Skip to content
● Newsroom — (Newsroom)

KEM SILAT SARAWAK MAHU GUNA KELEBIHAN DI LAMAN SENDIRI

Kontinjen silat Sarawak memegang bendera Sarawak pada Majlis Penyerahan Bendera bersama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak

Kem silat Sarawak mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri pada Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 yang bermula 27 Februari.

KUCHING (23 Februari): Menjelang Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 (SPISC) yang akan membuka tirai pada 27 Februari, kem silat Sarawak mahu menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk melakar beberapa kejutan pada saingan yang bakal berlangsung selama tujuh hari di Stadium Tertutup Kuching.

Kejuaraan edisi sulung yang dianjurkan oleh Rumpun Silat Sarawak itu bakal menghimpunkan 21 kontinjen dalam dan luar negara, sekali gus menjadikannya pertandingan yang dinanti-nantikan oleh para pencinta sukan silat, khususnya di Bumi Kenyalang.

Antara negara luar yang menyahut cabaran di kejuaraan ini ialah Kyrgyzstan, Uzbekistan, Singapura, Belanda, Vietnam, Filipina, Thailand dan Amerika Syarikat.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah memberikan jaminan bahawa Sarawak sudah bersedia untuk menganjurkan kejuaraan berprestij tinggi melibatkan kontinjen dari luar negara.

"Kita telah berjaya menarik 11 buah negara untuk menyertai kejohanan kali ini. Ia memberikan isyarat jelas bahawa edisi sulung ini mendapat sambutan yang memberangsangkan.

"Malah, tinjauan bagi persediaan dari segi logistik dan kemudahan fasiliti semuanya telah bersedia menerima kehadiran para pencinta silat dari seluruh dunia."

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menambah, "Beberapa agensi dan jabatan kerajaan telah sama-sama menggembleng tenaga dalam menganjurkan beberapa program menarik bagi menghangatkan kejohanan, seperti Pesta Makanan dan Festival Kebudayaan anjuran Majlis Seni Sarawak."

Mengulas persiapan kem silat Sarawak, beliau menjelaskan Sarawak akan diperkuatkan oleh 63 pesilat yang terdiri daripada dua pasukan bagi memastikan mereka dapat memanfaatkan saingan ini untuk meraih pengalaman.

"Kita menghantar 63 jaguh pesilat dari Sarawak. Kita ingin mengambil kelebihan bertarung di laman sendiri sekali gus menyuntik semangat mereka untuk berentap merebut kejuaraan. Selain memberikan saingan sengit, pendedahan serta pengalaman yang bernilai akan mereka peroleh apabila menentang jaguh silat dunia."

Zulaika Razaman, jaguh pesilat Sarawak yang akan bersaing dalam kategori Putri C, berazam untuk mempamerkan aksi bertenaga, lebih-lebih lagi apabila berpeluang beraksi di hadapan penyokong dan peminat silat tanah air.

Anak jati Miri berusia 23 tahun yang beraksi cemerlang pada Kejuaraan Silat Dunia ke-19 di Melaka itu ingin memanfaatkan kejuaraan edisi sulung ini sebagai medan pemanas badan menjelang Sukan SEA Kemboja 2023.

"Saya amat teruja kerana dapat beraksi di sini. Ia adalah peluang besar bagi saya meningkatkan ketangkasan dan kecergasan sebagai persiapan ke Sukan SEA 2023," katanya.

Edisi sulung kejuaraan ini juga bakal disiarkan menerusi saluran SPOTV yang akan menyajikan saingan hangat kepada hampir 500 juta penonton di rantau Asia Tenggara.

Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD20,000 kepada juara keseluruhan, dan buat kali pertama, tali pinggang kejuaraan turut diperkenalkan untuk juara keseluruhan.