Peng Soon-Liu Ying Hungry for First Title of the Year
January 13, 2018Defending Champions Unfazed by Strong Challengers
January 15, 2018KUALA LUMPUR (14 Januari 2018): Selepas membenam UniKL dua hari lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus membuktikan label selaku ‘pembunuh gergasi’ apabila membelasah Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 4-2 pada aksi kedua Liga Perdana di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Kemenangan itu bukan saja mengekalkan rekod permulaan sempurna TNB tetapi juga menyaksikan skuad kendalian Nor Saiful Zaini mengukuhkan kedudukan di persada liga dengan enam mata, manakala KLHC pula terus kekal dengan rekod tanpa kemenangan.
Nor Saiful ketika mendedahkan resipi kejayaan pasukannya berkata ia berpunca daripada langkap menerapkan strategi menyerang sejak awal permainan.
“Memang sejak dari awal kami mengamalkan corak permainan menyerang kerana saya percaya setiap pasukan akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri di awal permainan.
“Nampaknya misi kami pada hari ini berjaya apabila meraih dua gol awal sebelum kami membunuh semangat mereka menerusi gol ketiga, bagi saya mana-mana pasukan sukar untuk bangkit daripada ketinggalan 3-0.
“Cuma strategi ini sedikit memenatkan dan ia jelas kelihatan apabila pemain saya melepaskan dua gol di hujung permainan.
“Tetapi saya berharap mereka sempat berehat untuk perlawanan Rabu ini,” kata Nor Saiful sejurus tamat aksi itu.
Sebaik suku pertama bermula, TNB terus garang mengasak menerusi corak permainan pantas dan hanya memerlukan lima minit untuk meledak gol pertama hasil tolakan padu pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.
Gol itu hadir selepas penjaga gol KLHC Roslan Jamaluddin sebelum itu bertindak cemerlang menafikan percubaan pukulan sudut penalti Shahril Saabah dan percubaan berbahaya Tengku Ahmad Tajuddin Abd Jalil.
Penyerang berusia 18 tahun, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menambah jaringan kedua TNB lima minit kemudian apabila pukulan kilas cantiknya daripada tengah kawasan D mengelirukan Roslan sebelum Firhan Ashaari menambah derita KLHC pada minit ke-18.
TNB yang diperkuatkan 10 pemain kebangsaan terus melakukan asakan bertali arus sepanjang suku ketiga serta keempat dan hasilnya memperolehi gol keempat menerusi tolakan Shahril Saabah yang melakukannya daripada sudut sukar di sebelah kanan menewaskan Roslan pada minit ke-48.
KLHC yang tenggelam dengan kepantasan pemain TNB akhirnya berjaya menembusi gawang dikawal Hairi Abdul Rahman apabila meledak dua gol menerusi bintang Korea Selatan Jang Jong Hyun pada minit ke-51 dan 59.
Bagaimanapun ia sudah terlambat untuk mereka merakam kebangkitan.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, UniKL menebus kekecewaan tewas kepada TNB pada perlawanan pertama liga apabila membelasah Maybank 6-0, hari ini.
Di Stadium Batu Buruk, Kuala Terengganu pula, Pasukan Hoki Terengganu (THT) menewaskan TNB Thunderbolts 6-2.
Liga Perdana
Keputusan hari ini
TNB 4 KLHC 2
UniKL 0 Maybank 6
THT 6 TNB Thunderbolts 2