Piala TNB 2019: Pentas Akhir Temukan Finalist Tahun Lalu Sekali Lagi
August 1, 2019RSC announce dedicated bank account number for the 1972 OLYMPIC FOOTBALL TEAM WELFARE FUND
August 3, 2019Kejohanan Jemputan Empat Negara yang bermula awal pagi tadi di Terrassa, Sepanyol menemukan Malaysian Tigers dengan tuan rumah menyaksikan semangat tidak menyerah kalah pasukan negara menghadiahkan kemenangan 4-3 pada aksi pembukaan itu.Ketinggalan 3-1 pada suku ketiga nyata tidak mematahkan semangat pemain negara untuk bangkit mencari tiga gol pada suku terakhir yang juga sekaligus menyaksikan kemenangan berpihak mereka.
Pengendali negara, Roelant Oltmans berpandangan pemainnya berjaya menampilkan aksi baik terutamanya pada separuh masa kedua namun terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol selain menyatakan pemain tengah, Muhammad Marhan Mohd Jalil antara yang memainkan peranan penting pada pertemuan tersebut.
“Kami bermain dengan baik pada suku kedua tetapi sayangnya kami melepaskan beberapa peluang untuk menjaringkan gol terutamanya pada suku ketiga. Bagaimanapun di suku keempat kami berjaya untuk bangkit mengubah kedudukan perlawanan.
“Marhan menjadi antara watak penting untuk pertemuan hari ini selain Akhimullah (Anuar Esook) berjaya menjaringkan gol pertamanya bersama pasukan kebangsaan.
“Bertemu Ireland untuk aksi kedua pastinya satu perlawanan yang berbeza tetapi apa yang penting untuk kami pada pertemuan itu nanti adalah menggunakan semua peluang yang dimiliki sebaiknya untuk menjaringkan gol awal,” jelasnya yang dihubungi selepas tamat perlawanan.
Sepanyol membuka tirai jaringan pada minit ke-10 dan 24 menerusi jaringan padang Xavi Lleonart dan Albert Beltran namun Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil berjaya merapatkan jurang gol seminit kemudian menerusi penyudahan pukulan sudut penalti.
Sepanyol segera menjarakkan lagi kedudukan enam minit selepas suku ketiga bermula kali ini hasil jaringan padang Alvaro Iglesias namun pemain negara tidak putus asa untuk terus mengatur strategi.
Hasilnya pada suku keempat Malaysia meledak tiga gol bermula jaringan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-49, Akhimullah Anuar Esook berjaya mengikat kedudukan menjadi 3-3 pada minit ke-60.
Seakan perlawanan dilihat akan berkesudahan dengan keputuan seri, skuad negara dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim memastikan kemenangan buat Malaysia dengan menyempurnakan pukulan tersebut untuk aksi tamat 4-3.
Malaysian Tigers akan turun untuk aksi kedua dalam kejohanan jemputan ini bertemu Ireland tengah malam nanti pada jam 12 tengah malam waktu Malaysia.