FIH Siri Akhir Lelaki : Malaysia Diundi Dalam Kumpulan B
February 27, 2019SMK Mersing plays down chances of defending their MCKK Premier 7s title
March 1, 2019KUALA LUMPUR (28 FEBRUARI 2019) : Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bakal membuat perhitungan di pentas final Piala TNB 2019 selepas kedua-dua pasukan berjaya membenam cabaran lawan masing-masing pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.THT turun dengan bekalan dua gol menewaskan lawan mereka Tenaga Nasional Berhad (TNB) 5-2 menjadikan agregat keseluruhan 8-3 sementara UniKL pula menewaskan Maybank 5-0 untuk keseluruhan agregat 9-1 dan keputusan tersebut menyaksikan TNB akan turun menentang Maybank bagi penentuan tempat ketiga dan keempat pada hari perlawanan akhir, Sabtu ini.
Pertahanan import THT, Jang Jonghyun mencetus sensasi apabila meledak kesemua lima gol pada perlawanan separuh akhir kedua menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-14, 15, 32, 52 dan 53 sekaligus meletakkan dia kini di tangga teratas carta penjaring gol terbanyak dengan 21 gol kesemuanya menerusi pukulan sudut penalti.
Sementara TNB memperolehi dua gol pada aksi timbal balik hasil gol pembukaan perlawanan yang disempurnakan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit kesepuluh apabila TNB dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan kapten, Faiz Helmi Jali muncul penjaring kedua menerusi gol padang pada minit ke-34.
Pengendali THT, I Vikneswaran menjelaskan dia dan pasukannya tidak melihat bekalan dua gol yang dibawa daripada separuh akhir pertama sebagai kelebihan sebaliknya melakukan penambahbaikan daripada setiap kekurangan termasuk memperbaiki pukulan sudut penalti mereka untuk turun beraksi hari ini selain turut memuji aksi Jang Jonghyun yang berjaya mencuri perhatian menerusi lima gol pukulan sudut penalti.
“Kami memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan yang berlangsung hari ini dan walaupun kami sedar kami mempunyai kelebihan dua gol daripada aksi pertama, tetapi ia tidak penting kerana apa yang penting adalah kualiti permainan, taktikal yang kami rencanakan dan bagaimana untuk kami memenangi perlawanan.
“Jang Jonghyun berjaya untuk menyinar tetapi sebelum ini kami telah menilai kembali bagaimana flik yang dilakukan dia berjaya untuk dipintas pihak lawan pada aksi beleum ini dan kami memperbaiki kekurangan tersebut selain menambahbaik mutu set-pieces pukulan sudut penalti.
“Walaupun flik dilakukan Jang tetapi apa yang penting adalah bagaimana bola tersebut ditolak, ditahan dan masa untuk melakukan pukulan dan semua penambahbaikan yang kami lakukan akhirnya membuahkan hasil.
“Untuk aksi final kami menghormati lawan kami, UniKL dan tidak mengambil kira siapa pemain mereka yang beraksi ataupun tidak kerana mereka merupakan satu pasukan yang kuat dan kami akan melakukan persiapan rapi serta membuat perancangan taktikal bagaimana untuk menghadapi mereka,” jelas Vikneswaran ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, UniKL yang bakal turun bertemu THT di aksi final berjaya untuk menewaskan lawan mereka Maybank hasil dua gol yang diledak Muhammad Razie Abd Rahim menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-30 dan ke-50 serta menerusi gerakan yang sama pada minit ke-35 oleh Robert Huib Kemperman selain Muhammad Marhan Mohd Jalil dan Faridzul Afiq Mohd turut muncul selaku penjaring masing-masing menerusi gerakan padang pada minit ke-49 dan ke-59.
Pengendali UniKL, Arul Selvaraj menjelaskan permulaan yang agak perlahan ditampilkan oleh anak-anak buahnya bukan kerana memandang mudah terhadap lawan mereka tetapi lebih berhati-hati dan mahu pemain beraksi dengan bijak selain tidak mahu pemain mengalami sebarang kecederaan kerana mereka sudah mendahului dari segi agregat.
“Saya tidak pernah memandang mudah pertemuan hari ini di mana kami beraksi dengan baik untuk lima minit pertama dan kami tidak mahu terlalu gopoh kerana kami sedang mendahului dari segi agregat dan saya mahu pemain bermain dengan bijak selain tidak mahu pemain mengalami kecederaan.
“Dari segi mutu pemainan kami telahpun memberikan persembahan yang baik dan kami masih mengekalkan rekod tanpa kalah cuma kami pernah seri dengan Terengganu di Kuala Terengganu ketika kami beraksi tanpa beberapa pemain import.
“Perlawanan akhir adalah satu perlawanan yang berbeza jika kami boleh menyekat THT daripada memiliki pukulan sudut penalti, saya percaya kami boleh mengecewakan mereka.
“Satu kekurangan yang kami terpaksa lalui untuk final adalah kami kehilangan empat pemain import tetapi bagi saya ini adalah masa yang terbaik untuk pemain lain membuktikan kemampuan mereka dan memikul tanggungjawab dengan lebih baik,” ujarnya.
Aksi final akan berlangsung pada Sabtu, 2 Mac di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, dengan penentuan kedudukan ketiga dan keempat akan menemukan TNB dan Maybank pada jam 3.00 petang sementara THT dan UniKL akan berentap bagi merebut gelaran juara pada jam 5.00 petang.