Skip to content
● Newsroom — (Newsroom)

ARIFFIN NAZRI TEPATI RAMALAN, DANIA SOFEA PERTAHAN GELARAN

Pemenang acara perseorangan lelaki bawah 21 tahun di podium Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 bersama pegawai Persatuan Badminton Johor dan kerajaan negeri

Ariffin Nazri menjuarai perseorangan lelaki bawah 21 tahun manakala Dania Sofea Zaidi mempertahankan gelaran perseorangan perempuan bawah 16 tahun di Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023.

PONTIAN (8 Januari): Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023 telah melabuhkan tirainya dengan beberapa pertarungan sengit yang dipamerkan oleh para peserta di DBC Sport Arena, Pontian hari ini.

Seperti yang diramalkan, Ariffin Nazri berjaya mengatasi tentangan sengit rakan seperjuangannya di kem badminton Johor, Wee Yee Tern. Set pertama menyaksikan Ariffin terpaksa berhempas pulas untuk menang 21-19.

Di set kedua, Yee Tern cuba mengheret Ariffin ke set penentuan, namun Ariffin mengekalkan konsentrasi serta memberikan aksi bertenaga untuk menang 21-17, sekali gus menebus kehampaan apabila terlepas gelaran juara kepada abangnya pada edisi lepas.

Ariffin yang pernah beraksi di Kejohanan Remaja Dunia BWF 2022 di Sepanyol berkata, "Saya berbangga dengan kemenangan saya hari ini. Bukan mudah untuk mara ke peringkat akhir. Pertarungan yang sukar diberikan oleh Yee Tern."

Dalam pada itu, pemain perseorangan remaja wanita Johor, Dania Sofea Zaidi membuktikan statusnya selaku pemain harapan kem badminton Johor apabila berjaya mempertahankan gelaran juara edisi lepas.

Dania Sofea tidak berdepan kesukaran untuk menewaskan lawannya, Lai Eyun 21-7, 21-10 dalam pertarungan selama 22 minit.

Bagi pemain berusia 16 tahun itu, dia mahu menjadikan tahun 2023 sebagai tahun terbaik untuk mempersiapkan diri sebelum bergelar pemain utama negeri Johor.

Dalam pertarungan terakhir kejohanan, acara beregu lelaki bawah 21 tahun menyaksikan pasangan adik-beradik Ariffin-Ashraf membawa pulang kejuaraan selepas menewaskan Wee Yee Hern-Wee Yee Tern 21-15, 21-19, yang turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, YB Mohd Hairi Mad Shah.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato' Haji 'On Jabbar, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Encik Nor Syazlan Abdul Razak dan Presiden Persatuan Badminton Johor, Encik Mat Rashid Jahlil.

Senarai pemenang Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2023:

Perseorangan Lelaki Bawah 21 Tahun – Juara: Ariffin Nazri Zakaria; Naib Juara: Wee Yee Tern

Perseorangan Perempuan Bawah 21 Tahun – Juara: Lim Shin; Naib Juara: Seong Ler Yee

Beregu Lelaki Bawah 21 Tahun – Juara: Muhammad Ariffin Nazri Zakaria-Muhammad Ashraf Daniel Zakaria; Naib Juara: Wee Yee Hern-Wee Yee Tern

Beregu Perempuan Bawah 21 Tahun – Juara: Hoe Shi Yun-Zuraini Nazri; Naib Juara: Chong Kei Wee-Koh Yu Wen

Perseorangan Lelaki Bawah 16 Tahun – Juara: Chen Jia Le; Naib Juara: Kong Wen Zhuo

Perseorangan Perempuan Bawah 16 Tahun – Juara: Dania Sofea Zaidi; Naib Juara: Lai Eyun

Beregu Lelaki Bawah 16 Tahun – Juara: Chen Jia Le-Yap Jen Wee; Naib Juara: Siau Yu Hang-Daniel Tan Ying Enn

Beregu Perempuan Bawah 16 Tahun – Juara: Lai Eyun-Dania Sofea Zaidi; Naib Juara: Koh Yi Rou-Yap Yi Ning

Perseorangan Lelaki Bawah 14 Tahun – Juara: Kua Ming Ze; Naib Juara: Albee Loh Cheng Yi

Perseorangan Perempuan Bawah 14 Tahun – Juara: Low Zi Yu; Naib Juara: Hasyni Devi Sahathevan

Beregu Lelaki Bawah 14 Tahun – Juara: Goh Wei Zhan-Alfred Phua Ze Zuan; Naib Juara: Kua Ming Ze-Kua Wei Ze

Beregu Perempuan Bawah 14 Tahun – Juara: Auni Fatihin Azuan-Low Zi Yu; Naib Juara: How Yin Xuan-Teo Pei Ning