Skip to content
● Newsroom — (Newsroom)

KEJOHANAN KARATE ASIA KE-19 DAN KEJOHANAN KARATE PARA ASIA KE-2

Pemenang pingat bergambar di podium Kejohanan Karate Senior Asia ke-19 di MITC, Melaka

Kazakhstan muncul juara keseluruhan Kejohanan Karate Asia ke-19 di Melaka, manakala skuad negara menduduki tangga ke-13 dengan tiga pingat gangsa.

MELAKA (23 Julai): Kazakhstan muncul juara keseluruhan di Kejohanan Karate Asia ke-19 yang berakhir di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Kehebatan atlet karate negara itu tidak mampu ditandingi, khususnya oleh Jepun selaku juara tahun lalu di Uzbekistan yang sekadar muncul naib juara.

Kazakhstan dinobatkan juara atas kejayaan meraih tiga emas, empat perak dan empat gangsa, keseluruhannya 11 pingat. Di Uzbekistan, Kazakhstan sekadar menduduki tangga ketiga apabila meraih dua emas, empat perak dan dua gangsa.

Juara tahun lalu Jepun pula kecewa gagal mempertahankan kedudukannya apabila muncul naib juara di belakang Kazakhstan.

Jepun sekadar meraih tiga emas, tiga perak dan dua gangsa, keseluruhannya lapan pingat, jauh daripada prestasi mereka di Uzbekistan apabila meraih lapan emas, dua perak dan tiga gangsa.

Iran pula muncul di tempat ketiga selepas memperoleh tiga emas, dua perak dan tujuh gangsa, diikuti Jordan di tempat keempat (2 emas, 1 perak, 3 gangsa) dan Hong Kong di tempat kelima (2 emas, 1 gangsa).

Sementara itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah menyempurnakan majlis penutup kejohanan yang bermula sejak Jumaat lalu secara rasmi hari ini.

Mohd Ali yang juga Penaung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF) turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang.

Bagi Kejohanan Karate Para Asia ke-2, Iran muncul juara keseluruhan apabila meraih empat pingat emas, diikuti Kazakhstan sebagai naib juara dengan dua emas dan dua perak, manakala Arab Saudi di tempat ketiga meraih satu emas, dua perak serta lima gangsa.

Sementara itu, skuad karate negara menduduki tangga ke-13 keseluruhan apabila meraih tiga pingat gangsa.

Trio berpasukan Kata wanita menceriakan kem negara apabila menyumbang pingat gangsa ketiga selepas berjaya menumpaskan pasukan Hong Kong pada hari terakhir kejohanan.

Trio yang dibarisi Lovelly Anne Robberth, Naccy Nelly Evvaferra dan Niathalia Sherawinnie meraih 42.4 mata, menewaskan pasukan Hong Kong yang sekadar mendapat 41.8 mata.

Sebelum ini, dua gangsa diraih skuad negara pada hari pertama kejohanan menerusi S. Prem Kumar dalam acara Kumite lelaki 55kg dan Zakiah Adnan dalam Kumite wanita bawah 61kg.

Pencapaian tiga gangsa itu memperbaiki pencapaian skuad karate negara di kejohanan yang sama di Uzbekistan tahun lalu apabila meraih dua gangsa.

Keseluruhan skuad karate negara menduduki tangga ke-13 daripada 32 buah negara yang mengambil bahagian membabitkan 388 atlet pada kejohanan kali ini.

Jurulatih pasukan negara, Mohd Norfarhan Nordin berkata, trio wanita negara itu semakin matang dan menunjukkan peningkatan dalam kejohanan kali ini.

"Saya berpuas hati kerana trio ini sudah faham aspek teknikal Kata. Persembahan mereka juga semakin meningkat," katanya.

Mengenai peluang anak didiknya tersenarai dalam Sukan Asia yang bakal berlangsung di Hangzhou, China, beliau berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak pengurusan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF).

Sementara itu bagi Niathalia Sherawinnie, kejayaan trionya meraih pingat gangsa adalah hadiah sempena hari lahirnya semalam. Atlet kelahiran Sabah itu berkata, dia serta rakannya berpuas hati dengan persembahan hari ini walaupun sekadar meraih gangsa.

"Sangat puas hati dengan pingat ini menjadi hadiah hari lahir saya yang jatuh semalam," katanya selepas aksi itu.