KB Puchong United Tepati Ramalan Muncul Juara SS Purple League 2017/18
February 11, 2018SSTMI Lakukan Persediaan Rapi Hadapi MCKK Premier 7s
February 19, 2018SSPL kali ini merupakan musim gemilang buat KB Puchong United
KUALA LUMPUR (13 Februari 2018): Kejohanan badminton SS Purple League (SSPL) 2017/18 edisi keempat yang telah melabuhkan tirai dengan jayanya pada hari Ahad lepas memperlihatkan saingan itu semakin sempurna dan mendapat tempat di hati penyokong yang mengikuti perkembangan liga tersebut.
Selain dapat menyaksikan pemain-pemain ternama dunia memperagakan aksi mereka, idea yang ditonjolkan oleh Purple League Malaysia bagi membawakan sesuatu yang lebih menarik dan berbeza menerusi dua elemen iaitu sukan berserta hiburan nyata membuatkan liga ini menjadi lebih rancak.
Untuk membolehkan perlawanan berlangsung sengit dan lebih kompetitif juga, liga ini turut menggunapakai format 30 minit permainan untuk setiap kategori.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato Jack Koh berkata, “Bila kali pertama kami memulakan Purple League, kami bukan sahaja mahu mewujudkan liga berkaitan sukan badminton sahaja tetapi kita mahukan elemen hiburan. Ini sudah pasti akan menjadikan sukan badminton sendiri lebih menarik dan inilah yang dikatakan “badmintainment”.
“Kami akan terus bekerja keras untuk meningkatkan lagi kandungan dalam liga ini dan mahu membawanya supaya terus dekat dengan penyokong,” kata Jack Koh.
Mengulas mengenai keseluruhan Purple League yang bermula sejak tahun 2014, Jack Koh berkata, “Puchong United sudah mencuba dua kali di perlawanan akhir untuk menjadi juara dan rasa saya ini adalah tahun yang sempurna buat pasukan itu.
“Apapun, dari liga ini apa yang lebih penting adalah ia membantu badminton negara mencungkil bakat-bakat baru. Kita dapat lihat pemain seperti Lim Chi Wing yang dua kali muncul juara kebangsaan, Lee Zii Jia serta juga Leong Jun Hao melalui liga ini,”ujar Jack Koh.
Dari segi pasukan, saingan kali ini memperlihatkan persiapan sempurna dari Kelab Badminton (KB) Puchong United yang menunjukkan mereka memiliki aura juara sejak pusingan pertama round robin. Melalui kesemua tujuh perlawanan di Sports Arena Sentosa, pasukan tersebut muncul sebagai pasukan tunggal yang tidak mengalami sebarang kekalahan sekaligus menjadi pasukan di tangga teratas.
Di peringkat kedua SSPL, KB Puchong United terus unggul dalam mengekalkan kedudukan mereka selaku pasukan teratas bagi layak secara automatik ke separuh akhir. Satu lagi pasukan yang mengiringi KB Puchong United layak secara automatik ke separuh akhir adalah KB Cheras selaku pasukan di tangga kedua.
Peringkat terakhir SSPL yang berlangsung di Arena Of Stars, Resorts World Genting juga terus menyaksikan dominasi oleh KB Puchong United. Selain kelab itu, pasukan yang berjaya mencuri tumpuan di peringkat ini adalah pasukan bimbingan Mohd Zakry Abdul Latif, KB Kepong yang mencipta keputusan di luar jangkaan sehingga mereka berjaya mara ke final. Apapun, KB Kepong terpaksa akur tewas 8-10 kepada KB Puchong United biarpun memberikan saingan sengit di pentas akhir.
Pengurus KB Puchong United, Irina Inozemtseva berkata, “Empat tahun saya menunggu detik ini, sejak kali pertama kami menubuhkan KB Puchong United, inilah impian kami. Kami bermula dengan kosong dan kejayaan ini adalah sesuatu yang sangat bermakna kepada pasukan.
“Tahun lepas, saya sangat kecewa kerana kita tumpas dalam perlawanan akhir dan hari ini, nampaknya ia adalah hari yang terindah buat KB Puchong United. Saya selalu percaya bahawa untuk menjadi pasukan yang hebat, kita perlu berusaha dari hari pertama kerana ia tidak hadir sewenang-wenangnya. Kita memerlukan pengorbanan dan hari ini ia menjadi kenyataan,” kata Irina selepas tamat perlawanan akhir.
Juara SS Purple League 2017/18 menerima wang tunai RM520,000, naib juara, RM265,000, ketiga RM185, 000 manakala keempat pula RM160,000.