TNB LHM 2019: TNB Terus Catat Kemenangan, UniKL Hampiri Kejuaraan
February 17, 201922 local and 2 foreign teams to battle for MCKK Premier 7s crown
February 18, 2019Saingan Dijangka Lebih Sengit
KUALA LUMPUR (18 Februari 2019): Bakal memasuki edisi kesembilan untuk penganjuran yang dijadualkan pada 1-3 Mac ini, Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7 Sepasukan (MCKK Premier 7s) 2019 terus mendapat sambutan pasukan dari dalam dan luar negara untuk merebut Trofi NJ Ryan.
Daripada 24 pasukan yang akan mengambil bahagian dalam MCKK Premier 7s kali ini, 22 pasukan merupakan pasukan tempatan manakala dua lagi adalah pasukan dari luar negara. Dengan penyertaan dua pasukan baru dari luar negara, saingan dijangka akan lebih kompetitif buat kesemua pasukan bertanding berbanding hanya satu pasukan luar tahun lalu.
Dua pasukan baru dari luar negara adalah Shizuoka Seiko Academy dari Jepun dan satu lagi pasukan adalah Agoal Rugby Academy dari Sri Lanka. Manakala Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah dari Melaka serta Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman dari Kuala Terengganu akan membuat penampilan sulung di kejohanan berprestij ini.
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya yang hadir ke Sidang Media MCKK Premier 7s hari ini turut memuji penganjuran MCKK Premier 7s yang merupakan satu pentas terbaik buat pemain ragbi muda di negara ini.
Shahrul berkata, “Syabas dan tahniah atas penganjuran MCKK Premier 7s yang akan memasuki edisi kesembilan pada tahun ini. Bukan mudah untuk menganjurkan kejohanan berprestij sebegini dan sudah tentulah dengan penyertaan pasukan-pasukan hebat, ia akan membantu meningkatkan lagi mutu permainan ragbi untuk pemain-pemain muda yang akan beraksi nanti.”
“MCKK Premier 7s merupakan satu inisiatif yang begitu bagus dalam membantu perkembangan arena ragbi negara dan saya berharap melalui kejohanan ini, ia akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak muda sebagai kejohanan untuk mencari pendedahan dan pengalaman berguna. Saya harap pemain akan mempamerkan kesungguhan yang jitu untuk merebut trofi dalam MCKK Premier 7s serta sentiasa menanam harapan untuk membawa pasukan ragbi negara menyinar di mata dunia satu hari nanti,” kata Shahrul.
Dalam pada itu, YM Tunku Dato’ Ahmad Burhanuddin, Presiden The Malay College Old Boys’ Association (MCOBA) pula berkata, “Saya begitu gembira serta teruja dengan perkembangan sukan ragbi di negara kita. Pasukan kebangsaan merangkul beberapa kejayaan seperti pingat emas ketika Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, tempat kelima Sukan Asia 2018, dan hujung tahun lalu, pasukan B-18 kebangsaan juga muncul juara kejohanan Ragbi B-18 Asia.”
“Ini membuktikan sukan ragbi di negara ini semakin bergerak ke hadapan dan tentulah kita harapkan sukan ini terus berkembang serta membanggakan negara pada masa akan datang. Oleh itu, kejohanan seperti MCKK Premier 7s diharapkan menjadi salah satu platform penting bagi memastikan pemain-pemain muda berbakat mendapat ilmu berguna semasa di peringkat sekolah,” kata YM Tunku Dato’ Ahmad Burhanuddin.
“Saya juga berterima kasih kepada barisan penaja seperti Gamuda Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad serta penaja-penaja lain yang terus bersama MCKK Premier 7s bagi membantu memartabatkan lagi sukan ragbi dan mengharapkan sokongan berterusan agar kita boleh melihat sukan ragbi mencipta nama di peringkat dunia. Bukan itu sahaja malahan sukan ragbi juga mampu mendidik anak-anak muda untuk mempunyai karakter yang berani dan kekal aktif,” tambah YM Tunku Dato’ Ahmad Burhanuddin.
Bakal berlangsung di Padang Ragbi, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak, antara pasukan yang dijangka bakal mencabar kejuaraan tahun ini adalah pasukan seperti Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), SMK Sri Mersing, MCKK sendiri, dan banyak lagi pasukan hebat.
Selain kehadiran dua pasukan luar negara, saingan kali ini dijangka lebih sengit selepas SMK Sri Mersing berjaya mencipta sejarah serta mencuri tumpuan muncul sebagai juara MCKK Premier 7s buat pertama kali tahun lalu setelah mengetepikan cabaran SSTMI 14-12 dalam perlawanan akhir.
MCKK Premier 7s juga merupakan satu kejohanan yang mendapat perkenan untuk bernaung di bawah Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah. Sultan Nazrin juga adalah peminat sukan ragbi dan baginda merupakan Penaung Diraja Kesatuan Ragbi Malaysia.
Untuk rekod, SSTMI pernah merangkul gelaran sebanyak empat kali iaitu pada tahun 2011, 2012, 2016 serta 2017, MCKK (2013), Scots College New Zealand (2014), Sekolah Sukan Hong Kong (2015) dan SMK Sri Mersing pada tahun 2018.