
PLJ2018: Ampang Jaya BC sitting pretty on top of PLJ 2018
October 28, 2018
Trofi Juara-Juara Asia 2018: Tempat Ketiga Milik Malaysian Tigers
October 29, 2018
Selepas terikat tanpa sebarang jaringan dengan Melaka semalam, Kuala Lumpur hari ini bangkit menewaskan Johor 3-0 sekaligus mengutip tiga mata penuh dalam pusingan round robin bagi divisyen satu, TNB Piala Tun Abdul Razak 2018 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.Selain Kuala Lumpur, Perak turut cemerlang mengutip tiga mata ketika turun menentang Melaka yang menyaksikan mereka menewaskan Melaka 5-0 serta tidak ketinggalan Terengganu turut memperolehi tiga mata pertama apabila menewaskan Pulau Pinang 4-2.
Pertemuan Kuala Lumpur dan Johor menyaksikan Kuala Lumpur yang dihadiahkan dengan enam pukulan sudut penalti berjaya menterjemahkan satu daripadanya kepada jaringan pada minit ke-32 menerusi Muhamad Aminudin Mohd Zain.
Kuala Lumpur menjaringkan dua lagi gol dalam tempoh enam minit sebelum perlawanan sebenar berakhir apabila Wan Haziq Hisyamudin Wan Ameer menyumbang gol padang pada minit ke-54 dan berselang dua minit kemudian giliran Mohamad Syamim Mohd Yusof meledak jaringan juga menerusi gerakan padang yang sekaligus menyaksikan perlawanan ditutup dengan kemenangan 3-0 berpihak kepada Kuala Lumpur.
Sementara itu pertembungan antara Perak dan Melaka menyaksikan juara bertahan akhirnya mengutip tiga mata pertama selepas dua perlawanan apabila tidak berdepan masalah untuk menundukkan lawan mereka itu 5-0.
Pemain muda Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menjaringkan dua gol padang dalam tempoh dua minit di awal suku kedua selain kemenangan Perak hari ini turut dibantu oleh jaringan Muhammad Haziq Samsul pada minit ke-21 dan dua jaringan menerusi Mohamad Ashran Hamsani, pukulan sudut penalti pada minit ke-48 dan jaringan padang minit ke-55.
Bagi pengendali Perak, Mohd Nizam Mohd Hashim pemainnya sudah mula untuk mendapatkan rentak permainan selain memuji pemain muda Azrai Aizad yang telah mula mempunyai keyakinan untuk beraksi bersama pasukan Perak di samping pemain senior yang lain.
“Syukur Alhamdulillah kami mengutip tiga mata hari ini dan apa yang saya lihat pemain sudah mula untuk mendapatkan rentak permainan dan saya berharap ianya akan berterusan.
“Pemain Muda, Azrai Aizad sudah mula menunjukkan keyakinan dan kematangan dalam perlawanan di mana saya yakin ianya diraih ketika dia beraksi bersama skuad muda kebangsaan.
“Selain itu saya berharap dia akan terus menyerlah untuk membantu Perak dan bermain dengan penuh yakin bersama pemain senior yang lain,” jelasnya ketika ditemui.
Satu lagi aksi divisyen satu menyaksikan Terengganu berjaya membawa pulang tiga mata selepas menewaskan Pulau Pinang 4-2 dan empat jaringan buat Terengganu disumbangkan dua menerusi pukulan sudut penalti Mohd Fitri Saari sementara dua lagi menerusi gerakan padang Mohd Fakhri Ardillah Saifullah dan Mohd Shahrin Izzudin Shamsuri.
Terdahulu aksi wanita hari ini berkesudahan dengan aksi kumpulan B memperlihatkan Pahang dan ATM terikat 1-1 sementara Pulau Pinang menewaskan Terengganu 3-1. Bagi Kumpulan A pula Kuala Lumpur dan PDRM terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas perlawanan berkesudahan 1-1 dan Selangor menundukkan Melaka 2-1.
Jadual perlawanan esok (Isnin, 28 Okt 18)
Wanita
Group A
0730: NHS 1 – PDRM lwn Melaka
0730: NHS 2 – Selangor lwn Singapore
Group B
0930: NHS 1 – ATM lwn Terengganu
0930: NHS 2 – Pulau Pinang lwn Pahang
Lelaki
Divisyen Dua
1600: NHS 1 – Pahang lwn Kelantan
1600: NHS 2 – Singapore lwn Selangor
1800: NHS 1 – PDRM lwn ATM