MAKAF UMUM ENAM ATLET KARATE KE SUKAN ASIA HANGZHOU
July 22, 2023KAZAKHSTAN STANDS TALL IN THE 19TH ASIAN SENIOR
July 23, 2023MELAKA (23 Julai): Kazakhstan muncul juara keseluruhan di Kejohanan Karate Asia ke-19 yang berakhir di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Kehebatan atlet karate negara itu tidak mampu ditandingi khususnya daripada Jepun selaku juara tahun lalu di kejohanan yang sama di Uzbekistan sekadar muncul naib juara.
Kazakhstan dinobatkan juara atas kejayaan meraih tiga emas, empat perak dan empat gangsa untuk keseluruhan mendapat 11 pingat.
Di Uzbekistan, Kazakhstan sekadar menduduki tangga ketiga apabila meraih dua emas, empat perak dan dua gangsa.
Juara tahun lalu Jepun pula kecewa gagal mempertahankan kedudukannya apabila muncul naib juara di belakang Kazakhstan.
Jepun sekadar meraih tiga emas, tiga perak dan dua gangsa keseluruhan mengumpul lapan pingat jauh daripada prestasi sebenar mereka di Uzbekistan apabila meraih lapan emas, dua perak dan tiga gangsa.
Iran pula muncul pemenang tempat ketiga selepas memperoleh tiga emas, dua perak dan tujuh gangsa diikuti Jordan di tempat keempat (2 emas, 1 perak, 3 gangsa) dan Hong Kong pula ditempat kelima (2 emas, 1 gangsa).
Sementara itu Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam telah menyempurnakan majlis penutup kejohanan yang bermula sejak Jumaat lalu secara rasmi hari ini.
Di samping itu Mohd. Ali yang juga Penaung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF) turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang.
Bagi Kejohanan Karate Para Asia ke-2, Iran muncul juara keseluruhan apabila meraih empat pingat emas diikuti Kazakhstan muncul naib juara dengan dua emas dan dua perak manakala Arab Saudi di tempat ketiga meraih satu emas dua perak serta lima gangsa.
Sementara itu skuad karate negara sekadar menduduki tangga ke-13 keseluruhan apabila meraih tiga pingat gangsa.
Trio berpasukan Kata wanita menceriakan kem negara apabila menyumbang pingat gangsa ketiga selepas berjaya menumpaskan pasukan Hong Kong pada hari terakhir kejohanan berlangsung sejak Jumaat lalu.
Trio yang dibarisi Lovelly Anne Robberth, Naccy Nelly Evvaferra dan Niathalia Sherawinnie meraih 42.4 mata menewaskan pasukan Hong Kong yang sekadar mendapat 41.8 mata.
Sebelum ini, dua gangsa yang diperolehi skuad negara pada hari pertama kejohanan menerusi S. Prem Kumar bagi acara Kumite lelaki 55kg dan Zakiah Adnan dalam Kumite wanita bawah 61kg.
Pencapaian tiga gangsa itu memperbaiki kedudukan skuad karate negara di kejohanan yang sama di Uzbekistan tahun lalu apabila meraih dua gangsa serta menduduki tangga ke-13.
Keseluruhan skuad karate negara menduduki tangga ke-13 daripada 32 buah negara yang mengambil bahagian membabitkan 388 atlet pada kejohanan kali ini.
Jurulatih pasukan negara, Mohd. Norfarhan Nordin berkata, trio wanita negara itu semakin matang dan menunjukkan peningkatan dalam kejohanan kali ini.
“Saya berpuas hati kerana trio ini yang sudah faham dalam aspek teknikal Kata. Persembahan mereka juga semakin meningkat,” katanya.
Mengenai peluang anak didiknya tersenarai dalam Sukan Asia yang bakal berlangsung di Hangzhou, China, beliau berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak pengurusan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF).
Sementara itu bagi Niathalia Sherawinnie, kejayaan trionya meraih pingat gangsa adalah hadiah sempena hari lahirnya semalam. Atlet kelahiran Sabah itu berkata, dia serta rakannya berpuas hati dengan persembahan hari ini walaupun sekadar meraih gangsa.
“Sangat puas hati dengan pingat ini menjadi hadiah hari lahir saya yang jatuh semalam,” katanya selepas aksi itu.
Dikeluarkan oleh ShekhinahPR bagi pihak Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF). Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:-
Christopher Raj
ShekhinahPR / 012-216 1881
chris@shekhinah.my
Zulkarnain
ShekhinahPR / 011-1182 6523
zulkarnain@shekhinah.my