Juara Bertahan Tumbang Dalam Aksi Pembuka Tirai
September 20, 2019Kuala Lumpur Raih Kemenangan Sulung, Pahang Terikat
September 21, 2019KUALA LUMPUR (21 SEPTEMBER 2019): Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Dato’ Sri Subahan Kamal hari ini mengumumkan KHM telah memutuskan 16 November 2019 merupakan tarikh bagi Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-66 yang juga menyaksikan bakal berlangsungnya proses pemilihan bagi tampuk kepimpinan penggal 2019 hingga 2023.Pengumuman tersebut dilakukan pada sidang media yang berlangsung selepas tamat Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif kali ke-14 dan juga merupakan mesyuarat terakhir untuk penggal 2015 hingga 2019 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat KHM, hari ini.
“Sepanjang empat tahun kami menguruskan KHM, semua yang kami lakukan berada di landasan yang terbaik dan apabila pembentangan kewangan dilakukan pada hari ini kami tidak mempunyai sebarang masalah kewangan.
“Semua masalah kewangan sebelum ini telah berjaya diselesaikan dan kini kewangan KHM telah berjaya diuruskan dengan baik.
“Kami telah memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-66 pada 16 November 2019 sejurus selepas berakhirnya Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik dan tahun ini juga merupakan tahun bagi mengundi barisan kepimpinan untuk penggal yang baru jadi proses undian akan dijalankan pada tarikh yang sama.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada penaja seperti Astro, Bank Islam, Q-Net, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan khususnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana telah banyak membantu dalam proses pembangunan sukan hoki sepanjang empat tahun ini,” jelas Dato’ Sri Subahan.
Mengimbas kembali pencapaian yang telah diraih oleh skuad hoki wanita lelaki dan wanita negara dalam tempoh empat tahun di bawah kepimpinan Dato’ Sri Subahan bersama barisan Ahli Lembaga Eksekutif, skuad hoki lelaki negara berjaya untuk melonjak naik ke ranking 11 dunia sementara skuad wanita yang sebelum ini berada di ranking ke-22 naik ke ranking ke-20 dunia.
Skuad lelaki turut berjaya untuk membuat penampilan di Kejohanan Hoki Piala Dunia Bhubaneswar India 2018 secara merit dan mereka hampir mencipta sejarah melangkah ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas 20 tahun namun terpaksa akur dengan hajat mereka disekat apabila membawa pulang pingat perak Sukan Asia 2018.
Skuad wanita juga tidak kurang hebatnya apabila melakar sejarah dengan membuat penampilan kali pertama di Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (Wanita) 2017 Brussels Belgium yang turut menawarkan tiket ke Kejohanan Piala Dunia Wanita, London 2018 dan skuad wanita kini menjadi antara pasukan yang digeruni selain tiada lagi istilah pasukan belasahan untuk mereka.
Dalam pada itu walaupun proses undian bagi tampuk kepimpinan yang baru akan dijalankan pada 16 November ini, barisan kepimpinan sedia ada telah melakukan beberapa perancangan yang dilihat cukup bermakna bagi tempoh empat tahun yang akan datang di mana perancangan tersebut lebih menjurus kepada memberikan perhatian serta penekanan kepada skuad hoki wanita.
“Kata sepakat telah dicapai di dalam mesyuarat tadi di mana kami akan membida untuk menganjurkan Kejohanan Hoki Piala Dunia Lelaki dan Wanita selain kami akan lebih menekankan untuk menganjurkan Kejohanan Hoki Piala Dunia Wanita 2022/2023.
‘Kami percaya pasukan wanita negara merupakan antara pasukan terbaik dan kami perlu memberikan pendedahan yang lebih untuk mereka, jadi kami mengambil serius untuk membida penganjuran Kejohanan Hoki Piala Dunia Wanita 2022/2023 dan berharap kami akan berjaya menganjurkan kejohanan tersebut.
“Selain itu kami turut berminat untuk menganjurkan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2021 dan barisan Ahli Lembaga Eksekutif percaya dengan sokongan daripada kerajaan Malaysia, kami mampu untuk menganjurkannya.
“Jadi pada Isnin (22 September) kami akan menghantar permohonan secara rasmi kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk membida menganjurkan kejohanan tersebut.
“Sekiranya berlaku perubahan pada barisan kepimpinan di bulan November nanti, semuanya bergantung kepada mereka sama ada ingin meneruskan apa yang telah dirancang atau tidak.
“Namun saya berasa ia sesuatu yang cukup bagus sekiranya sesiapa sahaja yang menerajui kepimpinan selepas ini meneruskan perancangan yang telah dilakukan,” ujar Dato Sri Subahan lagi.
Dato Sri Subahan turut melontarkan pandangan bahawa skuad hoki wanita negara mampu untuk melangkah lebih jauh dan dengan memberikan sokongan yang sama seperti skuad lelaki ataupun lebih, pasukan wanita berupaya untuk melakukan kejutan di masa akan datang.