AZIZY ARBI & ZUREEN ZULYKA LIGHTS UP THE SPIRIT OF SARAWAK IN SPISC 2023
March 2, 2023SARAWAK EXPONENTS GUARANTEED THEIR FINAL SPOTS IN SPISC 2023
March 4, 2023KUCHING (4 MAC): Srikandi Bumi Kenyalang terus terbang tinggi pada kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak (SPISC) 2023 yang semakin hampir untuk melabuhkan tirainya di Stadium Perpaduan Petra Jaya, hari ini.
Pada saingan yang sudah memasuki hari keempat hari ini, barisan pesilat Sarawak terus mencipta kecemerlangan dan sebahagian besar wakilnya sama ada dalam kategori senior mahupun junior, berjaya mengesahkan tempat mereka ke final yang dijadualkan berlangsung esok.
Kejayaan tersebut membuktikan bahawa persediaan mereka untuk menghadapi SPISC 2023 sangat berbaloi tanpa mensia-siakan peluang bagi membuktikan ketangkasan mereka di hadapan penonton sendiri.
Pencapaian yang mereka lakarkan itu turut mendapat perhatian YAB Timbalan Perdana Menteri II, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof yang sempat meluangkan masanya meninjau perjalanan penganjuran SPISC 2023 pagi tadi.
Ketika lawatan singkat beliau ke venue kejuaraan pagi tadi, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi sempat menyaksikan beberapa perlawanan membabitkan aksi pesilat Sarawak yang bertarung di peringkat separuh akhir.
Beliau berbangga kerana para pesilat dari negeri Bumi Kenyalang itu telah mempamerkan kesungguhan serta semangat kesukanan yang tinggi.
Ditanya mengenai prestasi pesilat muda Sarawak, Josh Chua yang menentang Muhammad Amirul Hakim Jaaffar (Melaka) pada saingan peringkat separuh akhir kategori Putra C junior, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof Fadillah menjelaskan bahawa beliau kagum melihat aksi yang dipersembahkan oleh dua pesilat terbabit.
Dalam pertarungan tersebut pesilat tuan rumah menang tipis 35-32, sekali gus mengesahkan tempatnya ke final esok.
“Kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing dan saling menghormati antara satu sama lain. Saya lihat Josh Chua juga mempunyai kemahiran yang tinggi. Dia masih muda dan skill juga bagus. Malah beberapa orang pesilat junior kita turut berjaya melangkah ke peringkat akhir dalam acara masing-masing pada sebelah pagi tadi dan ini membuktikan Sarawak berada di landasan yang tepat untuk meraih kejayaan pada kejuaraan ini,’ tambah beliau.
Dia juga berharap agar barisan atlet Sarawak mencapai kejayaan cemerlang pada SPISC kali ini, sekali gus meningkat prestasi sukan silat di Sarawak agar lebih berdaya saing dalam apa juga kejuaraan akan datang.
YB Dato’ Sri Fadillah Yusof Fadillah turut memuji usaha kerajaan negeri Sarawak menerusi Rumpun Silat Sarawak (RSS) untuk menganjurkan acara bertaraf antarabangsa seperti SPISC 2023 di negeri Bumi Kenyalang dan langkah tersebut secara tidak langsung akan mempromosi negeri ini ke pentas penats dunia selain merancakkan pembangunan sukan silat.
“Kami di peringkat kepimpinan akan sentiasa menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri bagi membolehkan mereka menjalankan pelbagai program terutamanya aktiviti sukan yang merupakan antara alat penting untuk menyatukan rakyat serta meletakkan keyakinan yang tinggi kepada RSS untuk menarik lebih ramai generasi muda melibatkan diri dalam sukan seni silat,” ujar beliau.
Hari cemerlang kontinjen tuan rumah bermula dengan langkah kanan apabila wakilnya, Nor Azeman Pie’e berjaya melangkah ke final acara Putra B junior selepas mencatatkan kemenangan 28-14 ke atas atlet Singapura, Muhd Ridzqi Mohd Fadzil.
Kecemerlangan tersebut diteruskan oleh Nur Hazeerah Syafiqah Suffian yang menang mudah 43-27 ke atas pesilat Singapura, Nur Izzah Johanis dalam kategori Putri B senior.
Kem Sarawak terus ceria apabila Mohd Ashraf Amirul Razaman turut mengesahkan tempatnya ke final hasil kemenangan 56-36 ke atas pencabarnya Muhammad Ridzuan Nasir (Pahang) dalam kategori Putra D senior diikuti kemenangan 60-15 menerusi Muhd Azrie Muhammad Azuan Tiong dalam kategori Putra Terbuka senior ke atas atlet Filipina, Stephen Suazo.
Saingan hari keempat SPISC 2023 ini menyaksikan banyak acara akhir akan berlangsung pada sebelah malam nanti dan berdasarkan jadual, kontinjen Sarawak sudah mengesahkan kemenangan pingat emas dan perak dalam acara seni Ganda Putra senior apabila mereka bertarung sesama sendiri di final.
Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 akan melabuhkan tiranya esok, 5 Mac dan ia bakal menjadi detik penentuan kontinjen yang akan membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah USD 20,000 serta tali pinggang kejuaraan. Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching dan masuk adalah percuma.