Arif Afifuddin (kumite lelaki 84kg), H. Sureeya Shankar (kumite lelaki 60kg), S. Prem Kumar (kumite lelaki 55kg) dan R. Sharmendran (kumite lelaki bawah 75kg).

Beliau berkata, dua atlet karate wanita yang menjadi sandaran MAKAF ialah P. Madhuri (kumite wanita 55kg) dan C. Shahmalarani (kumite wanita bawah 50kg).

Menurutnya, keputusan memilih enam atlet tersebut dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan tiga jurulatih skuad karate negara.

"MAKAF mensasarkan hanya satu pingat emas pada temasya Sukan Asia di Hangzhou, China September ini dan sasaran ini adalah realistik setidak-tidaknya.

"Persiapan rapi akan dilakukan untuk enam atlet karate negara yang terpilih bagi menjalani latihan di Maghribi, Tunisia dan sebuah negara di Eropah," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Kejohanan Karate Asia ke-19 yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Nur Azmi berkata, skuad karate negara mempunyai tempoh dua bulan untuk membuat persiapan rapi bagi mengharungi cabaran getir di Sukan Asia nanti.

Menurutnya, MAKAF berkemungkinan besar akan membuat perubahan kategori atlet yang bertanding mengikut kesesuaian acara yang dipertandingkan nanti.

Katanya, perubahan itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal selepas menilai prestasi kesemua 16 atlet karate negara yang bertanding di Kejohanan Karate Asia ke-19 yang sedang berlangsung di MITC. Ujarnya, perubahan itu amat penting supaya enam atlet karate itu dapat menyumbang satu pingat emas yang disasarkan.

"Sebagai contoh, jika Prem boleh kekal bertanding bagi berat badan 75kg kita akan kekalkan, begitu juga kalau Sureeya Shankar boleh ke berat 55kg daripada 60kg kita akan turunkan," ujarnya.