Skip to content
● Newsroom — (Newsroom)

25 Pemain Lengkapkan Barisan Skuad Remaja Lelaki 2020

KUALA LUMPUR (06 Mac 2020): Selepas tempoh pemilihan bagi Skuad Remaja Lelaki Negara yang bermula pada 24 Februari lalu berakhir hari ini, Pengendali Skuad Remaja Lelaki negara, Wallace Tan hari ini mengumumkan senarai 25 pemain yang akan bersama pasukan bimbingannya bagi tahun 2020.

Secara rasminya 25 pemain tersebut akan mula melaporkan diri esok sebagai pemain Remaja Lelaki Kebangsaan dengan tiga daripadanya merupakan penjaga gol, lapan pemain pertahanan dan penyerang serta enam merupakan pemain bahagian tengah.

Misi pertama bagi skuad ini adalah untuk memastikan tiket ke Piala Dunia Remaja 2021 yang ditawarkan menerusi Kejohanan Piala Remaja Asia 2020 yang akan berlangsung di Dhaka, Bangladesh, pada 4 hingga 12 Jun nanti menjadi milik mereka.

Skuad bimbingan Wallace Tan yang turut dibantu oleh Penolong Jurulatih, Megat Azrafiq Termizi itu hanya perlu memastikan mereka melangkah ke pusingan separuh akhir kerana kejohanan itu nanti menawarkan empat slot automatik untuk ke Piala Dunia Remaja 2021.

Menerusi senarai 25 pemain yang diumumkan, tujuh daripada mereka iaitu Akhimullah Anuar Esook, Azrai Aizad Abu Kamal, Noor Firdaus Rosdi, Arif Shafie Ishak, Shello Silverius, Nur Asyraf Ishak dan Amirul Haniff Mamat merupakan pemain yang turut tersenarai di dalam barisan 34 pemain yang dipanggil menjalani latihan pusat bersama Skuad Senior Lelaki Kebangsaan.

Wallace Tan yang ditemui pada sesi latihan hari ini nyata berpuas hati dengan tempoh dua minggu pemilihan, apabila setiap pemain yang dipanggil berusaha keras untuk menonjolkan diri selain cuba membuktikan kebolehan yang dimiliki mereka.

“Sepanjang tempoh pemilihan, pemain telah berusaha keras untuk merebut tempat dan mereka telah memberikan komitmen yang terbaik.

“Apa yang saya mahukan daripada 25 pemain ini adalah mereka meningkatkan lagi tahap permainan serta kualiti mereka, perbaiki kelemahan untuk menjadi yang lebih baik dan terapkan semangat untuk berjuang dengan lebih tinggi serta semangat untuk bermain sebagai satu pasukan yang baik.

“Setiap pemain mempunyai peluang untuk berada di dalam senarai 18 namun mereka perlu berusaha lebih gigih lagi untuk memastikan tempat mereka dalam senarai akhir yang akan ke

Kejohanan Piala Remaja Asia nanti selain mereka perlu menunjukkan yang mereka mempunyai kualiti jika mahu tersenarai,” jelasnya.

Berikut merupakan senarai 25 pemain bagi Skuad Lelaki Remaja Kebangsaan bagi tahun 2020:

Penjaga Gol

Che Shahrul Azmi Che Saupi

Muhammad Hamiz Mohd Ahir

Mohd Aidil Mohd Shah

Pertahanan

Muhammad Arif Shafie Ishak

Muhammad Nur Asyraf Ishak

Syarman Mat Tee

Muhammad Saifuddin Ali

Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin

Muhammad Amirul Hamizan Azahar

Muhammad Shafiq Hassan

Adam Aiman Mamat

Tengah

Shello Silverius

Muhammad Nursyahmi Zukifli

Muhammad Syawal Abd Razak

Nasrul Syahkhir Sadikul

Muhammad Hafizi Zainuddin

Alfarico Lance Liau Jr

Penyerang

Muhammad Noor Firdaus Rosdi

Mohamad Akhimullah Anuar Esook

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal

Muhammad Amirul Haniff Mamat

Muhammad Izham Azhar

Muhammad Muhibuddin Moharam

Muhajir Abdu Rauf

Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul