Ariffin Nazri tepati ramalan mara ke suku akhir

Pilihan utama Ariffin Nazri menewaskan Wee Yee Hern 21-17, 21-17 untuk mara ke suku akhir perseorangan lelaki bawah 21 tahun Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023.
PONTIAN (6 Januari): Hari kedua Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 menyajikan beberapa aksi mendebarkan daripada para peserta yang meneruskan saingan hari ini. Saingan di DBC Sport Arena menyaksikan pemain pilihan utama kejohanan, Ariffin Nazri Md Zakaria mendominasi gelanggang dengan mengalahkan Wee Yee Hern 21-17, 21-17 dalam kategori Perseorangan Lelaki Bawah 21 Tahun untuk mara ke suku akhir.
Pada permulaan saingan, Ariffin Nazri menampilkan permainan yang bertenaga apabila mendahului 8-2. Namun, Yee Hern berhempas pulas untuk menyekat kemaraan Ariffin dan berjaya mendahului 16-9.
Saingan kembali rancak apabila Ariffin Nazri mempamerkan kematangannya untuk mengatasi Yee Hern di set pertama, 21-17. Yee Hern tidak mudah berputus asa, namun terpaksa akur dengan kehebatan lawannya apabila tewas di set kedua, 21-17.
Ketika ditemu bual, Ariffin Nazri berkata, "Saya berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan, namun ada beberapa aspek dalam permainan yang harus diperbaiki untuk meneruskan misi dalam kejohanan ini."
Apabila ditanya mengenai pencabar utama dalam saingan kali ini, dia menamakan Azuan Amirul Imran.
Ariffin Nazri yang baru-baru ini menamatkan saingan di Pusingan 64 Kejohanan Remaja Dunia BWF 2022 di Sepanyol turut menyatakan penghargaan kepada Persatuan Badminton Johor. "Saya berterima kasih kepada JBA di atas penganjuran kejohanan yang memberi peluang kepada pemain muda untuk mewakili kebangsaan dan bersaing di peringkat negeri secara kompetitif."
Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 edisi ke-11 berlangsung dari 5 hingga 8 Januari dengan lebih 600 peserta menghangatkan saingan di DBC Sport Arena, Pontian, Johor.
(Related stories)
All stories
September 23, 2026
108 TEAMS WILL ENTERTAIN MALAYSIA'S LARGEST RUGBY CARNIVAL

September 11, 2026
DASHING LAUNCHES DASHING TALENT SCHOLARSHIP 2026 TO UNCOVER YOUNG FOOTBALL TALENT THROUGHOUT MALAYSIA

July 22, 2026