Mior Muhammad Hafiz aiming to conquer Rome
October 31, 2019Plenty of positives for Mior after first international appearance
November 6, 2019KUALA LUMPUR (05 NOVEMBER 2019): Kempen Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 melaburkan tirai dan impian untuk menamatkan penantian 20 tahun tidak beraksi di Sukan Olimpik buat Malaysia dilihat tertangguh selepas Malaysian Tigers akur tunduk kepada lawan mereka, Great Britain dengan agregat 3-9 pada aksi yang berlangsung di Pusat Hoki dan Tenis Lee Valley, London.Beraksi di bawah suhu lapan darjah celsius dan dengan keadaan hujan renyai ketika itu nyata tidak memihak kepada barisan pemain negara apabila aksi pertama tamat dengan keputusan 1-4 sementara pertemuan kedua yang berjalan tidak sampai 24 jam berakhir dengan 2-5.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Dato’ Sri Subahan Kamal yang turut berada di venue pertandingan menjelaskan walaupun pemain tidak menggunakan faktor cuaca sebagai alasan mereka tewas di laman lawan, tetapi beliau yang bersama pemain melihat faktor tersebut nyata memberi kesan.
“Malaysia merupakan pasukan yang berada di ranking ke-11 bertemu dengan Great Britain yang rata-rata pemain mereka dibarisi oleh pemain England yang berada di ranking ketujuh dunia dan perlu bermain dua perlawanan di tempat lawan dalam tempoh 20 jam mereka perlu bemain perlawanan kedua bukan sesuatu yang mudah.
“Untuk pertemuan awal, pemain beraksi dengan cukup baik pada separuh masa pertama walaupun di bawah suhu lapan darjah celsius dan hujan, namun masuk separuh masa kedua, nyata cuaca memberikan kesan kepada mereka apabila ada di kalangan pemain sudah tidak dapat memegang kayu hoki dengan baik kerana tangan mereka sudah mula terasa beku.
“Malah ada di kalangan penonton yang datang ke stadium turut melahirkan rasa kagum bagaimana pemain boleh beraksi dengan keadaan begitu kerana mereka yang sudah lama tinggal di sana tidak mampu untuk bertahan dengan situasi sejuk seperti itu,” jelasnya.
Dato’ Sri Subahan turut berharap agar sistem yang digunapakai oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada ketika ini dengan memberikan kelebihan kepada pasukan yang berada di ranking lebih atas untuk beraksi kedua-dua perlawanan timbal balik di laman mereka perlu dikaji semula kerana ia dilihat tidak memberikan kelebihan kepada pasukan daripada Asia terutamanya.
“Jika dilihat kepada aksi kelayakan tersebut, Pakistan yang bermain di Amsterdam tewas secara agregat 5-10 kepada Belanda dan Korea Selatan pula tewas secara agregat 2-6 kepada New Zealand di Stratford.
“Saya berpendapat sistem bermain dua perlawanan timbal balik di tempat lawan ini perlu dinilai semula oleh FIH kerana saya percaya sekiranya perlawanan berlangsung pada venue yang berbeza akan memberikan kelebihan sama rata kepada setiap pasukan,” tambah Dato’ Sri Subahan lagi.
Dalam pada itu, Pengendali Negara, Roelant Oltmans yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas barisan negara selamat tiba di tanah air tidak menafikan kekecewaan tidak layak ke Sukan Olimpik Tokyo akan menjadi pengalaman pahit buat mereka selepas segala usaha keras telah dilakukan untuk mara.
“Kami telah berusaha serta berlatih dengan sekerasnya dan harapan untuk mara pada ketika itu tetap ada walaupun kami sedar ianya harapan yang tipis kerana kami tahu bagaimana Great Britain akan beraksi.
“Kami cuba untuk mencari taktik terbaik untuk menyaingi mereka dan anda boleh melihat pemain beraksi dengan cukup baik pada separuh masa pertama ketika aksi pertama namun beberapa kekangan di atas padang perlu kami hadapi yang akhirnya memberikan kesan kepada kami.
“Kecewa tentunya kami kecewa saya tidak nafikan terutamanya pemain kerana mereka sudah begitu hampir untuk beraksi di Sukan Olimpik tetapi kini kami perlu menunggu empat tahun lagi dan mungkin peluang yang ada ini adalah peluang terakhir untuk beberapa pemain namun menjadi pengalaman pahit untuk mereka,” ujar Roelant.