Skip to content
● Newsroom — (Newsroom)

KONTINJEN NEGARA JUARA KESELURUHAN KEJUARAAN SILAT PREMIER ANTARABANGSA SARAWAK 2023

Kontinjen silat negara meraikan kejayaan dengan bendera Malaysia, tali pinggang juara dan cek USD20,000 juara keseluruhan Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023

Skuad silat kebangsaan muncul juara keseluruhan Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 dengan 11 emas, diikuti tuan rumah Sarawak dan Singapura.

KUCHING (5 Mac): Skuad kebangsaan muncul juara keseluruhan Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak (SPISC) 2023 selepas menutup saingan dengan pungutan 11 pingat emas, 2 perak dan 2 gangsa di Stadium Perpaduan, Petra Jaya malam ini.

Sarawak selaku tuan rumah pula muncul naib juara selepas menamatkan kempen dengan pencapaian 9 emas, 9 perak dan 9 gangsa. Singapura pula di kedudukan ketiga dengan pencapaian 8 emas, 10 perak dan 5 gangsa.

Dengan kejayaan tersebut, skuad negara membawa pulang hadiah wang tunai juara keseluruhan berjumlah USD20,000, manakala Sarawak menerima USD4,000 dan Singapura USD2,000.

Penguasaan barisan pesilat negara dalam acara final kategori senior memang luar biasa, apabila tujuh daripada sembilan wakilnya yang beraksi di final menamatkan cabaran dengan kilauan emas.

Misi memburu emas skuad negara bermula dengan kemenangan Afiq Aniq Fazly yang tampil tangkas untuk menumbangkan lawannya dari Singapura, Muhd Syahiran Jeffry dalam kategori Putra G senior.

Pada perlawanan akhir itu, Afiq Aniq yang dibimbing bekas juara dunia, Siti Rahmah Nasir menang dengan keputusan 25-15, sekali gus menghadiahkan emas pertama buat kontinjen negara. Afiq merupakan pemenang pingat gangsa pada kejuaraan Pencak Silat Antarabangsa Terbuka Sultan pada 2020 di Tashkent, Uzbekistan.

Saingan kategori Putri B senior yang menyusul selepas itu berlangsung sengit apabila atlet negara, Norsyakirah Muksin dipaksa mengerah tenaga oleh pencabarnya, Syaza Insyirah Roslan dari Singapura.

Kedua-dua pesilat sering berbalas serangan, namun Norsyakirah berjaya mengawal situasi untuk menang dengan keputusan 19-13 dan menghadiahkan emas kedua negara.

Selepas itu, Mohamad Hazim Amzad pula menyumbang emas buat skuad negara menerusi kemenangannya dalam perlawanan akhir kategori Putra C senior, menewaskan pesilat Singapura, Aniq' Asri Mohd Yazid dengan keputusan 25-15.

Rentak cemerlang pesilat negara berterusan apabila Muhammad Izzul Irfan Marzuki pula mencatat nama selaku penyumbang emas. Dia menang 30-28 ke atas pesilat tuan rumah, Mohd Ashraf Amirul Razaman dalam kategori Putra D senior.

Tiga lagi pingat emas yang dikutip skuad negara adalah menerusi kemenangan Siti Shazwana Ajak (Putri D senior), Nor Farah Mazlan (Putri A senior) dan Mohd Abdul Latif Mazakir (Putra H senior).

Dua lagi wakil negara yang beraksi di final terpaksa berpuas hati dengan pingat perak. Muhammad Robial Sobri tewas 0-15 kepada juara dunia dari Singapura, Sheik Ferdous Sheikh Alau'ddin dalam kategori Putra I senior.

Muhd Amizul Azmi Mohammad Ridzuan pula dikejutkan dengan kekalahan kepada pesilat Terengganu, Mohd Afifi Nazri dalam kategori Putra A senior.

Menurut jurulatih skuad negara, Siti Rahmah Nasir, pencapaian para pesilat pada SPISC ini menepati apa yang telah mereka sasarkan.

"Mereka telah mempamerkan kesungguhan dan SPISC ini merupakan medan terbaik buat kami melakukan persediaan menjelang Sukan SEA Kemboja pada Mei nanti.

"Kesemua pesilat yang beraksi pada SPISC merupakan kontinjen yang akan mewakili negara di Sukan SEA nanti dan secara keseluruhannya, mereka sudah siap baik dari segi mental dan fizikal," jelas Siti Rahmah yang juga bekas juara dunia.

Sarawak pula yang mempunyai empat wakil beraksi di final kategori senior membawa pulang dua pingat emas, menjadikan jumlah keseluruhan 9 emas selepas meraih 5 emas dalam kategori junior dan dua menerusi acara seni.

Dua emas yang mereka peroleh malam ini disumbangkan oleh Zulaika Razaman yang menang tanpa bertanding dalam kategori Putri C selepas lawannya, Nur Adilah Mohamad Zamri dari Negeri Sembilan menarik diri.

Muhd Azrie Muhammad Azuan Tiong pula meraih emas dalam kategori Putra Terbuka 1 selepas menundukkan lawannya Muhammad Rohaizad Shah Mohd Rosul (ATM) 33-15.

Harapan tuan rumah dalam acara Putri E senior menemui kehampaan apabila wakilnya Raveena Jeno tewas kepada pesilat Singapura, Siti Khadijah Mohd Shahrem.

Tujuh pesilat junior Sarawak layak ke final dalam kategori masing-masing pada sebelah pagi tadi dan lima daripada mereka berjaya menghadiahkan pingat emas buat kontinjen mereka.

Pemburuan emas pesilat junior Bumi Kenyalang bermula dengan kejayaan Nor Azeman Pie'e yang mencatat kemenangan 26-13 ke atas lawannya, Muhammad Iman Zhafran Abdul Hamid (Negeri Sembilan) dalam kategori Putra B junior.

Prettia Omeera Abdul Rahman yang turun dalam final kategori Putri F junior berdepan cabaran atlet Perlis, Amna Wong Daniel Wong dan kedua-duanya tampil dengan aksi yang seimbang. Namun, nasib menyebelahi Prettia yang menang tipis 56-54.

Kecemerlangan Prettia diteruskan oleh Josh Chua yang menang bergaya dengan keputusan TKO 54-47 ke atas wakil Indonesia, Dapa Riki Ananda, sekali gus menghadiahkan emas ketiga Sarawak.

Rentetan pungutan pingat emas diteruskan menerusi Sharifah Nurhalimatun Wan Mohamad yang menang mudah 42-12 ke atas pesilat Brunei Darussalam, Dyg Muna Awg Munir dalam kategori Putri G junior.

Final kategori Putri B junior pula menyaksikan Sarawak meraih emas dan perak apabila kedua-dua finalis merupakan wakil Sarawak. Nurul Maisyarah menjulang emas selepas menewaskan rakan sepasukannya, Nur Hazeerah Syafiqah Suffian dengan keputusan 40-26.

Kejayaan barisan pesilat remaja Sarawak itu membuktikan bahawa mereka kini mempunyai atlet pelapis yang berwibawa dan menjanjikan masa depan yang sangat cerah buat sukan silat di negeri berkenaan.

Edisi sulung Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 yang bermula sejak 27 Februari lalu ditutup secara rasmi oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan), YB Dr Ripin Lamat, dan turut dihadiri Timbalan Presiden Rumpun Silat Sarawak, Dato' Haji Mohd Yusnar Haji Matalie. Kejuaraan itu menghimpunkan lebih 500 pesilat dari dalam dan luar negara, termasuk Amerika Syarikat, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Belanda, Filipina, Indonesia, Thailand dan Singapura.