KEJUTAN PADA HARI PERTAMA KEJOHANAN BADMINTON TERTUTUP JOHOR 2023

Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 bermula dengan kejutan apabila Yew Jun Cheng menewaskan pemain pilihan Choo Zeng Feng dalam perseorangan lelaki bawah 14 tahun.
PONTIAN (5 Januari): Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 membuka tirai hari ini dengan pelbagai aksi menarik diperagakan oleh para peserta, selain beberapa kejutan yang menghiasi hari pertama kejohanan edisi ke-11 ini.
Presiden Persatuan Badminton Johor, Mat Rashid Jahlil berpuas hati dengan sambutan yang amat menggalakkan pada hari pembukaan serta menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.
Dia berkata, "Bagi pihak Persatuan Badminton Johor (JBA), kami amat gembira dengan jumlah penyertaan pemain muda pada edisi kali ini dan amat berterima kasih kepada semua pihak di atas komitmen yang ditunjukkan bagi memastikan kejohanan ini dapat dijalankan.
"Kami akan sentiasa mencari ruang untuk menambah baik aspek penganjuran bagi memastikan kejohanan ini kekal relevan dan kompetitif pada masa akan datang. Malah, JBA sedang merancang untuk mengadakan Kejohanan Badminton Terbuka Johor pada tahun hadapan dengan penyertaan yang lebih terbuka kepada pemain muda tempatan serta luar negara," tambahnya.
Dalam kategori Perseorangan Lelaki Bawah 14 Tahun, Yew Jun Cheng dari Akademi Badminton AIM yang berpusat di Johor Bahru menarik perhatian penonton apabila menundukkan pemain pilihan kejohanan, Choo Zeng Feng dari Albert Sports 21-7, 21-6.
Yew Jun Cheng menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan lawannya pada set pertama 21-7, sekali gus mengundang reaksi positif daripada penonton yang hadir.
Dalam set kedua, Choo Zeng Feng bermula dengan baik apabila mendahului enam mata, namun Jun Cheng kekal tenang dan akhirnya meninggalkan lawannya dengan kemenangan selesa 21-6.
Ketua Jurulatih Akademi Badminton AIM, Soong Fie Cho yang juga bekas pemain beregu negara kagum dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Jun Cheng.
Beliau berkata, "Jun Cheng sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam persiapan untuk menyertai kejohanan ini dan saya berasa bangga dengan permainan yang ditunjukkan oleh Jun Cheng."
Fie Cho yang pernah memenangi emas Sukan SEA 2015 di Singapura amat yakin dengan kemampuan Jun Cheng untuk meneruskan momentum pada pusingan seterusnya.
Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 edisi ke-11 berlangsung dari 5 hingga 8 Januari dengan lebih 600 peserta dijangka menghangatkan saingan di DBC Sport Arena, Pontian, Johor.
(Related stories)
All stories
September 23, 2026
108 TEAMS WILL ENTERTAIN MALAYSIA'S LARGEST RUGBY CARNIVAL

September 11, 2026
DASHING LAUNCHES DASHING TALENT SCHOLARSHIP 2026 TO UNCOVER YOUNG FOOTBALL TALENT THROUGHOUT MALAYSIA

July 22, 2026