PUBC go through to SSPL 2018/19 final rounds after nail-biting affair
January 7, 2019Aaron-Wooi Yik primed to bag first title at PMM 2019
January 8, 2019KUALA LUMPUR (7 Januari 2019): Peningkatan mendadak yang dipamerkan oleh beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia- Soh Wooi Yik adalah satu petanda positif buat gandingan itu menjelang Perodua Malaysia Masters (PMM) 2019 yang akan berlangsung pada 15-20 Januari ini di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC).
Sejak digandingkan pada bulan Januari tahun lalu dimana berada pada ranking 200 dunia, mereka mendaki kedudukan penuh yakin sehingga berada di kedudukan ke-22 dunia.
Bagaimanapun, tindakan V Shem- Wee Kiong yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyaksikan tugas selaku pasangan beregu lelaki utama BAM kini terletak di atas bahu gandingan muda ini.
“V Shem- Wee Kiong adalah pemain terbaik dan mereka berada pada tahap di mana kami impikan untuk mencapainya pada masa hadapan. Apabila mereka meninggalkan BAM, kami perlu bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan,” kata Aaron.
Selepas satu tahun beraksi bersama, Aaron- Wooi Yik mempamerkan satu petanda positif apabila berjaya mara sehingga ke suku akhir Kejohanan Dunia di China Ogos lalu.
“Di Kejohanan Dunia, kami telah tewaskan tiga beregu lelaki lain untuk sampai ke suku akhir. Dua daripada pasangan itu berada pada ranking yang lebih tinggi daripada kami, jadi saya rasa puas juga dengan apa yang dicapai disitu,”kata Aaron.
“Tapi secara kesemuanya, pada tahun lalu kami tidak berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan kerana gagal ke final dalam kejohanan utama yang disertai.”
Dalam perjalanan menuju suku akhir Kejohanan Dunia, Aaron- Wooi Yik menewaskan Chung Eui Seok- Kim Duk Yong dari Korea Selatan di pusingan pertama. Kemudiannya mereka menumbangkan pasangan nombor 17 dunia dari Taiwan, Lee Jhe Huei- Lee Yang.
Selepas itu, mereka terus melakar kejutan dengan mengalahkan gandingan nombor 6 dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Aaron- Wooi Yik terkandas di suku akhir apabila tidak mampu menawan pasangan nombor 2 dunia dari China, Li Junhui- Liu Yuchen biarpun menampilkan aksi melawan. Junhui- Yuchen berjaya meraih gelaran dunia apabila mereka menumpaskan pemain nombor 3 dunia dari Jepun, Takeshi Kamura- Keigo Sonoda di pentas akhir kejohanan itu.
Aaron, 21, dari Melaka dan pasangannya, Wooi Yik, 21 dari Kuala Lumpur, berharap tahun 2019 bakal menjadi lebih gemilang buat mereka berdua. Pentas PMM 2019 di tanah air sendiri juga mahu dijadikan sebagai pentas buat mereka memulakan penguasaan mereka pada tahun ini.
“Kami harap dapat memantapkan lagi permainan kami tahun ini. Pada bulan ini, kita akan bermain di Thailand Masters dan juga Malaysia Masters,” kata Aaron.
“Di Perodua Malaysia Masters, kami dijangka bertemu juara bertahan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia pada pusingan kedua. Ujian terbesar bagi kami tetapi kami berharap dapat mencapai kemenangan lebih-lebih lagi beraksi di rumah kami sendiri. ”
Untuk rekod, Malaysia menamatkan saingan selaku naib johan dalam acara beregu lelaki melalui V Shem-Wee Kiong dan dua tempat separuh akhir dalam perseorangan lelaki melalui pemain profesional, Liew Daren serta beregu campuran (Soon Huat-Shevon Lai) pada edisi sebelum ini.
Tiket boleh didapati di myticket.asia atau melalui hotline 03-8605 0195. Ikuti perkembangan BAM di Facebook (http://www.facebook.com/badmintonassociationofmalaysia), Twitter (https://twitter.com/BA_Malaysia) dan di Facebook Daihatsu Badminton (http://www.facebook.com/daihatsu.badminton.en/). Anda juga boleh layari laman web rasmi di (https://daihatsu-badminton.com) untuk perkembangan terkini di media sosial, wawancara di belakang tabir, previu untuk kejohanan dan banyak lagi.