Dania Sofea dan Ariffin Nazri melangkah dengan bergaya ke peringkat akhir

Ariffin Nazri dan Dania Sofea mara ke final Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023, sekali gus menjanjikan aksi menarik pada hari terakhir kejohanan.
PONTIAN (7 Januari): Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 edisi ke-11 semakin hampir melabuhkan tirainya apabila pilihan utama kejohanan, Ariffin Nazri Zakaria menepati ramalan untuk mara ke pentas akhir selepas menewaskan Amirul Imran pada perlawanan separuh akhir petang tadi.
Ariffin berdepan tentangan sengit daripada pemain pilihan ketiga kejohanan itu, namun berjaya menafikan kemaraan Amirul dengan kemenangan 21-15, 21-15 dalam tempoh 45 minit di DBC Sport Arena, Pontian.
Ariffin yang berusia 19 tahun sebelum ini beraksi di Kejohanan Remaja Dunia BWF 2022 di Sepanyol. Dia akan membuat perhitungan dengan pilihan kesembilan kejohanan, Wee Yee Tern pada perlawanan akhir esok.
Bagi Ariffin, perlawanan menentang Yee Tern menjanjikan pertarungan yang sengit dalam misinya untuk menjuarai Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023.
"Saya amat gembira dengan taktikal permainan yang ditunjukkan ketika bertemu Amirul. Sudah tentu jurulatih saya telah memberikan nasihat dan pandangan untuk meningkatkan permainan saya, dan saya berbangga kerana dapat mara ke peringkat akhir."
Ketika ditanya mengenai persiapan menentang Yee Tern, dia berkata, "Yee Tern bukan seorang pemain yang asing bagi saya. Sudah tentu saya mempunyai pengalaman untuk menentangnya pada peringkat akhir esok."
Untuk rekod, Ariffin turut bergandingan dengan abangnya, Ashraf Daniel dalam acara beregu lelaki bawah 21 tahun sebagai pilihan ketiga kejohanan.
Dalam pada itu, pemain cilik Dania Sofea turut melangkah ke peringkat akhir perseorangan perempuan bawah 16 tahun selepas mengalahkan Ng Jing Yee di separuh akhir.
Dania merekodkan kemenangan selesa 21-3, 21-8 dalam masa 18 minit untuk membuat perhitungan dengan Lai Eyun di pentas akhir esok.
Bagi Dania, kejohanan ini memberi peluang buatnya meraih pengalaman berharga serta membantu meningkatkan tahap permainannya.
Dania yang cemerlang ketika mewakili negara pada Kejohanan Remaja Asia 2022 di Bangkok berkata, "Saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa saya yang tidak pernah jemu memberikan sokongan dan didikan dalam usaha saya untuk berjaya dalam sukan badminton.
"Sudah tentu saya mengimpikan untuk mempertahankan kejuaraan saya di kejohanan ini sebagai hadiah buat mereka."
Dania juga menghargai usaha Persatuan Badminton Johor kerana menganjurkan kejohanan yang memberi peluang kepada pemain muda untuk bersaing secara kompetitif.
(Related stories)
All stories
September 23, 2026
108 TEAMS WILL ENTERTAIN MALAYSIA'S LARGEST RUGBY CARNIVAL

September 11, 2026
DASHING LAUNCHES DASHING TALENT SCHOLARSHIP 2026 TO UNCOVER YOUNG FOOTBALL TALENT THROUGHOUT MALAYSIA

July 22, 2026